TINTA MINDA

PEMERKASAAN LATIHAN INDUSTRI LAHIRKAN BAKAT KOMPETITIF

15/01/2025 08:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Najuwa Mohd Nasir

Dalam dunia yang semakin kompetitif dan berorientasikan teknologi, pemerkasaan latihan industri memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat masa depan yang mampu bersaing di peringkat global. Di Malaysia, program latihan industri bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, tetapi menjadi jambatan yang menghubungkan teori dengan realiti pekerjaan sebenar. Melalui penambahbaikan kandungan pembelajaran dalam sesuatu program atau kursus mengikut keperluan industri semasa, universiti bukan sahaja membentuk graduan yang berkemahiran tinggi, malah mencipta tenaga kerja yang inovatif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.

Cabaran Utama

Kelemahan dalam kemahiran praktikal dalam kalangan pelajar semasa latihan industri sering menjadi cabaran utama yang memberi impak kepada kualiti hasil kerja serta mengurangkan keyakinan mereka untuk berinteraksi dan beradaptasi dalam persekitaran industri yang sebenar. Kekurangan pendedahan kepada situasi praktikal dan teknologi terkini menyebabkan mereka berasa kurang bersedia, seterusnya menjejaskan kemampuan untuk menjalinkan hubungan yang lebih proaktif dengan pengamal industri. Justeru, pelajar perlu mengambil inisiatif untuk mempersiapkan diri dengan membangunkan daya pemikiran yang kritis dan matang sejak awal lagi, agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia industri dan mampu menyesuaikan diri dengan keperluan profesional yang semakin kompleks. Oleh itu, adalah penting bagi institusi pendidikan dan industri bekerjasama untuk memperkukuh kurikulum sedia ada dengan lebih banyak latihan praktikal serta simulasi dunia sebenar, agar pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran pekerjaan dan tampil yakin dalam melaksanakan tugas mereka.

Kecenderungan majikan untuk memilih calon yang memiliki kebolehpasaran dan produktiviti yang tinggi merupakan perkara yang tidak boleh diabaikan, malah harus dijadikan sebagai faktor utama dalam merangka strategi persediaan yang efektif bagi pelajar sebelum melangkah ke latihan industri. Fenomena yang kerap kali berlaku iaitu pelajar yang kembali dari latihan industri seolah-olah tidak mempunyai pengalaman atau kemahiran yang signifikan disebabkan kurangnya pendedahan kepada tugasan bersifat kritikal dan lebih kepada bersifat rutin. Sebagai contoh, pelajar sering kali hanya diberikan tugas-tugas pentadbiran atau kerja-kerja yang tidak berkaitan dengan kemahiran teknikal yang kritikal, yang sepatutnya menjadi fokus utama dalam industri masa kini. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak diberi peluang yang mencukupi untuk mengasah kemahiran praktikal yang diperlukan, sekali gus menghalang mereka daripada meningkatkan kebolehpasaran dan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi cabaran industri.

Kerjasama Strategik

Justeru itu, langkah paling terbaik adalah melalui jalinan kerjasama yang lebih strategik antara pihak institusi dan industri untuk memahami keperluan dan trend semasa di pasaran kerja. Ini termasuk memastikan bahawa kurikulum yang ditawarkan relevan dengan kemahiran teknikal yang diperlukan dalam industri, serta memastikan bahawa latihan industri yang disediakan memberi pendedahan yang mencukupi kepada tugas-tugas yang bersifat kritikal dan mencabar.

Tambahan itu, program latihan industri yang lebih terstruktur perlu diwujudkan dengan objektif yang jelas dan skop tugas yang terperinci. Latihan ini harus merangkumi pelbagai aspek, termasuk perancangan projek, penyelesaian masalah, dan pengurusan sumber, yang memungkinkan pelajar untuk memperoleh pengalaman yang lebih luas dan relevan dengan keperluan industri.

Tidak dinafikan bahawa pihak institusi telah mengambil pelbagai inisiatif melalui penganjuran bengkel dan kursus kepada pelajar sebelum melangkah ke latihan industri. Walaubagaimanapun, bengkel atau kursus yang diadakan mungkin tidak cukup menekankan kemahiran teknikal yang sebenarnya diperlukan dalam industri. Kadang-kadang, program tersebut lebih fokus kepada teori atau kemahiran umum yang tidak mencerminkan tugas-tugas sebenar yang akan dihadapi oleh pelajar semasa latihan industri. Tanpa pendedahan kepada kemahiran yang tepat, pelajar akan menghadapi kesulitan untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam situasi industri yang sebenar.

Tempoh Latihan

Selain itu, tempoh kursus dan bengkel yang diberikan terlalu pendek atau tidak cukup mendalam untuk memberikan kesan yang signifikan kepada pelajar. Program yang terlalu singkat mungkin tidak memberi masa yang cukup bagi pelajar untuk menguasai kemahiran praktikal atau menyelami dengan mendalam apa yang diperlukan dalam industri. Pelajar memerlukan lebih banyak masa untuk mengasah kemahiran mereka dan mempersiapkan diri untuk cabaran dunia pekerjaan yang sebenar.

Justeru itu, pihak institusi perlu mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh latihan atau mengaturkan program latihan praktikal yang lebih intensif dan berterusan. Pihak institusi boleh bekerjasama dengan industri untuk menyediakan sesi latihan yang lebih mendalam dan sesuai dengan keperluan sebenar sektor pekerjaan, dengan memberi pelajar peluang untuk menjalani pengalaman langsung dalam situasi industri yang realistik. Selain itu, program-program ini harus dirancang supaya mempunyai keseimbangan antara teori dan aplikasi praktikal, dengan memberi pelajar masa yang mencukupi untuk menguasai kemahiran tertentu, serta menyokong pembelajaran berterusan melalui mentor industri dan bimbingan secara individu, supaya pelajar lebih bersedia dan mampu menghadapi cabaran dunia pekerjaan selepas tamat latihan industri.

Oleh itu, secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa pihak institusi perlu menyemak dan mengemas kini kurikulum latihan industri agar ia selaras dengan keperluan industri terkini. Membangunkan kerjasama yang lebih intensif dengan industri juga merupakan langkah yang sangat penting, terutamanya bagi institusi yang masih rendah penglibatannya, dengan menjemput pengamal industri untuk memberi ceramah, menjalankan bengkel, atau bertindak sebagai mentor kepada pelajar. Selain itu, mewujudkan program industri yang lebih berstruktur akan memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman langsung yang lebih relevan. Seiring dengan usaha memperkasakan latihan industri, pihak institusi juga harus memperkemas sistem pemantauan dan penilaian sepanjang latihan industri bagi memastikan kemajuan pelajar dapat dipantau dengan lebih berkesan.

-- BERNAMA

Najuwa Mohd Nasir ialah Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)