TINTA MINDA

PUASA SUNAT 6 BULAN SYAWAL: ANTARA ADAB DAN IBADAH

23/04/2025 12:10 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Hamidah Mat

Bagi yang menjalani Ramadan dengan sepenuh hati, kemanisan beribadah sudah pasti meruntun jiwa. Ibadah puasa meskipun susah dan sukar menahan dahaga juga lapar, kemanisannya tetap ada sebagaimana yang dijanjikan Yang Maha Esa – kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya.

Untuk itu, Allah Yang Maha Tahu telah mensyariatkan puasa sunat bagi mengubat rindu manisnya beribadah. Dengan pensyariatan tersebut, rasa rindu terhadap Ramadan dapat diubat dengan ibadah puasa sunat ketika Syawal.

Puasa Enam ganjaran setahun

Puasa enam hari pada bulan Syawal merupakan antara amalan sunat yang sangat besar ganjarannya dan amat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Ia bukan sekadar ibadah tambahan, tetapi merupakan kesinambungan spiritual daripada tarbiah Ramadan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi SAW bersabda:

“Barang siapa yang berpuasa Ramadan, kemudian mengikutinya dengan enam hari daripada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang tahun.”

Ulama menerangkan bahawa ganjaran ini berdasarkan prinsip “al-hasanah bi ‘ashri amthaliha” iaitu setiap kebaikan diganjari sepuluh kali ganda.

Maka, puasa Ramadan selama 30 hari menyamai 300 hari pahala dan ditambah dengan enam hari di bulan Syawal bersamaan 60 hari, menjadikan keseluruhannya seperti berpuasa setahun penuh. Ia satu kiraan yang unik lagi indah.

Lebih daripada itu, puasa enam ini melambangkan rasa syukur seorang hamba kepada Allah SWT atas kekuatan dan peluang yang diberikan untuk menyempurnakan Ramadan.

Ia juga menjadi tanda istiqamah seseorang yang tidak hanya taat secara bermusim, tetapi berusaha meneruskan hubungan dengan Allah walaupun Ramadan telah berlalu.

Dalam masa yang sama, puasa ini turut melatih jiwa agar terus mendisiplinkan diri, menjaga adab, menahan hawa nafsu serta tidak terlalu larut dalam kemeriahan Syawal.

Dengan melaksanakannya, seseorang itu dapat mengekalkan momentum ibadah dan tidak kembali kepada kelalaian selepas berlalunya Ramadan.

Selain itu, puasa enam hari ini juga berperanan sebagai penampal kepada kekurangan dan kelalaian yang mungkin berlaku dalam ibadah puasa fardu.

Sebagaimana solat sunat menyempurnakan solat fardu, begitu juga puasa sunat menjadi penyempurna kepada puasa wajib yang telah dilakukan.

Maka, ia membawa manfaat berganda, dari sudut ganjaran, pendidikan jiwa dan penyucian diri. Hakikatnya, puasa enam Syawal adalah peluang kedua yang ditawarkan oleh Allah SWT buat hamba-Nya yang ingin terus dekat dengan-Nya, walaupun suasana Ramadan telah berlalu.

Mengutip rahmat dengan puasa sunat

Ganjaran yang besar ini bukan sekadar kiraan pahala. Ia adalah bentuk rahmat Allah SWT yang membuka ruang kepada hamba-hamba-Nya untuk terus meraih keberkatan walaupun Ramadan telah berlalu.

Enam hari yang dipilih pada bulan Syawal ini merupakan tanda kasih sayang Allah yang memberi peluang kepada kita untuk terus beramal, membaiki dan menyambung kesinambungan roh tarbiah Ramadan.

Tidak ada syarat untuk melaksanakannya secara berturut-turut. Ia boleh dilakukan secara berperingkat sepanjang bulan Syawal. Hal ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang meraikan kemampuan insan, bukan membebankan apatah lagi memberatkan.

Lebih daripada itu, puasa enam ini adalah latihan jiwa – membina kekuatan rohani, mengekalkan disiplin diri dan meneruskan ikrar taubat yang mungkin telah kita lafazkan pada penghujung Ramadan.

Ia bukan sahaja ibadah, tetapi juga simbol istiqamah – sebuah usaha kecil yang memberi makna besar di sisi Allah SWT.

Jemputan rumah terbuka: Cabaran puasa sunat

Salah satu cabaran utama dalam melaksanakan puasa enam hari Syawal pada masa ini adalah undangan rumah terbuka yang bertali arus.

Tradisi kunjung-mengunjung dan menjamu tetamu merupakan budaya mulia yang menyemarakkan ukhuwah, malah sangat dituntut dalam Islam. Jadi, bagaimana kita ingin menyantuni kedua-dua ibadah dan adab sosial memenuhi undangan?

Pertama sekali, setiap Muslim perlu memahami bahawa puasa enam ini adalah ibadah sunat yang sangat digalakkan. Oleh itu, tanamkanlah azam dengan kefahaman yang jelas tentang peri pentingnya ibadah sunat ini.

Azam yang kuat adalah langkah pertama untuk seseorang menyempurnakan ibadah puasa Syawal. Satu perkara yang harus diingat adalah bahawa beribadah juga perlukan kebijakan dan hikmah. Ruang fleksibiliti yang disyariatkan iaitu enam hari dari sebulan perlu dirancang dan disusun dengan baik.

Termasuk dalam langkah merancang ini ialah kita boleh mendahulukan jemputan-jemputan penting seperti keluarga terdekat atau majlis yang tidak boleh dielakkan. Selebihnya, masih ada lebih 20 hari sepanjang bulan Syawal untuk menyempurnakan puasa enam.

Ketiganya, dalam situasi tertentu, contohnya ketika kita sedang berpuasa dan dijemput makan, kita boleh sahaja hadir sebagai tanda menghormati tuan rumah tanpa perlu makan. Sekadar menyertai perbualan dan memuliakan tetamu pun sudah cukup menunjukkan adab.

Namun jika kita rasa akan menyinggung perasaan tuan rumah, bolehlah kita memilih untuk berbuka puasa pada hari tersebut dan menggantikannya pada hari lain selagi Syawal belum berakhir.

Ada juga pilihan yang lebih baik iaitu tuan rumah menganjurkan rumah terbuka bermula petang hingga malam. Maka, selain pahala menjamu sempena Aidilfitri, tuan rumah juga memperoleh pahala menjamu orang berbuka puasa. Fenomena ini sangat baik untuk dinormalisasikan.

Sebagai tetamu yang dijemput, kita dapat menjaga adab memenuhi jemputan dan pada masa yang sama kita dapat menunaikan ibadah sunat yang sangat dituntut.

Sesungguhnya, Allah melihat niat dan kesungguhan kita. Ibadah puasa ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mendidik kepekaan hati dalam menyeimbangkan antara tuntutan spiritual dan tanggungjawab sosial. Kedua-duanya dapat kita capai dengan kefahaman, azam dan perancangan yang bijak.

Keseimbangan itu yang utama

Seorang Muslim yang seimbang ialah mereka yang mampu menyatukan kesungguhan beribadah dengan kecaknaan terhadap hubungan kemanusiaan.

Menunaikan puasa enam Syawal sambil memenuhi undangan rumah terbuka bukanlah satu halangan, tetapi satu peluang untuk menunjukkan kebijaksanaan dalam merancang, keikhlasan dalam beribadah dan keindahan akhlak dalam bermasyarakat.

Dalam setiap langkah, niat yang tulus dan usaha yang istiqamah menjadi kunci. Sesungguhnya, keindahan Islam itu terletak pada keseimbangan antara ibadah kepada Allah SWT dan tanggungjawab terhadap manusia.

Marilah kita terus melangkah sebagai hamba yang mendekatkan diri kepada-Nya, tanpa melupakan nilai persaudaraan dan kasih sayang sesama insan.

--BERNAMA


Prof Madya Dr Hamidah Mat ialah Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Open University Malaysia (OUM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)