Baru-baru ini saya berpeluang menjadi penasihat akademik kepada seorang pelajar Master dari Université Côte d’Azur, Perancis yang menjalani program inbound di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menariknya, sistem pendidikan tinggi di Perancis sememangnya percuma, malah para pelajarnya mendapat elaun untuk menampung kos sara hidup mereka termasuk pembelajaran di luar negara semasa program inbound musim panas.
Peluang sebegini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk meluaskan pandangan dunia, bahkan memberi mereka kesempatan mendekati budaya dan masyarakat yang berbeza.
Bagi pelajar Muslim khususnya, pengalaman berada di negara umat Islam amat bermakna kerana ia membuka peluang kepada suasana hidup berteraskan Islam yang tidak mereka nikmati sepenuhnya di tanah air sendiri. Justeru, Malaysia menjadi salah satu destinasi pilihan kerana suasananya yang harmoni, berbilang kaum, namun tetap berakar pada tradisi Islam.
Meskipun berasal dari sebuah negara Eropah yang maju, pelajar ini mengakui bahawa mutu pendidikan di Malaysia tidak kurang tandingannya berdasarkan pengalaman beliau menyertai projek penyelidikan, bimbingan daripada pensyarah, serta interaksi ilmiah bersama pelajar-pelajar tempatan.
Kesempatan berada di Malaysia dimanfaatkan bukan sahaja untuk tujuan akademik, tetapi juga sebagai peluang merasai kehidupan dalam masyarakat majoriti Muslim. Antara pengalaman berharga baginya ialah kesempatan menunaikan solat berjemaah lima waktu di Masjid Sultan Ahmad Shah di kampus UIAM.
Perbualan santai kami tentang nilai kekeluargaan dan ukhuwwah dalam masyarakat Islam di sini turut menyentuh hati saya. Katanya, nilai kekeluargaan dan kebersamaan sebegini sudah semakin pudar di telan arus individualism yang muncul seiring kemajuan teknologi dan gaya hidup serba moden zaman ini.
Ia mengingatkan saya bahawa meskipun kita begitu mudah dapat mengamalkan identiti Islam di tanah air sendiri, acap kali kita lalai untuk melaksanakannya dengan sepenuh jiwa dan makna.
Dimensi Ummah yang Lebih Luas
Jika kita melihat lebih luas, kedatangan pelajar antarabangsa sebegini juga memberi ruang untuk Malaysia memainkan peranan penting dalam dunia Islam. Berdasarkan laporan Pew Research Center, Indonesia mempunyai penduduk Muslim terbesar di dunia dengan 85 peratus atau 240 juta orang daripada keseluruhan populasinya beragama Islam.
Di Malaysia pula, menurut Banci Penduduk dan Perumahan, sekitar 60–65 peratus penduduk beragama Islam, bersamaan lebih kurang 20 juta orang. Gabungan dua negara di rantau Asia Tenggara ini sahaja sudah mewakili sebahagian besar umat Islam global.
Sebaliknya, data daripada Lembaga Statistik Nasional Perancis menunjukkan jumlah penduduk Muslim di negara itu hanya sekitar 5-6 juta orang Islam , iaitu kurang daripada 10% populasi keseluruhan.
Potensi besar ini memberi kita amanah untuk menjadi jambatan yang menghubungkan dunia Islam dengan dunia Barat, khususnya melalui pendidikan, penyelidikan, dan hubungan budaya. Malaysia sering dilihat sebagai negara Muslim yang progresif, sederhana, dan berbilang kaum, sekaligus menjadikannya lokasi yang kondusif untuk pelajar antarabangsa merasai pengalaman pembelajaran Islam dalam suasana moden dan terbuka.
Pengalaman saya bersama pelajar dari Perancis ini mengingatkan bahawa pendidikan dan komuniti adalah bentuk diplomasi yang paling berkesan. Kadangkala wajah sebenar Islam tidak perlu ditunjukkan melalui hujah panjang, tetapi melalui akhlak harian, kejujuran dalam bimbingan, keramahan dalam interaksi, dan keterbukaan menerima kepelbagaian.
Pengalaman di Kebun Kejiranan Bandar Kuala Lumpur
Selain suasana akademik, saya juga membawa beliau melawat Kebun Bandar Sungai Bunus yang terletak di Jalan Gurney berhampiran kolam takungan Sungai Bunus. Beliau benar-benar teruja apabila melihat bagaimana sebuah kebun komuniti boleh wujud di tengah kota, dikelilingi bangunan pencakar langit tetapi masih segar dengan kehijauan.
Di sini, komuniti setempat bersama para sukarelawan berkumpul, bekerjasama, dan berkongsi ilmu tentang pertanian bandar, kesedaran alam sekitar, serta nilai kebersamaan.
Suasana kehangatan komuniti ini memberi gambaran kepadanya bahawa Islam itu bukan sekadar ritual, tetapi cara hidup yang menekankan kasih sayang, kerjasama, dan pemeliharaan alam.
Beliau melihat kebun ini bukan sekadar tempat menanam sayur dan herba, tetapi sebagai wadah yang menyuburkan ukhuwah, mengukuhkan nilai kekeluargaan serta menyemarakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Terpesona dengan Madu Kelulut
Salah satu pengalaman yang paling meninggalkan kesan ialah ketika beliau diperkenalkan dengan madu kelulut, hasil daripada lebah kecil yang tidak menyengat dan hanya hidup di habitat tropika.
Proses menuai madu kelulut secara langsung benar-benar mempesonakan beliau bukan sahaja kerana rasanya yang unik dan berkhasiat, tetapi juga kerana lebah kelulut merupakan sebahagian daripada biodiversiti istimewa rantau tropika. Madu kelulut sudah lama menjadi sebahagian warisan perubatan tradisional di Malaysia.
Beliau kagum bagaimana usaha komuniti tempatan, termasuk projek-projek kebun bandar, mampu menggabungkan kelestarian alam dengan sumber rezeki. Inilah bukti bahawa Islam memandang tinggi penjagaan alam sekitar dan menekankan hubungan harmoni antara manusia, haiwan, dan alam.
Menjadi penasihat akademik kepada pelajar inbound bukan sekadar soal memastikan tugasan akademik berjalan lancar, tetapi juga membuka ruang pertemuan dua dunia, Eropah dan Asia,
Barat dan Islam. Malaysia, walaupun negara kecil, mempunyai peranan besar sebagai sebuah negara ummah. Melalui pendidikan, komuniti, dan interaksi seharian, kita mampu menunjukkan wajah Islam yang indah, mesra, dan penuh hikmah.
Semoga lebih ramai pelajar antarabangsa memilih Malaysia, dan semoga kita terus istiqamah dalam memainkan peranan sebagai jambatan ummah di pentas global.
--BERNAMA
Dr Adibah Amir
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Pembuatan dan Bahan
Kulliyyah Kejuruteraan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Gombak, Selangor