TINTA MINDA

GURU NADI UTAMA REFORMASI PENDIDIKAN

16/05/2025 07:18 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Hasri Harun

Guru merupakan tunjang utama dalam sistem pendidikan. Di sebalik kejayaan setiap murid, wujudnya insan bergelar guru yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah, nilai, dan pemikiran.

Dalam era globalisasi dan digitalisasi, peranan guru semakin mencabar dan kompleks. Guru kini dituntut untuk menjadi pemacu kepada reformasi pendidikan negara agar seiring dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

Reformasi pendidikan melibatkan perubahan menyeluruh terhadap kurikulum, kaedah pengajaran, dan pendekatan pembelajaran.

Dalam konteks ini, guru memainkan peranan penting kerana mereka berada di barisan hadapan dalam melaksanakan dasar-dasar baharu seperti Kurikulum Standard Sekolah, penguasaan STEM, pendidikan digital dan pembentukan karakter.

Guru juga perlu menguasai pelbagai kemahiran abad ke-21 seperti kreativiti, pemikiran kritis, dan penggunaan teknologi dalam bilik darjah.

Namun, pelbagai cabaran turut dihadapi guru dalam melaksanakan tugas sebagai agen reformasi.

Antara cabarannya ialah beban tugas bukan pengajaran yang tinggi, kekurangan latihan profesional yang terkini, dan kurangnya pengiktirafan terhadap peranan guru oleh sesetengah pihak.

Cabaran ini boleh melemahkan semangat guru dan menjejaskan keberkesanan perubahan yang dihasratkan.

Arkitek pembangunan insan

Dalam mencorak masa depan negara yang gemilang, guru memainkan peranan yang amat penting sebagai arkitek pembangunan insan.

Seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang diilhamkan oleh kepimpinan negara, guru tidak lagi hanya berfungsi sebagai penyampai ilmu semata-mata, tetapi sebagai pemimpin nilai, pemangkin perubahan dan pembentuk generasi masa depan.

Maka, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa guru adalah tonggak utama dalam melahirkan generasi Madani yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Konsep Malaysia Madani menekankan enam teras utama, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Keenam-enam nilai ini menuntut satu sistem pendidikan yang bukan sahaja berorientasikan akademik, tetapi juga bertunjangkan nilai dan akhlak.

Di sinilah letaknya peranan guru sebagai pembina tamadun mencorak pelajar agar menjadi warga yang bertanggungjawab, berbudi pekerti dan mampu menyumbang kepada negara.

Sebagai contoh, guru yang mendidik dengan nilai ihsan akan menanamkan dalam diri pelajar keinsafan untuk menjadi insan yang berperanan, bukan sekadar mengejar kejayaan material.

Guru yang mempamerkan hormat dan keyakinan pula akan menginspirasi pelajar untuk berani menyuarakan pandangan dalam semangat saling menghormati.

Maka, peranan guru bukan hanya di dalam bilik darjah, tetapi merangkumi pembentukan karakter dan jiwa pelajar.

Peranan guru semakin mencabar

Seorang guru Madani tidak cukup hanya dengan memiliki pengetahuan pedagogi dan kepakaran dalam subjek. Lebih penting ialah kebolehan membentuk jati diri dan nilai murni dalam kalangan pelajar.

Dalam era media sosial yang sarat dengan pelbagai pengaruh negatif, para pelajar amat memerlukan bimbingan moral dan spiritual.

Guru menjadi contoh teladan dalam memperlihatkan akhlak mulia, integriti dan semangat cintakan ilmu.

Rasulullah SAW sendiri adalah “Mu’allim” agung, yang bukan sahaja mengajarkan wahyu Allah, tetapi juga membentuk peribadi para sahabat dengan akhlak al-Quran.

Justeru, guru pada hari ini harus mencontohi pendekatan Nabi, mendidik dengan hikmah, kasih sayang dan kesabaran.

Kejayaan dalam pendidikan bukan hanya pada bilangan A dalam peperiksaan, tetapi pada berapa ramai pelajar yang menjadi insan berakhlak mulia dan berbakti kepada masyarakat.

Walaupun peranan guru semakin besar dan mencabar, realitinya mereka berdepan pelbagai rintangan.

Antaranya ialah beban kerja yang tinggi, kekurangan sokongan masyarakat dan cabaran teknologi yang cepat berubah.

Dalam hal ini, semua pihak termasuk ibu bapa, pentadbir sekolah dan pembuat dasar perlu memberikan sokongan padu kepada guru agar mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada tugas hakiki sebagai pendidik.

Guru juga perlu bersikap proaktif dalam memperkasakan diri melalui latihan berterusan, penguasaan teknologi pendidikan, dan pendekatan pedagogi yang kreatif.

Guru perlu bertransformasi

Generasi kini ialah generasi digital; oleh itu, guru perlu bertransformasi selaras dengan kehendak zaman, tanpa mengabaikan nilai-nilai teras pendidikan.

Untuk memastikan guru terus menjadi tonggak generasi Madani, martabat profesion keguruan mesti dipertingkatkan.

Ini termasuklah memberikan pengiktirafan sewajarnya, meningkatkan kesejahteraan guru dan menyediakan peluang kemajuan kerjaya yang jelas.

Masyarakat pula perlu menghormati dan menghargai jasa guru sebagai insan yang menyemai benih masa depan negara. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya:"Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris nabi-nabi." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Guru, sebagai pendidik ummah, tergolong dalam golongan pewaris tugas kenabian. Maka, kewibawaan dan kewujudan guru yang berintegriti amatlah penting dalam mencorak generasi pewaris negara. gguru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pemacu perubahan dan pembina generasi.

Dalam kerangka Malaysia Madani, guru perlu terus diberdayakan agar dapat memikul amanah mendidik dengan penuh hikmah, ikhlas dan ihsan.

Kecemerlangan sesebuah negara bermula dari bilik darjah, dan guru adalah tonggak utamanya.

Jika kita ingin melihat masa depan Malaysia yang Madani, maka marilah kita memuliakan dan memperkasakan guru kerana di tangan merekalah terletaknya harapan dan hala tuju generasi akan datang.

Kesimpulannya, guru adalah nadi utama reformasi pendidikan. Tanpa guru yang kompeten, bersemangat dan diberi ruang untuk berkembang, sebarang usaha untuk memperbaharui sistem pendidikan akan gagal.

Oleh itu, seluruh ekosistem pendidikan daripada pembuat dasar, ibu bapa, hingga masyarakat perlu bersatu hati dalam memperkasa peranan guru.

Guru bukan sahaja membentuk pelajar, tetapi turut membentuk masa depan bangsa dan negara.

Maka, menjadikan guru sebagai pemacu reformasi pendidikan bukanlah satu pilihan, tetapi satu keperluan yang mendesak demi kemajuan Malaysia yang berilmu dan berintegriti.

--BERNAMA

Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel) merangkap Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)