Pepatah Melayu ada mengatakan, “Bahasa Jiwa Bangsa.” Ia cukup sinonim dengan kehidupan kita sejak dari bangku sekolah lagi. Namun, tahukah kita betapa pentingnya mendukung dan memberi keutamaan menggunakan bahasa kebangsaan di dalam kehidupan kita.
Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga menggunakan bahasa Melayu di dalam komunikasi seharian tidak kira komunikasi dengan orang ramai serta menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pertuturan ketika berinteraksi di dalam media sosial dan di tempat kerja.
Justeru itu, Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan serta tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia.
Akta ini juga menitikberatkan segala urusan rasmi di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun hendaklah menggunakan bahasa rasmi.
Bahasa ibunda identiti, jati diri
Bahasa ibunda adalah satu identiti atau jati diri kita sebagai rakyat Malaysia yang sepatutnya kita bangga kerana ia melambangkan perpaduan.
Penggunaan bahasa Melayu merupakan lambang integrasi nasional bagi masyarakat majmuk, semangat kekitaan serta perjuangan sesuatu bangsa. Bak kata pepatah pahlawan Melayu Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia.”
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang sepatutnya kita pelihara dan banggakan kerana ia merupakan simbol kedaulatan negara Malaysia yang tercinta.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana terdapat pelbagai kes penyalahgunaan bahasa kebangsaan di dalam kehidupan masyarakat.
Antaranya penggunaan bahasa rojak iaitu bahasa Melayu dicampur aduk dengan bahasa Inggeris, bahasa slanga atau bahasa lain. Contohnya seperti ayat You semalam pi mana? I waiting for you so long maaa atau Promo kaw, kaw jualan habis-habisan, jom grab laaa.
Sudah terang lagi bersuluh, berlaku pencemaran bahasa kebangsaan yang menjurus kepada permasalahan tatabahasa, penyimpangan struktur, perbendaharaan kata yang salah serta kesalahan bahasa di dalam rangkaian media sosial, interaksi di podcast, penggunaan lirik di dalam lagu yang bercampur baur dengan bahasa Inggeris sangat mencemarkan budaya, keindahan dan kesantunan bahasa Melayu.
Penyalahgunaan bahasa
Bahkan yang lebih menyakitkan mata iaitu penyalahgunaan bahasa di dalam pengiklanan yang tidak seragam. Terdapat papan tanda iklan dan perniagaan secara talian menggunakan bahasa asing atau bukan bahasa kebangsaan secara meluas tanpa kawalan dan tiada penterjemahan bahasa Melayu.
Situasi Ini sangat tenat, biadab dan membimbangkan kerana ia bukan sahaja merosakkan keindahan bahasa kebangsaan malah memberi gambaran berat sebelah kepada pembaca atau masyarakat khususnya yang berbangsa Melayu.
Adakah sasaran pembaca mesej atau pembeli hanya kepada segelintir rakyat Malaysia yang bukan Melayu?
Persoalannya, apakah bahasa kebangsaan dianggap sebagai bahasa kedua, dipandang tidak berkelas serta tidak dihormati oleh sebilangan masyarakat yang berani, tanpa rasa bersalah seolah-olah memandang remeh akan perkara ini dan memperkotak-katikkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai medium utama di dalam komunikasi.
Senario yang menyedihkan kini apabila kita melihat sebahagian rakyat Malaysia seakan tidak peduli dan lebih suka menggunakan bahasa asing atau kod bahasa campur di dalam menyampaikan status atau mesej di media sosial, mengiklankan atau mempromosikan barang perniagaan mereka secara lisan serta menggunakan bahasa slanga yang bercampur aduk seolah mencemarkan bahasa kebangsaan kita. Contoh ayat, Jangan susah hati maaa, lu punya bos pasti boleh kaw tim, Tak jadi kut buat discussion malam ni, maybe buat besok pagi.
Inikah harga sebuah kemodenan dek ditelan arus globalisasi di era millenium? Apakah rakyat Malaysia tidak sedar berlakunya penjajahan minda di bawah sedar akan penggunaan bahasa asing atau sengaja menolak menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya sebagai instrumen komunikasi.
Adakah menggunakan bahasa Melayu itu menunjukkan seseorang itu skema dan ketinggalan zaman. Masyarakat perlu sedar diri, matang dan sentiasa berpijak pada bumi yang nyata.
Tatacara penggunaan bahasa tidak boleh dipermain-mainkan
Tatacara penggunaan bahasa tidak boleh dipermainkan sewenang-wenangnya kerana bahasa kebangsaan mempunyai nilai yang tinggi, perlu dipelihara kerana ia mencerminkan identiti, imej dan kedaulatan negara.
Kerajaan, Kementerian Komunikasi, pendidik serta badan bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka seharusnya mengambil langkah drastik dan tegas bagi menangani permasalahan ini kerana jika ia tidak dikawal, ia bukan sahaja boleh merosakkan identiti, jati diri, ketamadunan bangsa, keunggulan peradaban, gaya kehidupan malah boleh menjejaskan semangat kesatuan, keseragaman dan perpaduan rakyat Malaysia.
Tangani budaya asing di dalam penggunaan bahasa sebelum parah
Masyarakat Malaysia melalui revolusi teknologi IR 4.0 dan ini kita boleh lihat begitu ramai menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram, Telegram, YouTube, TikTok dan sebagainya di dalam komunikasi, menyampaikan mesej di dalam pelbagai bentuk samada di dalam promosi, jualan secara talian atau berbentuk hiburan.
Berlaku pencemaran bahasa yang berleluasa di media maya. Penyalahgunaan tatabahasa iaitu singkatan bahasa Melayu yang digunakan di dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook yang sememangnya tidak menepati sistem nahu bahasa Melayu.
Insiden ini jelas merosakkan bahasa dan komunikasi masyarakat. Sesetengah individu berfikiran mesej yang menggunakan singkatan perkataan dianggap cepat, ringkas dan mudah dihantar kepada penerima tanpa memikirkan impak di dalam laras bahasa.
Perlakuan ini merosakkan strukur dan keindahan bahasa Melayu. Terdapat sebahagian masyarakat yang lalai menggunakan aplikasi media baharu dengan menggunakan bahasa rojak di dalam penyampaian mesej, berkongsi maklumat dan kandungan yang berbentuk pendapat di dalam media sosial.
Kecelaan penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat melalui trend kehidupan, komunikasi rojak masyarakat semasa serta tindakan kurang rasional oleh sebahagian artis, selebriti, pempengaruh media sosial dan generasi baharu di alam siber.
Masalah ini harus dibendung agar bahasa Melayu tidak pupus.
Kandungan dengan bahasa yang bercampur aduk
Kandungan yang lebih sadis apabila terdapat penyalahgunaan bahasa Melayu bercampur aduk dengan bahasa Inggeris di kebanyakan lagu yang merosakkan bahasa kebangsaan.
Dimanakah kualti penulisan lirik lagu yang duhulunya puitis, mala segar dan indah karyanya dengan penggunaan penuh bahasa Melayu berbanding lirik yang bercampur aduk.
Lebih tragis, pemaparan video musik yang dimuat naik di aplikasi TikTok yang bukan sahaja mencemarkan bahasa kebangsaan, identiti, bangsa, tetapi juga disalahgunakan bagi menyampaikan mesej yang berbaur ketagihan dadah atau ganja kepada penonton.
Adakah wajar bagi generasi baharu menggunakan bahasa Melayu yang dicampur aduk dengan budaya kuning dan ia memberi impak negatif dan kesan panjang kepada audiens tanpa dikawal selia oleh pihak berkuasa. Gejala buruk ini perlu dihakis bagi memelihara mentaliti rakyat.
Kejutan budaya
Berlakunya kejutan budaya, hilangnya akar jati diri dan kecelaruan identiti di kalangan masyarakat yang lebih cenderung mengagungkan bahasa asing berbanding bahasa kebangsaan kita.
Dominasi penggunaan ayat yang bukan bercirikan bahasa ibunda adalah kerana kurangnya fasih atau arif di dalam penggunaan bahasa Melayu, kurang kesedaran untuk mempelajarinya sehingga menyebabkan berlakunya penggunaan bahasa rojak yang tidak terkawal seolah memberi bayangan betapa kreatifnya menggunakan bahasa percampuran tersebut.
Fenomena pencemaran bahasa juga boleh dilihat di dalam penerbitan filem dan drama tempatan.
Dimanakah logiknya pemikiran pengarah dan produser tempatan yang tidak mementingkan kualiti dan penggunaan tatabahasa Melayu yang betul di dalam penulisan skrip untuk ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia.
Ironinya, masalah pencemaran bahasa bukan sahaja berlaku di dalam media saluran televisyen, radio, penerbitan majalah atau karya kreatif tetapi juga berlaku di dalam pengiklanan tempatan samada di dalam media konvensional atau media baharu.
Adakah ini yang dibanggakan oleh segelintir masyarakat dan generasi baharu yang kurang menghargai nilai estetika bahasa, mengabaikan peradaban dan kesantunan bahasa Melayu di dalam penggunaan seharian?
Isu ini sangat serius dan wajar ditangani kerana semakin ramai mengambil sambil lewa menggunakan bahasa pasar atau slanga di dalam perbualan.
Jangan normalisasi penyalahgunaan Bahasa Melayu
Wahai rakyat Malaysia, usah menormalisasikan penyalahgunaan bahasa Melayu di dalam komunikasi harian, penyampaian mesej atau dialog di dalam karya kreatif serta interaksi dan perkongsian pendapat di dalam media sosial kerana ia boleh menjadi wabak buruk dan ikutan di kalangan umum dan generasi baharu.
Ibrahnya, masyarakat perlu ada rasa tanggungjawab, kesedaran sivik dan cakna di dalam menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul.
Pepatah ada mengatakan, “Bahasa menunjukkan Bangsa.” Sehubungan itu, penggunaan bahasa perlu dijaga etikanya bukan sahaja sebagai lambang kepada ketamadunan, peradaban bangsa tetapi juga menunjukkan praktikaliti dan kematangan seseorang ketika berkomunikasi.
Natijahnya, penggunaan bahasa Melayu perlu dipelihara bagi memelihara imej, kesantunan, ketepatan nahunya, keindahan bahasa dan jati diri kita sebagai rakyat dan bangsa yang berdaulat.
Solusi bagi menangani permasalahan pencemaran bahasa dalam kalangan umum
Sejajar dengan peribahasa, “mencegah adalah lebih baik daripada merawat.”
Pelbagai pihak khususnya kerajaan, kementerian Komunikasi, kementerian Pendidikan, pendidik di sekolah dan institusi pengajian tinggi seharusnya menggembleng tenaga bersama-sama bukan sahaja mendidik pelajar dengan menggunakan bahasa Melayu dengan betul tetapi juga memerangi masalah pencemaran bahasa di peringkat akar umbi.
Contohnya pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh mengadakan kempen, “Cintailah Bahasa Kita” atau Program bulan Kebangsaan secara berterusan dan bukan bermusim.
Corak program boleh berbentuk pertandingan pengucapan awam, pertandingan debat, penulisan kreatif, penulisan skrip untuk persembahan teater dan persembahan kebudayaan yang menekankan penggunaan bahasa kebangsaan. Langkah ini sangat efektif, penting bagi memberi galakan dan kesedaran kepada
pelajar tentang pentingnya penggunaan bahasa Melayu dengan betul sebagai bahasa pertuturan dan penulisan.
Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan terpenting perlu mengambil peranan penting di dalam memartabatkan bahasa kebangsaan kita dengan meneruskan kempen kesedaran seperti mengadakan “Bulan Bahasa Kebangsaan” bagi mendidik dan menarik orang ramai menggunakan bahasa Melayu.
Ia juga menyuntik semangat patriotisma di kalangan rakyat yang berbilang bangsa. Usaha murni DBP dengan mengalakkan masyarakat menulis bahasa Melayu melalui penghasilan karya bermutu seperti penulisan buku, karya ilmiah dan artikel yang mencakupi isu semasa harus diteruskan.
DBP juga perlu bergiat aktif dengan mengadakan bengkel penulisan dalam pelbagai genre dan mendidik masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan betul melalui pendidikan struktur tatabahasa.
Langkah ini juga sejajar dengan menyokong gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui penetapan kemampanan iaitu memastikan bahasa Melayu berkembang mampan dan dihormati di peringkat antarabangsa serta membina masyarakat yang sejahtera akal pemikiran dan rasional di dalam menggunakan bahasa Melayu dengan betul secara holistik.
Bersatu tenaga
Kerajaan, Kementerian Komunikasi dan pemimpin organisasi di Malaysia seharusnya bersatu tenaga mengalakkan pegawai, kakitangan kerajaan dan swasta agar bertutur dan menulis di dalam bahasa kebangsaan dengan baik.
Kita seharusnya mencontohi negara Jepun, Indonesia, China, Jerman, Perancis yang bukan sahaja mementingkan bahasa ibunda malah bangga dengan bahasa kebangsaan mereka.
Stigma atau perasaan tidak glamor atau kurang martabat menggunakan bahasa kebangsaan harus dihindar. Hakikat yang pedih; hilangnya kegemilangan dan rapuhnya penggunaan bahasa Melayu adalah kerana sifat bobrok sesetengah individu yang tidak cakna akan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan.
Kementerian Komunikasi, pihak berkuasa yang terlibat dan DBP seharusnya bersikap tegas dengan memantau penggunaan papan iklan tanda awam secara konsisten bagi memastikan bukan sahaja tiada pencemaran bahasa.
Tetapi juga bahasa Melayu digunakan dengan betul, praktikal keseragaman bahasa serta penggunaan bahasa kebangsaan oleh semua organisasi. Pelaksanaan undang-undang yang setimpal dan denda harus dikuatkuasa ke atas pihak yang gagal menggunakan papan iklan tanda awam mengikut standard piawaian yang ditetapkan.
Tuntasnya, Bahasa Melayu ini merupakan akar kita, khazanah tak ternilai dan perlu dipelihara sepanjang masa agar kesuciannya tidak dinodai oleh pencemaran bahasa yang sememangnya menghilangkan nilai keunikan dan estetikanya.
Rakyat Malaysia seharusnya menghargai nilai bahasa Melayu, menggunakannya dengan tatacara dan laras bahasa yang betul agar bahasa ibunda ini terus menjadi warisan terpelihara, berkembang mendonia, indah bahasanya dan tidak lapuk ditelan zaman.
-- BERNAMA
Norazlinda Mohammad ialah Pensyarah Kanan bidang Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka