Isu berkaitan dengan kesihatan mental di tempat kerja semakin mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.
Pelbagai langkah termasuk penghasilan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2020-2025) dan perjanjian sefahaman antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melalui Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) pada tahun 2023 dimeterai demi memperkasakan kesihatan mental di tempat kerja.
Walaupun pelbagai langkah dan dasar telah diperkenalkan termasuk Dasar Keselamatan dan Keselamatan Pekerjaan (DKKP), stigma kesihatan mental di tempat kerja masih tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dan dipandang remeh oleh segelintir majikan dan pekerja yang bekerja di Malaysia.
Hal ini terbukti apabila masih ramai pekerja yang tidak mahu mendapatkan bantuan yang sewajarnya dari pakar psikologi ataupun kaunselor apabila berhadapan dengan pelbagai tekanan, kemurungan, kebimbangan, ataupun keletihan yang melampau.
Ramai berpendapat bahawa isu ini tidak boleh diperbesarkan atau dikongsi bersama majikan kerana bimbang diberikan label-label yang negatif seperti sengaja memberi alasan, tidak professional, dan lemah.
Stigma ini akan memberikan implikasi yang negatif terhadap kualiti hidup pekerja itu sendiri yang akhirnya menyebabkan berlaku penurunan prestasi dan produktiviti yang ketara di sesebuah organisasi.
Faktor utama berlakunya stigma kesihatan mental ialah persepsi lapuk yang menganggap masalah emosi adalah disebabkan oleh kelemahan daya ketahanan pekerja itu sendiri.
Tekanan Kerja
Secara amnya, organisasi di Malaysia amat menitikberatkan disiplin dan prestasi yang tinggi bagi mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan setiap tahun.
Pekerja yang menunjukkan gejala emosi dan psikologi seringkali dikaitkan dengan tanggapan tidak stabil dan tidak tahan lasak.
Disebabkan oleh amalan budaya mementingkan diri sendiri di tempat kerja dan kepercayaan toksik seperti “kerja tetap kerja” atau “jangan bawa masalah peribadi ke pejabat”, ramai pekerja yang mengalami masalah kesihatan mental menjadi mangsa keadaan dan memilih untuk mendiamkan diri.
Kedua, budaya kerja yang sangat kompetitif di Malaysia terutamanya di sektor korporat turut menyumbang kepada stigma ini.
Kebanyakkan pekerja tidak mahu membincangkan masalah kesihatan mental secara terbuka kerana tidak mahu dinilai sebagai bermasalah, tidak produktif atau kurang kompeten.
Hal ini kerana, mereka mempunyai persepsi bahawa kepercayaan majikan, penilaian prestasi, dan peluang kenaikan pangkat akan terjejas.
Dalam keadaan yang lebih ekstrem, ada pekerja yang sanggup tidak mahu mengambil cuti sakit dan hadir ke tempat kerja dengan keadaan kesihatan mental yang buruk.
Stereotaip seperti ini menyebabkan ramai pekerja memilih untuk memendam masalah walaupun keadaan emosi mereka semakin merosot sehingga mengalami panik berulang dan kehilangan motivasi bekerja secara total.
Ketiga, walaupun banyak initiatif telah dilaksanakan untuk memberi kesedaran dan kefahaman mengenai kesihatan mental, masih ramai majikan dan pekerja menyamakan masalah psikologi dengan “gila”, “tidak boleh dipercayai”, dan “tidak stabil”.
Kekurangan pengetahuan ini bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif, tetapi turut membawa kepada prejudis dan diskriminasi.
Situasi seperti ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan diri dan peluang kerjaya, tetapi turut membuatkan pekerja berada dalam dilema untuk menyuarakan keperluan mendapatkan bantuan profesional.
Akhirnya, stigma sebegini menghalang usaha untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat serta menjejaskan usaha pelbagai pihak dalam memperkukuhkan kesejahteraan mental.
Kesan Stigma Kesihatan
Kesan stigma kesihatan mental di tempat kerja amat mendalam. Bagi pekerja yang tidak mendapatkan bantuan profesional yang sewajarnya sudah pasti hilang fokus dan minat serta sering melakukan kesilapan yang akhirnya menyebabkan kemerosotan prestasi di tempat kerja.
Sesebuah organisasi pula perlu menanggung kerugian dari sudut sumber manusia dan kos kesihatan dan operasi.
Situasi ini timbul apabila tenaga kerja tidak dapat dioptimumkan kerana kesihatan mental pekerja tidak dipantau secara berterusan, meskipun terdapat tanda-tanda awal seperti peningkatan kadar ketidakhadiran.
Bagi menangani stigma kesihatan mental di tempat kerja, setiap organisasi memainkan peranan yang besar dalam mendidik setiap pekerja agar lebih peka terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mental.
Kempen dan latihan boleh dilaksanakan agar pekerja memahami dan menerima bahawa masalah kesihatan mental bukan berpunca dari kelemahan diri, tetapi merupakan masalah kesihatan yang memerlukan bantuan profesional.
Cuti kesihatan mental juga wajar diberikan pengiktirafan yang sama seperti cuti sakit, manakala akses kepada sesi kaunseling dan intervensi perlu dipermudahkan bagi memastikan pekerja mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Pekerja juga harus diberikan pendedahan mengenai Talian HEAL 15555 untuk bantuan psikososial dan MyMinda melalui aplikasi MySejahtera, bagi membolehkan mereka melakukan saringan kesihatan mental secara atas talian dan memperoleh keputusan dengan segera.
Utamakan Budaya Keselamatan Psikologi
Selain itu, majikan harus membina dan mengutamakan budaya keselamatan psikologi di tempat kerja.
Pendekatan ini boleh dicapai dengan memberikan latihan yang mencukupi kepada pengurus atau ketua pasukan supaya mereka lebih berempati, mempunyai kemahiran mendengar yang baik serta responsif terhadap tanda-tanda awal tekanan dalam kalangan pekerja.
Majikan juga harus mengambil inisiatif menyediakan suasana yang selamat di tempat kerja.
Suasana seperti ini secara tidak langsung akan menggalakkan pekerja untuk lebih terbuka untuk berkongsi tentang cabaran atau kesukaran yang dihadapi tanpa rasa takut didiskriminasi, dipertikai atau dihukum.
Akhir sekali, pekerja juga harus memainkan peranan mereka dalam membanteras stigma kesihatan mental di tempat kerja.
Untuk mewujudkan suasana kerja yang lebih sihat, setiap pekerja seharusnya saling menghormati dan menyokong rakan sekerja, tidak menghakimi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, serta menyokong normalisasi perbincangan mengenai kesihatan mental secara terbuka.
Lama-kelamaan, stigma terhadap kesihatan mental akan berkurangan apabila pekerja saling memahami bahawa setiap individu tidak mengira pangkat, usia, bangsa, dan jantina, boleh mengalami masalah kesihatan mental.
Kesimpulannya, stigma kesihatan mental di tempat kerja masih merupakan isu kritikal yang menjejaskan kesejahteraan individu serta produktiviti organisasi.
Namun, dengan pendidikan yang berterusan, sokongan yang konsisten, dan perubahan budaya kerja, stigma ini dapat dikurangkan.
bila pekerja berasa selamat untuk mendapatkan bantuan tanpa rasa takut dilabel, tempat kerja akan menjadi persekitaran yang sihat, produktif, dan berfokus kepada kesejahteraan total.
-- BERNAMA
Dr Syarifah Maisarah Syed Alwi ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan Ahli Klinikal Psikologi Malaysia.