Bau harum mee rebus udang yang menggoda selera, suara anak-anak kecil menguli onde-onde, dan senyuman seorang ibu tua menerima semangkuk bubur lambuk panas daripada jiran, inilah suasana Ramadan yang meruntun jiwa, menggamit kenangan zaman dahulu.
Namun, di sebalik kehangatan bulan mulia ini, 'munjung' terus menjadi tradisi bermakna, amalan menghantar makanan kepada keluarga, jiran dan rakan sebagai tanda kasih sayang.
Di Johor, ia menjadi cara masyarakat kampung dan taman perumahan untuk menunjukkan penghormatan dan mempererat hubungan sesama jiran.
Dahulu, ibu-ibu di kampung bangun seawal Subuh untuk memasak juadah istimewa, bukan hanya untuk keluarga sendiri tetapi juga untuk dihantar kepada jiran dan saudara-mara.
Tangan mereka sibuk menggaul rempah, tetapi hati mereka penuh dengan rasa kasih. Hari ini, walaupun zaman berubah dan gaya hidup semakin moden, semangat munjung tetap bernyawa, malah memberi peluang kepada ramai usahawan untuk berkembang dalam dunia perniagaan sambil menyuburkan amalan memberi dan berkongsi.
Munjung: Budaya silaturahim yang menjana rezeki
Dalam masyarakat Melayu, munjung bukan sekadar memberi makanan, tetapi juga melambangkan nilai kebersamaan dan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan.
Jika dahulu, ia dilakukan secara kecil-kecilan di rumah, kini budaya ini semakin berkembang dengan adanya perniagaan yang menyediakan set makanan khas untuk munjung.
Bagi seorang anak yang tidak dapat pulang ke kampung, menghantar juadah kepada ibu bapa membawa erti yang lebih mendalam – sebagai pengganti kehadiran, sebagai tanda ingatan.
Bagi seorang jiran yang sudah uzur, menerima semangkuk bubur sumsum, nasi kerabu atau lauk gulai ayam bukan sekadar mengenyangkan perut, tetapi menghangatkan hati. Inilah keindahan munjung, satu amalan kecil yang mampu membawa kebahagiaan besar.
Bagaimana usahawan boleh memanfaatkan tradisi munjung?
Menghadapi cabaran ekonomi, usahawan boleh mengambil langkah bijak untuk menjadikan tradisi munjung sebagai peluang perniagaan yang membawa manfaat kepada masyarakat.
Mereka boleh menyediakan pakej makanan khas yang mudah dihantar, menawarkan perkhidmatan penghantaran, serta memperkenalkan promosi dan diskaun menarik.
Selain itu, usahawan boleh memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk dengan testimoni pelanggan dan gambar berkualiti tinggi. Dengan strategi ini, mereka bukan sahaja mengekalkan tradisi munjung, tetapi juga memperkukuhkan jenama mereka.
Integriti dan keberkatan dalam perniagaan
Munjung adalah cerminan kasih sayang, bukan sekadar transaksi jual beli. Dalam tradisi munjung, setiap juadah yang dihantar membawa nilai kemurnian dan penghargaan terhadap hubungan sosial
Apabila seseorang menghantar juadah kepada keluarga atau jiran, mereka bukan sahaja berkongsi makanan, tetapi juga menyampaikan rasa cinta dan perhatian.
Namun, dalam kesibukan berniaga, sejauh mana keikhlasan ini benar-benar dijaga? Ada peniaga yang hanya melihat bulan Ramadan sebagai musim untuk menggandakan keuntungan tanpa menghiraukan kualiti atau harga yang berpatutan.
Ini bukan semangat munjung yang sebenar. Usahawan yang jujur dalam menetapkan harga, memastikan kebersihan dan memberikan layanan terbaik bukan sahaja mendapat keberkatan dalam perniagaan, tetapi juga kepercayaan pelanggan yang berpanjangan.
Perniagaan yang diasaskan dengan nilai amanah akan berkembang kerana pelanggan menghargai kejujuran dan kualiti.
Usahawan boleh mengutamakan bahan segar, penyediaan makanan bersih dan perkhidmatan terbaik untuk memastikan setiap makanan munjung yang dihantar memberi kepuasan kepada penerima.
Amalan seperti menyumbangkan sebahagian keuntungan kepada golongan memerlukan juga boleh menjadi strategi perniagaan yang berteraskan keberkatan.
Munjung sebagai sumber rezeki dan pengukuh silaturahim
Munjung bukan sekadar menghantar makanan, ia adalah lambang hubungan yang erat antara manusia.
Ia menyatukan keluarga yang berjauhan, mengeratkan silaturahim sesama jiran dan menyuburkan rasa belas ihsan dalam masyarakat.
Bagi usahawan khususnya kaum wanita, ia adalah satu peluang bukan hanya untuk menjana pendapatan, tetapi juga untuk membina perniagaan yang berlandaskan kasih sayang dan nilai murni.
Ramadan bukan hanya tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga tentang memberi dan berkongsi.
Dalam dunia yang semakin individualistik ini, munjung mengingatkan kita bahawa nilai kemanusiaan masih utuh jika kita memilih untuk meneruskannya.
Sebagai masyarakat, marilah kita menghidupkan kembali tradisi ini – bukan hanya sebagai satu budaya, tetapi sebagai satu tanda keikhlasan dan kasih sayang yang tidak ternilai harganya.
--BERNAMA
Dr Umi Kartini Rashid ialah Pensyarah Kanan Ketua Jabatan Pemajuan Penyelidikan & Pembangunan Johor Business School (JBS) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).