Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dilancarkan baru-baru ini membawa pelbagai pembaharuan dan inisiatif penting dalam usaha membentuk sebuah negara MADANI yang berdaya tahan, inklusif dan berdaya saing. Di sebalik angka dan strategi pembangunan negara, satu perkara yang wajar diberi perhatian ialah impak langsung pelan ini terhadap golongan mahasiswa dan belia iaitu dua kelompok yang akan menjadi penggerak utama masa depan negara.
Melalui RMK-13, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur, malah turut meletakkan penekanan yang besar terhadap pembangunan modal insan, peningkatan kemahiran dan kesejahteraan sosial. Hal ini amat signifikan kerana mahasiswa dan belia merupakan tonggak kepada daya saing negara dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi berdigital.
Pendidikan inklusif dan peluang setara
Sektor pendidikan menerima peruntukan besar dalam RMK-13, iaitu sekitar RM67 bilion untuk memperkukuh kualiti sistem pendidikan negara daripada peringkat pra sekolah sehingga ke universiti. Langkah ini membolehkan akses pendidikan berkualiti dinikmati secara menyeluruh, sekali gus memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pembangunan.
Antara inisiatif penting ialah pemberian autonomi lebih besar kepada universiti, bagi membolehkan institusi pengajian tinggi lebih fleksibel dalam merangka kurikulum selari dengan keperluan industri. Selain itu, program praktikum berbayar mandatori yang diperkenalkan mampu memberikan pengalaman kerja sebenar kepada mahasiswa, sambil meringankan beban kewangan mereka.
Bagi memperkukuh pendidikan kemahiran, kerajaan menekankan pembaharuan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Melalui strategi baharu, TVET akan memfokuskan kepada bidang berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan canggih. Malah, sijil TVET akan diberi penjenamaan semula agar setaraf dengan diploma, sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap laluan pendidikan ini. Skim pembiayaan khusus dan dana latihan TVET turut disediakan bagi membantu golongan belia, termasuk pelajar tahfiz, menyertai program ini.
Meringankan beban mahasiswa dan belia B40
RMK-13 turut menitikberatkan kebajikan mahasiswa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40). Antara langkah yang diumumkan ialah pemberian kredit e-dompet berjumlah RM150 kepada pelajar berusia 18 hingga 21 tahun melalui program e-Start. Inisiatif ini dilihat sebagai usaha untuk memupuk budaya transaksi tanpa tunai, selain membantu menampung perbelanjaan harian.
Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia juga diteruskan dengan penyediaan tablet bernilai sehingga RM750 untuk pelajar IPT daripada keluarga B40. Langkah ini sejajar dengan usaha mengurangkan jurang digital serta memudahkan proses pembelajaran dalam talian. Tidak ketinggalan, pelepasan cukai untuk syarikat yang menyediakan program latihan industri turut dilanjutkan, memberi manfaat secara tidak langsung kepada mahasiswa yang menjalani latihan industri.
Pembangunan kemahiran masa depan
Selain akses kepada pendidikan, RMK-13 juga memacu agenda pembangunan bakat dan kemahiran masa depan. Pelbagai program seperti Industry-Bridging, Train-the-Trainer dan Junior Animator Apprenticeship akan diperluas, bagi memastikan graduan bersedia menyertai pasaran kerja yang semakin berorientasikan teknologi.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan menyasarkan penciptaan 700,000 pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 pekerjaan dalam ekonomi digital. Sasaran ini memberi isyarat jelas bahawa mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran digital, analisis data dan sains teknologi bagi kekal relevan dalam dunia pekerjaan.
RMK-13 juga memberi perhatian kepada dasar gaji yang lebih adil melalui pengenalan gaji minimum baharu dan pengembangan konsep gaji hidup (living wage). Langkah ini dijangka meningkatkan kualiti hidup graduan dan belia yang baru memasuki alam pekerjaan.
Pembentukan jati diri dan kepimpinan belia
Pembangunan negara bukan hanya bergantung kepada aspek kemahiran teknikal, tetapi juga pembinaan nilai dan kepimpinan. RMK-13 menekankan konsep Insan MADANI, iaitu pembentukan generasi yang berilmu, berintegriti dan berdaya tahan. Sistem pendidikan bakal diperkukuh dengan pengisian yang menyemai semangat patriotisme dan perpaduan nasional.
Di samping itu, program khidmat negara bersepadu serta inisiatif sukarelawan seperti iM4U dan Skuad Muda RELA akan digiatkan semula. Usaha ini bertujuan melahirkan belia yang tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki empati dan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi.
Menjaga kesejahteraan sosial dan mental
Dalam mendepani cabaran era digital dan tekanan hidup moden, RMK-13 turut memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan sosial dan mental golongan belia. Walaupun tidak disebut secara terperinci, keperluan memperkukuh sokongan psikososial melalui pusat komuniti, kaunseling dan program pembangunan diri dijangka menjadi agenda penting. Inisiatif ini akan melengkapi usaha membina generasi muda yang sihat dari segi mental, fizikal dan emosi.
Selain itu, dasar berkaitan kos sara hidup seperti pembinaan sejuta unit rumah mampu milik serta pemberian subsidi asas turut memberikan kelegaan kepada keluarga mahasiswa dan belia, terutamanya daripada golongan B40. Langkah ini dapat membantu mereka menumpukan perhatian kepada pembangunan akademik dan kerjaya tanpa terlalu terbeban oleh isu kewangan.
Secara keseluruhannya, RMK-13 bukan sahaja menjadi pelan pembangunan ekonomi negara, tetapi turut menggariskan strategi komprehensif bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan memiliki jati diri kukuh. Dengan tumpuan kepada pendidikan, kebajikan, peluang pekerjaan, pembinaan nilai dan kesejahteraan mental, rancangan ini memberi peluang besar kepada mahasiswa dan belia untuk mencapai potensi maksimum mereka.
Namun, segala inisiatif ini memerlukan komitmen bersama termasuk daripada kerajaan, institusi pendidikan, pihak industri dan belia itu sendiri. Dengan kerjasama yang padu, tidak mustahil Malaysia akan melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang makmur dan inklusif, dengan generasi muda menjadi teras kejayaan.
-- BERNAMA
Dr Anim Zalina Azizan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)