TINTA MINDA

BUDAYAKAN INOVASI DAN KREATIVITI, SEMAI JIWA MERDEKA PELAJAR

28/08/2025 12:33 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Ts Dr Ahmad Mubarak Tajul Arifin

Kemerdekaan adalah bererti kebebasan. Saban tahun kita akan menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos. Tarikh tersebut adalah tarikh keramat negara kita memperingati hari bersejarah kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Tahun ini rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan ke-68 dengan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’’.

Prinsip gagasan Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada enam nilai utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan bermatlamat menjadikan Malaysia negara yang lebih makmur dan maju.

Mempertimbangkan teras daya cipta, kreativiti adalah elemen penting dalam memastikan teras tersebut dapat dicapai.

Umumnya, teras daya cipta bertujuan untuk memperkasakan inovasi dan kreativiti, seterusnya menggalakkan pembangunan produk ataupun sistem. Hal ini menunjukkan kreativiti adalah elemen penting dan seharusnya diberi penekanan kepada pembangunan modal insan negara.

Program dan aktiviti

Bersempena kemerdekaan, terdapat pelbagai program dan aktiviti yang dapat dilaksanakan bagi mencungkil bakat pelajar ke arah berinovasi dan berkreativiti. Di samping itu, program dan aktiviti yang diadakan ini dapat membudayakan semangat kemerdekaan.

Pembudayaan semangat kemerdekaan ini dapat menonjolkan elemen keupayaan dan kebebasan berfikir, membangunkan idea, menyemai semangat patriotic mahupun memupuk jati diri.

Sementelah itu, ia dapat menyemarakkan sambutan bulan kemerdekan negara. Kebiasaannya, pelbagai pihak akan mengadakan program dan aktiviti yang dapat membangkitkan semangat kecintaan pada negara.

Dalam pemerkasaan inovasi dan kreativiti di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi, bulan kemerdekaan dapat mengetengahkan kepelbagaian bakat-bakat yang dapat ditonjolkan melalui program yang dilaksanakan.

Program-program yang bertemakan patriotisme, dengan gabungan pelbagai kemahiran dapat mengasah bakat pelajar dalam segenap segi.

Di samping ilmu kemahiran yang dapat digilap, kemahiran insaniah pelajar juga dapat dikembangkan. Kemahiran insaniah antaranya adalah komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kerja berpasukan. Program seni dan rekaan kreatif antara program yang sesuai untuk dilaksanakan.

Program ini adalah gabungan antara seni visual dan rekaan kreatif. Secara umumnya, program ini dapat meningkatkan rasa cinta kepada negara melalui hasil seni dan rekaan kreatif dengan elemen-elemen warisan dan teknologi.

Aktiviti-aktiviti yang bersesuaian untuk diadakan seperti, pertandingan melukis potret tokoh negara, pertandingan poster, pertandingan rekaan fesyen, pameran patriotik dan penghasilan mural.

Tambahan pula, dunia kini ke arah teknologi digital. Hal ini, dapat menggalakkan inovasi dan kreativiti pelajar dalam mempelbagaikan sumber bagi penghasilan karya, sama ada secara tradisional atau teknologi moden.

Penglibatan komuniti

Penglibatan komuniti juga penting dalam membantu mengembalikan nostalgia kemerdekaan kepada generasi muda.

Melalui aktiviti bersama komuniti seperti persembahan teater, ia dapat membantu pelajar-pelajar untuk berkreativiti dan berinovasi dalam mempersembahkan dan melakonkan watak-watak yang berkaitan.

Ia sekali gus menyumbang kepada pengetahuan tentang perjuangan pahlawan-pahlawan terdahulu, malah berpeluang untuk menzahirkan penghargaan terhadap perjuangan mereka.

Penglibatan pelbagai pihak dalam penganjuran aktiviti dapat berperanan sebagai agen perpaduan dalam mengekalkan keharmonian rukun tetangga. Pendek kata, aktiviti yang dilaksanakan ini dapat memberikan impak kepada nilai kemasyarakatan secara khususnya.

Pertandingan rekacipta

Pertandingan reka cipta antara program yang sering kali diadakan sempena bulan kemerdekaan. Di samping menyemai semangat kemerdekaan, ia dapat memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar untuk memberikan idea, membangunkan dan memasarkan produk.

Produk yang dibangunkan ini sama ada dalam bentuk prototaip atau produk sebenar.

Malahan terdapat juga pertandingan reka cipta yang mempertimbangkan penggunaan bahan kitar semula dalam pembuatan produk.

Penggunaan dan pemilihan bahan dalam pembangunan produk, dapat menilai tahap kreativiti dan inovatif pelajar bagi menghasilkan produk yang mencakupi penilaian yang ditetapkan. Pertandingan reka cipta ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk menggunakan perisian reka bentuk yang bersesuaian. Kemahiran ini memberi nilai tambah kepada pelajar, selari dengan perkembangan teknologi pada masa kini dan tuntutan keperluan pekerjaan alaf baharu.

Penghasilan produk dinilai berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu, antaranya fungsi, mekanisme, keselamatan, estetik, kreativiti, inovatif dan kelestarian.

Melalui pertandingan reka cipta, kemahiran pelajar dalam elemen-elemen tertentu dapat ditingkatkan seperti kemahiran mereka bentuk, penyelesaian masalah, kerjasama, komunikasi dan kolaborasi.

Persembahan dan pembangunan replika

Persembahan dan pembangunan replika juga dapat menyerlahkan inovasi dan kreativiti pelajar.

Elemen terpenting dalam pembangunan replika adalah keunikan dan mempunyai nilai dan ciri-ciri tertentu.

Elemen kreativiti adalah penting bagi memastikan replika yang dihasilkan mampu menyampaikan maksud di sebalik ciptaan replika. Inovasi dengan penggunaan teknologi, diintegrasikan dengan fungsi yang pelbagai dapat menjadikan replika lebih interaktif.

Penggunaan bahan lestari dapat menjadikan ciptaan replika lebih mesra alam dan menepati elemen hijau. Pendekatan dalam pembangunan replika ini mampu menjadikan pelajar lebih berani dalam mencipta rekaan, juga menyuntik keupayaan dalam berinovasi dan berkreativiti secara amnya.

Pengisian kepada peristiwa

Pelbagai peristiwa yang berlaku dan amat bermakna bagi negara. Pengisian kepada peristiwa tersebut secara tidak langsung dapat mendidik pelajar-pelajar untuk berinovasi dan memahat kreativiti yang tersendiri. Dalam konteks kemerdekaan, kepelbagaian program dan aktiviti yang dilaksanakan dapat menyumbang ke arah mengilap bakat pereka cipta pelbagai bidang. Pelajar-pelajar masa kini adalah pewaris masa depan negara. Merdeka, bukan hanya tentang sejarah tetapi pengisian bermakna dalam perjalanan masa depan sesebuah negara.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Dr Ahmad Mubarak Tajul Arifin ialah Ketua Jabatan Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)