TINTA MINDA

JEJAK LALUAN SUTERA DI UZBEKISTAN: INSPIRASI REKA BENTUK BANDAR DARI SAMARKAND HINGGA KHIVA

28/01/2025 05:29 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Kunjungan ke Uzbekistan pada Disember 2024 yang lalu bukanlah sekadar perjalanan biasa, tetapi sebuah pengalaman yang sarat makna. Undangan sebagai pensyarah jemputan oleh Tashkent University of Architecture and Civil Engineering (TUACE) bersama-sama dengan dua lagi Pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia iaitu Prof Madya Ar IDr Dr Elina Mohd Husini dan Ar IDr Fadli Arabi di salah sebuah institusi terkemuka yang menjadi saksi kepada kekayaan tradisi akademik dan warisan budaya negara ini amat dialu-alukan.

Uzbekistan, yang terkenal dengan sejarah panjangnya sebagai pusat ilmu pengetahuan Islam serta Laluan Sutera Asia Tengah, telah membuka mata kami terhadap keindahan seni bina, perancangan dan reka bentuk bandar yang berkembang pesat di sepanjang Laluan Sutera.

Negara ini bukan sahaja menyimpan tinggalan sejarah yang memukau tetapi juga merupakan pusat keilmuan yang melahirkan ramai ilmuwan agung seperti Imam Al-Bukhari, Al-Khwarizmi, dan Al-Biruni.

Uzbekistan pernah menjadi simpang penting yang menghubungkan dunia Barat dan Timur melalui Laluan Sutera, sebuah jaringan perdagangan kuno yang bukan hanya memindahkan barangan tetapi juga menyebarkan ilmu, seni, dan budaya.

Tiga kota bersejarah utamanaya iaitu Samarkand, Bukhara, dan Khiva yang kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan dunia UNESCO menjadi saksi kepada kebangkitan tamadun Islam, memancarkan keindahan seni bina dan keagungan intelektual.

Pengalaman mengajar di tanah Uzbekistan, yang kaya dengan madrasah, masjid, dan pasar bersejarah, telah memperkaya pemahaman kami tentang keterkaitan yang mendalam antara sejarah, budaya dan alam bina.

Kekayaan Intelektual dan keindahan

Artikel ini mengajak pembaca untuk menelusuri keindahan dan kekayaan intelektual yang terakam dalam struktur-struktur bersejarah sepanjang Laluan Sutera, serta bagaimana warisan budaya ini terus memberikan panduan dalam membentuk paradigma perancangan bandar kontemporari.

Samarkand, Bukhara, dan Khiva, sebagai pusat peradaban yang terletak di laluan perdagangan ini, bukan sahaja mewakili khazanah seni bina yang luar biasa, tetapi juga merupakan tapak penting bagi perkembangan pemikiran keilmuan dan teknikal.

Setiap bandar ini menyimpan lapisan-lapisan sejarah yang memberikan sumber ilham kepada arkitek, perancang bandar, dan pemikir sejarah, dalam usaha untuk mentransformasikan teori-teori rekabentuk bandar tradisional kepada aplikasi yang lebih relevan dalam konteks sosial, ekonomi, dan ekologi moden.

Samarkand: Permata Timur yang Memancarkan Keagungan

Perjalanan dari Tashkent ke Samarkand melalui kereta api Uzbekistan Railways mengambil masa sekitar dua jam setengah.

Setibanya di Samarkand, perbezaan suasana muka buminya jelas dirasakan berbanding Tashkent, yang menonjolkan landskap urban moden dengan bangunan tinggi dan jalan raya yang luas.

Sebaliknya, Samarkand memancarkan keindahan warisan sejarah dengan seni bina era Timurid yang megah dan lorong-lorong berbatu yang menghidupkan nostalgia kegemilangan masa lalu.

Menurut Dr Laziz, Samarkand yang dikenali sebagai “Permata Timur”, merupakan simbol peradaban Islam dan perdagangan Laluan Sutera.

Bandar ini menjadi ikon dunia dengan kompleks Registan yang megah, dihiasi mozek biru firus dan keemasan yang melambangkan keindahan seni bina era Timurid.

Kompleks ini terdiri daripada tiga madrasah utama - Ulugh Beg, Sher-Dor, dan Tilya-Kori - yang tersusun dalam formasi simetri menghadap sebuah dataran terbuka.

Senibina Registan memadukan elemen geometri yang rumit serta motif arabesque yang melambangkan kehalusan seni Islam.

Susunatur perletakannya mencerminkan peranan strategik sebagai pusat intelektual, komersial, dan keagamaan di Laluan Sutera, menghubungkan Timur dan Barat.

Registan bukan sahaja mercu tanda seni bina, tetapi juga lambang identiti budaya masyarakat Uzbekistan, menzahirkan keagungan sejarah dan keunikan karakter setempat yang terus menginspirasi dunia.

Sementara itu, seni bina di sekitar Makam Gur-Emir di Samarkand memancarkan keindahan dan keagungan warisan era Timurid yang luar biasa.

Struktur monumental ini, yang menjadi tempat persemadian Sultan Timur (Tamerlane) dan keturunannya, dihiasi dengan kubah berlapis biru firus yang memukau, ukiran kaligrafi Islam yang rumit, serta mozek geometrik yang melambangkan kehalusan seni bina Islam.

Reka bentuknya yang simetri dan harmonis mencerminkan prinsip keabadian dan kesempurnaan yang dihayati dalam falsafah seni bina era tersebut.

Di persekitarannya, susun atur ruang awam yang terancang bukan sahaja mencipta suasana yang tenang dan reflektif tetapi juga menghubungkan makam ini dengan jaringan jalan bandar, menjadikannya mercu tanda urban dan spiritual.

Makam Gur-Emir bukan sekadar tempat persemadian, tetapi juga simbol kemegahan intelektual dan seni yang menggambarkan kegemilangan peradaban Islam di Asia Tengah.

Selain itu, Shah-i-Zinda, kompleks makam bersejarah di Samarkand, mencerminkan seni bina Timurid yang cemerlang dengan hiasan jubin seramik biru firus yang halus. Diasaskan sekitar abad ke-11 dan dikembangkan sepanjang era Timurid, Shah-i-Zinda bukan sahaja tempat persemadian tokoh agama dan bangsawan tetapi juga simbol warisan seni bina Islam yang luar biasa.

Susun atur kompleks ini direka dalam bentuk lorong panjang bertingkat, diapit oleh makam-makam yang dihiasi dengan jubin seramik berwarna biru yang rumit, mencerminkan kehalusan seni bina Timurid.

Lokasinya yang strategik di atas bukit, berhampiran dengan Laluan Sutera, menjadikan Shah-i-Zinda bukan sahaja sebagai pusat keagamaan tetapi juga sebagai penanda bandar yang penting, menghubungkan kawasan perdagangan dan pusat-pusat keilmuan.

Jalan di Samarkand dirancang untuk memudahkan aliran perdagangan, sekaligus menjadi ruang awam yang menyatukan pedagang dari pelbagai benua.

Kombinasi sejarah, seni bina, dan reka bentuk bandarnya ini menjadikannya satu contoh unggul kehebatan peradaban Islam dalam menyatukan fungsi spiritual, budaya, dan urbanistik.


Kehadiran Ilmuwan Agung dalam Perancangan Bandar Samarkand

Samarkand bukan sahaja terkenal dengan keindahan seni bina, tetapi juga sebagai pusat ilmu pengetahuan yang subur.

Kehadiran tokoh ilmuwan seperti Imam Al-Bukhari, yang makamnya kini menjadi tempat ziarah utama, menambah dimensi spiritual kepada kota ini. Imam Al-Bukhari, seorang tokoh hadis agung, telah menyumbangkan karya monumental "Sahih Al-Bukhari" yang menjadi rujukan utama umat Islam di seluruh dunia.

Semasa lawatan kami ke tapak pembinaan Kompleks Imam Al-Bukhari di sekeliling makam asal Imam Bukhari di Kampung Khartang, kami menyaksikan projek pengubahsuaian dan pembesaran yang bertujuan mewujudkan sebuah kompleks intelektual dan spiritual.

Pembinaan ini tidak hanya memperbaiki struktur fizikal, tetapi juga memperkukuh peranan kawasan ini sebagai pusat penyebaran ilmu.

Seiring dengan dedikasi Imam Al-Bukhari dalam mengumpul dan mengesahkan hadis, projek ini mengintegrasikan perancangan perbandaran yang mendalam, menonjolkan elemen seni bina Islam yang klasik seperti lengkungan dan kubah, sambil memastikan ruang yang menyokong pengajian dan pengajaran.

Ini mencerminkan hubungan erat antara sumbangan ilmiah beliau dan penerapan ilmu tersebut dalam reka bentuk ruang awam yang memupuk pencarian ilmu berterusan.

Makam Imam Al-Bukhari di Kampung Khartang, Samarkhand. Penulis bersama Profesor Uralov dan Dr Laziz di hadapan tapak pembinaan kompleks yang sedang dinaik taraf ini mencerminkan warisan intelektual dan spiritual beliau melalui seni bina Islam dan perancangan moden.

Selain Imam Al-Bukhari, Samarkand juga terkait dengan Al-Farghani, seorang ahli astronomi dan matematik terkenal, yang menyumbangkan karya besar dalam memahami kosmos dan navigasi. Gabungan nilai spiritual, seni bina, dan perbandarannya menjadikan Samarkand simbol kesinambungan tamadun Islam di Asia Tengah.

Bukhara: Kota Ilmu dan Tamadun

Perjalanan ke destinasi seterusnya, Bukhara, mengambil masa hampir tiga jam menaiki kereta api Uzbekistan Railways.

Ketibaan kami disambut mesra oleh Profesor Tolib Sobirov, seorang ahli akademik terkenal, bersama rakan-rakan akademik dan penterjemahnya dari Turkistan New Innovations University.

Kehadiran mereka membuka peluang untuk kami memahami sejarah dan keindahan seni bina Bukhara melalui perspektif tempatan yang lebih mendalam.

Bukhara, salah satu bandar bersejarah di Laluan Sutera, dikenali sebagai “Kota Ilmu” kerana peranannya sebagai pusat intelektual Islam.

Keindahan seni bina bandar ini terpusat pada Kompleks Po-i-Kalyan, yang terdiri daripada Masjid Kalyan, Menara Kalyan, dan Madrasah Mir-i-Arab.

Menara Kalyan, dengan reka bentuknya yang menjulang setinggi 47 meter, bukan sahaja menjadi mercu tanda kota tetapi juga lambang ketahanan seni bina Islam yang mampu bertahan selama berabad-abad.


Bukhara, dikelilingi oleh tembok kukuh yang melingkari The Ark of Bukhara, mencerminkan keunggulan seni bina pertahanan dan perancangan strategik tamadun Laluan Sutera.

Pintu utama yang menghubungkan ke Kompleks Poi-Kalyan berfungsi sebagai akses monumental ke salah satu mercu tanda terpenting seni bina Islam di Bukhara.

Menara Kalyan merupakan sebuah menara dalam Kompleks Masjid Po-i-Kalyan yang terletak di Bukhara, dan merupakan salah satu mercu tanda paling menonjol di bandar tersebut.

Keindahan dan kehalusan seni bina terserlah pada pola hiasan muqarnas dalam kompleks Po-i Kalyan, mencerminkan kecemerlangan estetika dan kepakaran teknikal era tersebut.

Masjid dan madrasah dihiasi dengan jubin seramik berwarna biru firus, yang mempamerkan keindahan motif floral dan arabesque, mencerminkan kemahiran seni bina Islam yang mengutamakan estetika dan simbolisme.

Sementara itu, bazar berbumbung seperti Taqi-Sarrafon dan Taqi-Telpak Furushon menggambarkan perancangan bandar yang teliti, direka untuk melindungi para pedagang daripada cuaca ekstrem.

Struktur-struktur ini menggambarkan pemahaman mendalam tentang hubungan antara fungsi praktikal dan keindahan seni bina dalam konteks bandar. Masjid Kaylan menampilkan seni bina indah bata terukir, kubah besar dan hiasan geometrik halus melambangkan keunggulan estetik Islam.

Kehadiran Ilmuwan Besar di Bukhara

Bukhara, yang merupakan pusat intelektual yang penting dalam sejarah Islam, juga dikenali sebagai tempat kelahiran tokoh terkemuka seperti Ibnu Sina, atau lebih dikenali di dunia Barat sebagai Avicenna.

Sebagai pelopor dalam bidang perubatan, Ibnu Sina telah menghasilkan karya monumental, "Al-Qanun fi al-Tibb" (The Canon of Medicine), yang menjadi asas rujukan dalam ilmu perubatan selama berabad-abad.

Selain itu, Bukhara turut dihubungkan dengan Imam Al-Maturidi, seorang ahli teologi yang memberikan sumbangan besar dalam pembentukan akidah Islam melalui pendekatan rasional dan pemikiran yang mendalam.

Keberadaan ilmuwan-ilmuwan ini bukan sahaja mencerminkan warisan intelektual yang kaya, tetapi juga menggambarkan hubungan erat antara ilmu, seni bina, dan budaya reka bentuk bandar Bukhara yang memperlihatkan keterbukaan terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan kemajuan budaya.


Khiva: Kota Abadi yang Menyimpan Cerita

Seterusnya, perjalanan yang juga menggunakan keretapi selama lapan jam di dalam koc tidur, membawa kami ke Khiva.

Khiva ialah sebuah kota bersejarah yang terletak di tengah padang pasir Kyzylkum yang penuh dengan khazanah sejarah yang terpelihara.

Kali ini, kehadiran kami disambut oleh Dr Yuldashov Elyorbek dari Urgench State University.

Bandar Khiva, sebuah kota berdinding yang tersergam indah adalah contoh sempurna bandar bersejarah yang terpelihara dengan baik.

Ichan-Kala, pusat bandar lama Khiva, menonjolkan seni bina yang unik dengan tembok kota yang dibina daripada tanah liat dan dihiasi ukiran halus yang menggambarkan kedalaman estetika dan ketelitian teknik binaan. Kawasan ini tersenarai dalam Warisan Dunia UNESCO kerana keaslian dan keutuhan seni binanya.

Suasana di dalam Ichan-Kala mencerminkan keharmonian seni bina tradisional, kehidupan sosial komuniti, dan peranan pentingnya dalam ekonomi melalui perdagangan Laluan Sutera.

Di tengah-tengah Ichan-Kala, Masjid Juma berdiri sebagai lambang keunikan seni bina Islam.

Masjid ini mempunyai lebih daripada 200 tiang kayu berukir yang memberikan suasana harmoni antara ruang dalaman dan seni ukiran tradisional. Keunikan masjid ini adalah cerminan kepada kepakaran dalam merealisasikan rekabentuk yang menyeimbangkan fungsi spiritual dan seni bina yang luhur. Masjid Juma di Ichan Kala, dibina pada abad ke-10, menggabungkan seni bina Islam Asia Tengah dengan ukiran kayu halus, tiang megah, dan pengaruh budaya Persia.

Selain itu, Menara Kalta Minor, walaupun pembinaannya tidak pernah selesai, menjadi simbol ikonik yang mencuri perhatian, dengan keindahan jubin hijau zamrud yang menghiasi permukaannya, menambah elemen visual yang memikat kota ini.

Menara Kalta Minor di Ichan Kala memperlihatkan seni bina yang megah, dihiasi dengan jubin biru yang berwarna-warni, serta dipengaruhi oleh gaya Timur Tengah, menjadikannya sebuah monumen yang menakjubkan.

Khiva juga dikenali sebagai pusat perdagangan penting di Laluan Sutera, di mana pedagang membawa sutera, rempah, dan barang-barang berharga dari Timur ke Barat.

Kota ini melahirkan ramai tukang dan seniman tempatan yang menghasilkan ukiran kayu, jubin berwarna, dan tekstil yang masih dikagumi hingga kini.

Lorong-lorong sempit di Khiva dirancang untuk mencipta suasana perlindungan dari panas gurun, sambil mengekalkan interaksi sosial antara penduduknya. Ukiran kayu pada pintu dan tingkap bangunan-bangunan di sini mencerminkan kehalusan seni tukang kayu tempatan.

Aktiviti ekonomi di Ichan Kala menggambarkan sejarah perdagangan yang kaya, dengan seni bina tradisional dan struktur pasar bersejarah, mencipta pusat ekonomi yang dinamik dan berakar dalam budaya tempatan Khiva.

Khiva: Pusat Ilmu dan Pemikiran Islam yang Mengubah Dunia

Khiva, sebagai sebuah kota bersejarah yang kaya dengan warisan ilmu pengetahuan, telah menjadi saksi kepada kehebatan para ilmuwan dan cendekiawan Islam yang meninggalkan jejak besar dalam dunia sains dan falsafah.

Di antara tokoh terkemuka yang berasal dari Khiva adalah Al-Khwarizmi, yang dikenali sebagai "Bapa Algebra" dan memberi sumbangan utama kepada pengembangan matematik, khususnya dalam pengasasannya terhadap algebra, yang membentuk asas bagi kemajuan ilmu matematik moden.

Selain itu, Al-Biruni, seorang polymath dan ahli astronomi terkenal, juga memberi impak besar dengan penemuan ilmiah beliau, termasuk kajian geografi yang mencabar konvensi masa itu, serta sumbangan dalam memahami kosmos dan peradaban lain.

Kehebatan ilmuwan-ilmuwan di Khiva, yang berkembang di bawah naungan institusi akademik, mencerminkan hubungan erat antara seni bina, ilmu pengetahuan, dan budaya.

Khiva telah menjadi pusat intelektual yang penting di sepanjang Laluan Sutera, memainkan peranan utama dalam penyebaran ilmu. Bandar ini bukan sahaja terkenal dengan seni bina megahnya, tetapi juga sebagai mercu ilmu yang mendorong revolusi pemikiran dan teknologi yang memberi impak besar kepada dunia Timur dan Barat.

Inspirasi untuk Masa Depan

Perjalanan menjejaki bandar-bandar bersejarah di Uzbekistan ini memberikan wawasan mendalam mengenai kehebatan seni bina dan reka bentuk bandar dalam konteks peradaban Islam.

Integrasi yang harmonis antara keindahan seni, fungsi praktikal, dan perancangan bandar yang efisien menawarkan pengajaran penting bagi arkitek dan perancang bandar kontemporari.

Laluan Sutera, lebih daripada sekadar jalan perdagangan, merupakan jambatan yang menghubungkan pelbagai budaya, seni, ilmu pengetahuan, dan nilai-nilai intelektual yang mendalam.

Kehadiran tokoh-tokoh besar seperti Imam Al-Bukhari, Imam At-Tirmizi, Al-Khwarizmi, Al-Biruni, Al-Farghani, dan Imam Al-Maturidi di bandar-bandar ini mencerminkan hubungan erat antara seni bina, rekabentuk bandar, dan pencapaian intelektual dalam peradaban Islam.

Laluan Sutera bukan sahaja menyatukan Timur dan Barat dari segi fizikal, tetapi juga dalam penyebaran ilmu, keindahan, dan perpaduan budaya yang meluas.

Gambar-gambar ikonik seperti Registan di Samarkand, Menara Kalyan di Bukhara, dan Masjid Juma di Khiva, memberikan gambaran visual yang mengesankan, memperlihatkan keindahan seni bina yang tidak lapuk dek zaman.

Artikel ini adalah sebuah penghargaan terhadap warisan agung Laluan Sutera yang terus memberikan inspirasi dan menjadi sumber rujukan penting dalam merancang reka bentuk bandar yang lebih bersepadu dan berbudaya.

--BERNAMA

Ar IDr Dr Wan Norisma Wan Ismail, Prof Madya Ar IDr Dr Elina Mohd Husini dan Ar IDr Fadli Arabi ialah Pensyarah Kanan Jabatan Senibina Fakulti Kejuruteraan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)