TINTA MINDA

DARI SPM KE MASA DEPAN, BUATLAH PILIHAN YANG TEPAT!

16/05/2025 11:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Ezrin Hani Sukadarin dan Dr Salwa Mahmood

Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang meraih kejayaan cemerlang, namun tidak kurang juga yang kecewa apabila keputusan tidak menepati sasaran.

Walau bagaimanapun, satu perkara penting perlu diingat, keputusan SPM bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada peluang masa depan yang lebih luas.

Dalam sistem pendidikan negara, pelajar lepasan SPM mempunyai pelbagai laluan yang sah dan diiktiraf untuk menyambung pengajian. Yang penting, pemilihan laluan dilakukan secara bijak, berdasarkan minat dan potensi diri, bukan semata-mata ingin mengikut trend semasa.

Peluang untuk semua: Akademik dan TVET

Bagi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, laluan seperti matrikulasi, asasi, diploma dan STPM menjadi pintu masuk utama ke universiti awam untuk pengajian dalam bidang profesional termasuk sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Bagi mereka yang lebih cenderung kepada kemahiran teknikal dan praktikal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pilihan yang semakin penting dalam pasaran buruh masa kini.

Program-program TVET ditawarkan di politeknik, kolej vokasional, institut latihan kemahiran dan juga universiti teknikal seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

UTHM merupakan salah satu peneraju pendidikan TVET bertaraf universiti di Malaysia. UTHM sebagai ahli rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN) menyediakan laluan pengajian berasaskan kemahiran dan teknologi yang seimbang dengan teori, sesuai untuk pelajar yang ingin menguasai kemahiran industri serta berpeluang menyambung ke peringkat lebih tinggi.

TVET bukan lagi laluan kedua, malah ia kini menjadi pilihan utama yang menjanjikan kebolehpasaran tinggi, pendapatan stabil, dan bahkan membuka jalan keusahawanan.

Dengan penerapan modul keusahawanan dan latihan industri, lepasan TVET juga mampu menjagbdi pencipta pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Ayuh mulakan langkah satu-persatu untuk merancang masa depan selepas SPM

1. Semak keputusan dengan teliti

Pastikan subjek wajib seperti Bahasa Melayu dan Sejarah lulus.

Tanpa lulus kedua-dua subjek ini, pelajar tidak akan menerima sijil penuh dan akan menghadapi kekangan untuk memohon ke universiti awam serta kerjaya sektor kerajaan.

Namun begitu, SPM Ulangan (SPMU) disediakan bagi pelajar yang ingin memperbaiki keputusan.

2. Kenal pasti minat dan potensi diri

Lakukan ujian minat kerjaya secara dalam talian atau dapatkan bimbingan guru kaunseling.

Bincang dengan individu berpengalaman untuk memahami bidang yang sesuai dengan personaliti, kekuatan dan aspirasi diri.

Pilihan laluan yang sesuai akan membantu pelajar kekal bermotivasi sepanjang pengajian.

3. Kaji laluan pengajian yang ada

Antara laluan utama:

  • Akademik – STPM, matrikulasi, asasi, diploma
  • Kemahiran/TVET – di politeknik, kolej vokasional, ILKA dan universiti teknikal seperti UTHM
  • Keusahawanan – Program asas perniagaan di institusi tertentu
  • Kreatif dan Seni – Animasi, grafik, muzik, penulisan
  • Agama dan Tahfiz – Pengajian Islam dan syariah

Walau bagaimanapun, pilihlah laluan berdasarkan minat dan kebolehan, bukan semata-mata kerana trend atau tekanan sosial.

4. Dapatkan maklumat institusi

Hadiri hari terbuka, lawati laman web rasmi dan kaji akreditasi, yuran dan prospek kerjaya.

5. Mula memohon

Mula memohon secara terancang dan sistematik - Setelah menentukan minat, laluan pengajian dan institusi sasaran, pelajar perlu mula mengambil tindakan dengan membuat permohonan rasmi ke institusi pengajian yang berkaitan.

Ini merupakan fasa penting yang memerlukan ketelitian, disiplin masa dan pemahaman terhadap keperluan setiap institusi.

Berikut ialah beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:

a) Gunakan saluran permohonan yang sah - Terdapat beberapa platform rasmi permohonan di Malaysia bergantung kepada jenis institusi dan program yang dipilih:

  • UPUOnline – untuk kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
  • Portal MARA (mara.gov.my) – untuk memohon ke program tajaan MARA seperti Kolej Profesional MARA, GIATMARA dan program khas lepasan SPM.
  • Laman web rasmi institusi IPTA/IPTS/TVET – seperti UTHM, Politeknik Premier, kolej swasta atau institusi keusahawanan.
  • eTVET dan MyTVET Portal – untuk maklumat dan permohonan berkaitan program TVET seluruh negara.

Setiap platform mempunyai syarat kelayakan yang berbeza, justeru pelajar perlu membaca panduan permohonan dengan teliti.

b) Rekodkan tarikh tutup dan kemaskini maklumat - Buat jadual atau kalendar permohonan agar tidak terlepas tarikh penting.

Simpan bukti permohonan seperti nombor rujukan, salinan borang permohonan, dan resit pembayaran (jika ada).

Kegagalan memohon dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan pelajar terlepas peluang menyambung pengajian.

c) Sediakan dan semak dokumen sokongan - Antara dokumen penting yang biasanya diperlukan:

  • Salinan keputusan SPM
  • Salinan kad pengenalan
  • Sijil-sijil kokurikulum
  • Gambar berukuran passport
  • Surat pengesahan pendapatan ibu bapa (jika berkaitan)

Pastikan semua salinan disahkan oleh pihak berkuasa yang diiktiraf dan disusun mengikut keperluan institusi.

d) Berbincang dengan ibu bapa, guru atau kaunselor

Sebelum menghantar permohonan akhir, berbincanglah dengan ibu bapa atau penjaga mengenai kemampuan kewangan, lokasi institusi dan jangkaan masa pengajian.

Rujuk juga guru kaunseling atau individu yang berpengalaman untuk memastikan pemilihan program tersebut benar-benar bersesuaian dengan minat dan kebolehan pelajar.

e) Bersedia untuk temuduga atau penilaian tambahan

Sesetengah program seperti asasi sains kesihatan, seni reka, kejururawatan atau program tajaan (biasiswa) memerlukan sesi temuduga, portfolio atau ujian khas.

Pelajar perlu bersedia dari segi mental dan dokumentasi untuk menghadapi proses penilaian ini.

Apa jua Keputusan SPM yang diperoleh, teruslah melangkah ke depan

Apapun keputusan SPM yang diterima, pelajar perlu mengekalkan pemikiran yang berkembang (growth mindset).

Keputusan hari ini bukan gambaran mutlak masa depan. Ramai tokoh berjaya yang bermula dengan keputusan sederhana tetapi membina masa depan cemerlang melalui sikap positif, kerja keras dan kesediaan untuk belajar semula.

Kekuatan mental dan fizikal perlu dibina. Ketahanan emosi, daya tahan, kesihatan tubuh dan semangat untuk terus mencuba adalah bekalan paling bernilai dalam mendepani fasa kehidupan pasca-sekolah.

Tahniah kepada semua lepasan SPM. Bagi yang berjaya, teruskan kecemerlangan. Bagi yang kecewa, bangkit dan rancang semula.

Dunia ini luas dan peluang sentiasa terbuka bagi mereka yang berani mencuba. Apa yang penting bukan dari mana anda bermula, tetapi ke mana anda sanggup melangkah.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Ezrin Hani Sukadarin ialah Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Dr Salwa Mahmood ialah Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)