Talfiq menurut Syeikh al-Malibari dalam Fath al-Mu’in adalah perbuatan menghimpunkan antara dua pandangan mazhab sehingga menimbulkan satu hukum baharu yang tidak diakui oleh mazhab-mazhab yang digabungkan itu.
Contohnya, seorang yang berpegang kepada Mazhab Syafi’e yang berwuduk tanpa mengosok-gosokkan anggota wuduknya. Kemudian dia menyentuh perempuan ajnabi tanpa berwuduk semula kerana berpegang dengan pandangan Mazhab Maliki yang menyatakan batal wuduk dengan sentuhan diiringi dengan syahwat. Lalu dia menunaikan sembahyang.
Solatnya itu tidak sah menurut kedua-dua mazhab ini. Ini disebabkan Mazhab Maliki tidak mengiktiraf wuduknya kerana tidak mengosok-gosokkan anggota wuduk yang merupakan syarat sah wuduk dalam mazhab ini. Mazhab Syafi’e juga tidak mengiktiraf wuduknya kerana sudah terbatal akibat menyentuh perempuan ajnabi.
Syarat untuk bertaklid
Syeikh Ibn Hajar al-Haytami, seorang tokoh ulama tersohor dalam Mazhab Syafi’e, menjelaskan tentang satu daripada syarat untuk bertaklid dengan pandangan mazhab lain ialah tidak berlaku talfiq iaitu menggabungkan pandangan dari pelbagai mazhab.
Seseorang yang bertaklid dengan Mazhab Hanafi hendaklah berwuduk mengikut tatacara mazhab tersebut di samping menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan wuduk menurut mazhab berkenaan.
Pandangan yang masyhur dalam Mazhab Syafi’e adalah melarang atau mengharamkan talfiq secara mutlak. Namun terdapat ulama dalam Mazhab Syafi’e yang membolehkan talfiq dengan bersyarat.
Menurut Imam al-Subki, individu yang berpegang dengan Mazhab Syafi’e atau selainnya daripada para imam (mazhab), jika dia ingin bertaklid kepada pandangan mazhab lain pada sesuatu masalah, maka terdapat beberapa keadaan:
(i) Dia beriktikad berdasarkan keadaannya bahawa mazhab berkenaan lebih rajih (pandangan terkuat) pada masalah tersebut, maka harus mengikut pandangan yang lebih rajih menurut sangkaannya.
(ii) Dia beriktikad bahawa mazhab imamnya lebih rajih atau tidak beriktikad sama sekali sebagai lebih rajih, tetapi pada kedua-dua situasi tersebut, (dia beriktikad bahawa mazhab imamnya lebih rajih atau tidak beriktikad sama sekali sebagai lebih rajih) dengan niat bertaklid kepadanya sebagai suatu iḥtiyāṭ (iaitu langkah berhati-hati) dalam urusan agamanya.
Kebenaran untuk bertaklid
Antara ulama kontemporari dalam Mazhab Syafi’e yang berpandangan seperti ini adalah Syeikh Abdurrahman bin Muhammad Ba’lawi.
Beliau menyatakan, dibenarkan kepada seseorang yang berpegang dengan Mazhab Syafi’e untuk bertaklid dengan mazhab lain atau pendapat yang marjuh (tidak kuat) dalam Mazhab Syafi’e ketika ada keperluan.
Iaitu apabila berlaku kesukaran yang tidak dapat ditanggung secara kebiasaan. Adapun jika tiada keperluan itu, haram bertaklid dengan mazhab lain atau pendapat marjuh, melainkan jika orang (mujtahid) yang ditaklidkan itu ialah seseorang yang berkeahlian untuk mentarjih (memilih pendapat yang paling kuat dan benar) pendapat dan orang yang bertaklid itu melihat dalilnya lebih rajih berbanding dalil imam mazhabnya.
Harus bertaklid
Dr Wahbah al-Zuhayli dalam al-Fiqh al-Islami menyatakan, harus bertaklid dengan setiap mazhab walaupun menyebabkan berlakunya talfiq apabila berlakunya darurat, hajat, lemah dan keuzuran.
Ini kerana pendapat yang sahih di sisi ulama Mazhab Maliki dan sekumpulan ulama Mazhab Hanafi, harus melakukan talfiq.
Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-41 Musim Haji 1446H/2024M pada 27-29 Sept 2024 bersamaan 23-25 Rabiul Awwal 1446H yang berlangsung di Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan memutuskan bahawa talfiq (menggabungkan pandangan mazhab) diharuskan dengan syarat- syarat seperti berikut:
a)Tidak bertujuan untuk mengikut pandangan yang paling mudah (tatabbu’ al-rukhas).
b)Tidak menyebabkan pandangan itu berlawanan dengan ijma’.
Aplikasi talfiq dalam hukum-hakam ibadat haji hanya terpakai sekiranya tiada pandangan dalam Mazhab Syafi’e atau jika ada, ia berlawanan dengan kepentingan awam (maslahah ‘ammah) atau bertentangan dengan keputusan pihak berkuasa.
Talfiq bersyarat
Justeru, Lembaga Tabung Haji (TH) mengamalkan konsep talfiq bersyarat dalam meluluskan sesuatu hukum bagi diamalkan oleh jemaah haji semasa di Tanah Suci. Ini memandangkan suasana di Tanah Suci adalah berbeza dengan tanah air Malaysia.
Keadaan kesesakan yang luar biasa, isu kemudahan di Arafah, Muzdalifah dan Mina, pergerakan kenderaan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi, dan reka bentuk prasarana yang dibina sekitar Masjidil Haram memberi kesan kepada pengeluaran hukum-hukum tersebut.
TH meminta jemaah haji memakai pendapat-pendapat daripada mazhab lain bagi memudahkan urusan ibadat mereka tanpa memperincikan tatacara untuk mengikut pendapat-pendapat tersebut seperti tatacara berwuduk dan perkara-perkara yang membatalkan wuduk mengikut mazhab yang diikutinya itu supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan jemaah haji.
Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-41 (2024) juga memutuskan jemaah haji yang mengalami daimul hadath (selalu dalam keadaan berhadas) boleh mengikut cara wuduk Mazhab Syafi’e walaupun menerima pakai Mazhab Maliki yang tidak mensyaratkan berwuduk setelah masuk waktu dan sunat sahaja memperbaharui wuduk bagi ibadat fardhu yang lain selagi tidak terbatal wuduknya. Ini kerana pemakaian Mazhab Maliki tersebut adalah berdasarkan kesukaran (masyaqqah) dan keperluan (hajah).
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Jamalluddin Hashim ialah pensyarah di Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. Beliau terlibat secara rasmi sebagai Pembimbing Ibadah Haji di Tanah Air (PEKTA) sejak 2003.