TINTA MINDA

KIBARAN YANG MENYATUKAN

28/08/2025 03:32 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Mohd Said Bani C.M. Din dan Ninot Aziz

Di sebuah dataran kecil pada 31 Ogos 1957, ketika Tunku Abdul Rahman melaungkan “Merdeka!” tujuh kali, rakyat Malaysia menyaksikan lahirnya sebuah simbol yang akan hidup lebih lama daripada usia kita sendiri – Jalur Gemilang.

Bendera itu dikibarkan bukan sekadar tanda kemerdekaan, tetapi janji bahawa tanah air ini akan berdiri dengan maruah, bersatu dengan semangat yang sama, walaupun kita datang daripada bangsa, agama, dan budaya yang berbeza.

Hari ini, lebih enam dekad kemudian, Jalur Gemilang masih berkibar. Namun persoalannya -- adakah ia benar-benar dikibarkan dalam jiwa kita? Atau sekadar menjadi helaian kain yang digantung separuh hati, disalah letak, bahkan ada yang menjadikannya bahan gimik murahan demi keuntungan politik dan publisiti murahan?

Bendera menjadi mangsa

Ironinya, bendera yang sepatutnya menyatukan sering menjadi mangsa sikap sambil lewa dan kejahilan sesetengah pihak.

Di luar negara, bendera sering menjadi nadi perjuangan. Lihatlah bagaimana rakyat Palestin mempertahankan bendera hitam, putih, hijau dan merah itu — bukan sekadar kain empat warna, tetapi lambang maruah, tanah air, dan hak yang dirampas.

Setiap kali bendera itu berkibar di jalanan Gaza atau di tangan seorang kanak-kanak di khemah pelarian, ia adalah nyalaan harapan bahawa perjuangan mereka belum pernah padam, walau dunia cuba memadamkannya.

Lihat bagaimana rakyat Ukraine mempertahankan bendera biru kuning mereka sebagai lambang kedaulatan.

Malah, di Amerika Syarikat yang penuh perpecahan politik, bendera mereka masih menjadi simbol yang disanjung, walau ditafsirkan dengan cara berbeza oleh pelbagai kelompok.

Isu bendera digantung terbalik

Dan kita di Malaysia? Kita diberi bendera yang cantik, sarat dengan makna — bulan sabit melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, bintang 14 bucu lambang perpaduan negeri dan wilayah, jalur merah putih tanda keberanian rakyat dan kesucian negara, kuning sebagai kedaulatan Raja berpelembagaan serta latar biru tanda perpaduan.

Namun, setelah 68 tahun, masih ada yang menggantung Jalur Gemilang terbalik, koyak, lusuh, dan salah arah. Ada pula yang menjadikannya alat propaganda murahan, mengibarkannya hanya apabila kamera sedang memandang, tetapi menyimpannya di sudut gelap sebaik sorotan hilang.

Kononnya, ada yang berkata mereka tidak tahu cara mengibarkan dengan betul. Alasan ini benar-benar mengecewakan — selepas hampir tujuh dekad, kita masih tidak mampu memahami asas paling mudah bagaimana menghormati simbol negara kita?

Jalur Gemilang menjadi penyatuan

Hakikatnya, dalam dunia yang semakin penuh perpecahan – politik, ideologi, perbezaan pandangan – Jalur Gemilang sepatutnya menjadi salah satu daripada perkara yang masih mampu menyatukan kita. Ia bukan milik satu parti, satu kaum, atau satu kumpulan elit.

Ia milik kita semua, dari nelayan di Kuala Kedah, petani di Kelantan, pelajar di Sabah, pekerja kilang di Johor, hinggalah anak perantau yang mengibarkan Jalur Gemilang kecil di asrama luar negara.

Namun kita sendiri sering membiarkannya diperkotak-katikkan, diremehkan, malah dipolitikkan.

Seolah-olah bendera ini tidak lebih daripada aksesori bermusim yang muncul sebulan sebelum Ogos dan lenyap sebaik bunga api merdeka reda. Kita lupa bahawa Jalur Gemilang bukan hanya simbol kebanggaan semasa merdeka, tetapi ingatan setiap hari bahawa kita hidup bersatu dalam satu tanah air yang sama.

Merdeka dan tanggungjawab

Merdeka bukan hanya tentang sejarah silam, tetapi tentang nilai yang kita junjung hari ini.

Apakah ertinya melaungkan “Merdeka!” jika kita masih terbelenggu dengan sikap sambil lewa terhadap simbol negara sendiri? Apakah nilainya melaungkan perpaduan jika bendera pun kita tidak mampu hormati dengan betul?

Merdeka mengajar kita bahawa kemerdekaan datang bersama tanggungjawab. Tanggungjawab untuk menjaga simbol negara. Tanggungjawab untuk memelihara makna di sebalik kibaran itu. Tanggungjawab untuk memastikan bendera ini bukan sekadar hiasan, tetapi roh yang menyatukan.

Maka, ketika kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ini, tanyalah pada diri sendiri dengan jujur: Adakah Jalur Gemilang hanya berkibar di tiang rumah, atau ia juga berkibar dalam hati kita?

Jika kita benar-benar mahu memaknakan Merdeka, kita harus bermula dengan perkara yang paling asas: hormati bendera kita. Kibarkan dengan betul. Rawat dengan baik.

Jalur Gemilang simbol untuk semua

Jangan jadikan ia bahan senda gurau atau alat propaganda. Kerana Jalur Gemilang bukan hanya simbol negara, ia adalah simbol kita semua.

Dan jika kita masih gagal melakukan perkara sekecil itu, maka laungan Merdeka kita hanyalah gema kosong di udara, tanpa makna, tanpa jiwa.

Merdeka bukan sekadar satu tarikh, bukan sekadar satu laungan. Merdeka adalah amanah, dan Jalur Gemilang adalah saksi abadi. Mari kita renungkan, apakah kita sekadar pewaris bendera ini, atau penjaga maruahnya.

Kerana pada akhirnya, yang akan menentukan kibaran itu terus menyatukan bukanlah kain yang dikibarkan, tetapi hati yang memilih untuk bersatu.

Bendera ini saksi perjuangan,

Bukan gimik atau agenda.

Jika tak mampu kita hormatkan,

Apalah erti merdeka di dada?

--BERNAMA

Prof Mohd Said Bani C.M. Din ialah Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)