Oleh Siti Jamilah Mohd Sukri, Dr Wan Khairul Aiman Wan Mokhtar
Makanan warisan melambangkan identiti dan kreativiti masyarakat setempat yang telah diwarisi resipinya dari zaman berzaman.
Ianya bukan sekadar makanan yang terhidang di atas meja, tetapi mencerminkan sejarah, budaya dan tata cara kehidupan yang diamalkan dalam seharian.
Begitu juga, makanan warisan turut menjadi simbolik kepada adat resam masyarakat setempat dari segi pantang larang dan etika pemakanan.
Dewasa kini, kebanyakan generasi muda kurang berminat untuk mempelajari teknik pembuatan makanan warisan kerana merasakan ianya tidak mengikuti peredaran masa dan agak ketinggalan zaman.
Malah, asimilasi budaya luar turut mempengaruhi corak pemakanan masyarakat tempatan seperti budaya pemakanan ‘hipster’ yang lebih mengetengahkan makanan moden berasaskan makanan segera yang mengandungi perisa-perisa tambahan yang lebih menggiurkan.
Usaha memelihara dan menyebarkan informasi tentang makanan warisan amat penting agar generasi muda terus menghargai nilai budaya dan kearifan tempatan yang telah diwarisi oleh nenek moyang kita sejak zaman dahulukala.
Dalam konteks masyarakat Malaysia, makanan warisan telah menjadi bukti yang sahih bahawa kepelbagaian etnik, agama dan budaya mampu diperkukuhkan melalui salah satu sifat yang universal, iaitu melalui makanan.
Walaupun secara asasnya makanan dihasilkan oleh etnik tertentu pada mulanya, namun disebabkan oleh proses asimliasi, kaum lain turut berminat untuk mencuba dan menggemari makanan warisan tersebut kerana keunikan rasa yang dipersembahkan melalui makanan warisan.
Keunikan rasa dan visual persembahan hidangan makanan warisan ini terbentuk melalui keupayaan masyarakat setempat mengadaptasi bahan-bahan alami yang didapati daripada sumber alam, persekitaran setempat dan amalan kehidupan telah memberi idea kepada masyarakat tempatan untuk mencipta suatu resipi makanan warisan.
Sebagai contoh, masyarakat negeri Pahang telah menggunakan bahan semula jadi seperti santan, asam rong, belimbing buluh, kunyit, lengkuas dan halia untuk digunakan ketika menyediakan hidangan lauk-pauk, kuih muih dan aneka sambal.
Penggunaan bahan berasaskan herba bukan sahaja sebagai penyedap rasa tetapi juga sebagai bahan penawar yang mempunyai khasiat perubatan.
Malah, kaedah masakan yang lama dan digodek secara perlahan-lahan amat penting untuk memastikan ketahanan makanan dalam tempoh masa yang lama sebelum penggunaan peti sejuk dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat.
Ini turut menjadi bukti kecerdikan nenek moyang sejak zaman dahulu kala yang mampu berfikir secara lestari untuk diadaptasi dalam resipi masakan sesuai dengan persekitaran kehidupan.
Mereka bukan sahaja pandai memasak, tetapi mempunyai kemampuan memahami sains disebalik penggunaan bahan dan kaedah masakan yang telah diaplikasi.
Makanan Warisan sebagai Simbolik Nilai Kesopanan Masyarakat Melayu
Makanan warisan telah menjadi salah satu simbolik nilai kesopanan yang telah lama wujud dalam diri masyarakat Melayu.
Ini boleh dilihat dari segi tradisi berkongsi makanan ketika musim perayaan dan bulan Ramadan.
Ketika musim perayaan, hidangan makanan warisan telah disajikan seperti lemang, ketupat dan rendang untuk dihidangkan kepada para tetamu yang berkunjung.
Selain itu, aktiviti bertukar hidangan antara sanak saudara dan para tetamu turut diamalkan sebagai medium sosial bagi mempereratkan hubungan antara masyarakat, mengukuhkan nilai toleransi, saling hormat-menghormati dan nilai kasih sayang.
Bahkan, ketika di bulan Ramadan, penyediaan kuih warisan seperti Kuih Tiga Beradik yang begitu sinonim dengan masyarakat Pahang telah banyak dijual di pasar besar seperti Serambi Teruntum dan pasar Tani Chenor.
Kuih Tiga Beradik terdiri daripada kuih pepena, kuih badak berkubang dan dodol kukus merupakan antara kuih warisan yang masih lagi digemari oleh masyarakat setempat.
Pada bulan Ramadan, segelintir masyarakat tempatan yang berkemampuan, akan menempah kuih ini untuk disedekahkan kepada Jemaah masjid untuk acara moreh selepas selesai menunaikan solat terawih.
Melalui makanan warisan, amalan bermasyarakat turut dipererat dan menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim disamping mendidik masyarakat akan peri pentingnya mempunyai semangat berkomuniti.
Kepelbagaian Inovasi untuk Kelestarian Makanan Warisan
Seiring dengan arus perkembangan zaman moden, banyak inovasi telah diperkenalkan untuk menyesuaikan makanan warisan dengan cita rasa moden terutamanya masyarakat pada masa kini lebih cenderung memilih makanan yang dah tersedia untuk dimakan.
Sebagai contoh, masyarakat boleh menikmati lauk pauk dalam bentuk pembungkusan ‘retort’ dan dalam bentuk sejuk beku yang mudah untuk dibawa ke mana-mana.
Perubahan ini dilihat sebagai suatu perubahan yang positif sekiranya nilai-nilai keaslian resipi kekal terpelihara dari segi penggunaan bahan dan sukatan yang digunakan.
Ini bermaksud penggunaan elemen moden boleh diperluaskan tetapi tidak bertujuan untuk menggantikan resipi warisan asal yang telah diperturunkan sejak zaman berzaman.
Sebagai contoh, penggunaan daun pisang sebagai pembungkus kuih perlu dikekalkan kerana aromanya yang wangi dan bersifat mesra alam.
Malah, penggunaan pembungkus daripada bahan semula jadi lebih selamat dan bebas daripada risiko tindakan kimia yang membahayakan berbanding penggunaan bahan daripada plastik.
Begitu juga dengan amalan pertanian secara kecil-kecilan untuk menanam bahan asas seperti serai, kunyit, cili, daun pandan, daun kesum, dan ulam-ulaman di halaman rumah perlu dikekalkan untuk menyokong kelestarian sumber makanan.
Amalan bercucuk tanam menggunakan kaedah hidroponik antara ciri tanaman moden bagi masyarakat yang mempunyai keluasan halaman rumah yang terhad.
Selain itu, masyarakat zaman dahulu jarang membazir makanan. Lebihan makanan akan diolah dengan bijak untuk menghasilkan hidangan yang lain.
Sebagai contoh, hasil tangkapan ikan sungai sekiranya dalam kuantiti yang banyak akan diolah menjadi ikan asin dan ikan pekasam, selain digunakan untuk hidangan lauk pauk.
Ikan asin dan ikan pekasam kebiasaannya akan disimpan sebagai sumber makanan ketika menghadapi musim banjir atau musim bah.
Ini kerana ketika musim tengkujuh nelayan tidak akan turun ke laut kerana faktor keselamatan.
Amalan ini sejajar dengan prinsip ‘zero waste’ yang kini giat dipromosikan di peringkat tempatan mahupun antarangsa.
Oleh itu, kita dapat melihat kearifan masyarakat tempatan bukan sahaja relevan untuk masa lampau, tetapi juga amat penting untuk menghadapi cabaran di masa hadapan.
Cabaran Memelihara Kelestarian Makanan Warisan
Walaupun makanan warisan mempunyai nilai kearifan tempatan yang unik serta potensi besar untuk dikomersialkan, usaha memeliharanya berdepan dengan pelbagai cabaran.
Perkembangan era globalisasi, asimilasi budaya luar serta permintaan terhadap makanan segera yang tinggi, telah menyebabkan generasi muda tidak begitu berminat menikmati makanan warisan.
Hatta, banyak resipi warisan semakin dilupakan kerana tiada usaha untuk mewariskan ilmu kepada generasi masa kini akibat kurangnya minat untuk mendalami ilmu makanan warisan tersebut.
Tidak dinafikan, tekanan gaya hidup moden seperti kesibukan dalam kerjaya telah menyebabkan masyarakat lebih memilih makanan segera atau makanan yang lebih mudah disediakan.
Selain itu, kekurangan bahan asli seperti santan segar yang diparut daripada kelapa segar, buah asam rong yang asli turut membantutkan motivasi masyarakat tempatan untuk menghasilkan makanan warisan dengan rasa dan kualiti sebenar.
Senario ini terjadi terutamanya dalam kalangan masyarakat yang tinggal di bandar utama yang pesat membangun.
Tambahan pula, perubahan struktur budaya dalam kehidupan seperti kekangan masa dan kurangnya pendedahan daripada keluarga tentang kemahiran memasak telah menyebabkan makanan warisan semakin terpinggir.
Ini kerana gaya hidup yang tidak begitu menekankan kemahiran memasak makanan warisan daripada ibu bapa, telah menyebabkan generasi muda tidak gemar memasak.
Jika tiada usaha yang produktif diambil, tidak mustahil banyak resipi makanan warisan akan pupus dalam masa beberapa dekad akan datang.
Usaha Memelihara dan Memartabatkan Makanan Warisan
Tidak dinafikan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak berautoriti serta masyarakat bagi memastikan makanan warisan kekal terpelihara dan terus dihargai oleh generasi masa kini.
Antara usaha tersebut termasuklah pendokumentasian resipi warisan, mempromosikan makanan tradisional melalui penyertaan dan penganjuran festival makanan, serta menawarkan kursus kulinari berkaitan di institusi pengajian tinggi.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) antara agensi yang turut memainkan peranan mengiktiraf makanan tertentu sebagai Makanan Warisan Kebangsaan dari setiap negeri.
Antaranya ialah, mengiktiraf gulai tempoyak ikan patin, gulai asam rong dan pelbagai lagi hidangan warisan sebagai satu usaha untuk memastikan masyarakat terus mengenali makanan warisan di masa kini dan masa hadapan.
Kolaborasi bersama para penyelidik dan agensi-agensi lain merupakan salah satu usaha untuk memastikan makanan warisan terus dikenali oleh masyarakat.
Malah, kerajaan turut menggalakkan penglibatan ramai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk berjinak-jinak dalam industri pembuatan makananan warisan.
Malah, ada segelintir usahawan IKS mampu memasarkan produk makanan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh, penyertaan dalam festival makanan halal antarabangsa berjaya mempromosikan makanan warisan halal di peringkat antarabangsa.
Selain itu, ramai usahawan muda yang kreatif memperkenalkan semula makanan warisan melalui platform media sosial seperti tik tok, facebook dan Instagram.
Kaedah berkongsi kisah disebalik penyediaan hidangan warisan melalui siaran langsung lebih efektif untuk menarik minat masyarakat untuk merasai dan membeli produk-produk berasaskan makanan warisan.
Malah, peranan institusi kekeluargaan turut memainkan peranan yang penting untuk berkongsi ilmu akan kaedah memasak hidangan makanan warisan, selain memberikan kefahaman akan peri penting memelihara makanan warisan tersebut.
Melalui kaedah ini, pemeliharaan makanan warisan boleh dipelihara secara semula jadi dan masyarakat akan lebih mudah tertarik untuk mengenali makanan warisan dengan lebih dekat.
Kesimpulannya, makanan warisan merupakan cerminan kearifan tempatan dan identiti masyarakat setempat yang merangkumi nilai budaya, sejarah, dan kemampuan manusia untuk mengadaptasi dengan sumber alam dalam menghasilkan suatu resipi masakan.
Dalam arus perkembangan dunia yang semakin moden, usaha memelihara makanan warisan tidak boleh diletakkan di bahu pihak berautoriti semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak.
Setiap individu perlu memainkan peranan dengan menghargai, mempelajari, mengamalkan dan mengajarkan semula resipi warisan yang telah diturunkan kepada generasi masa kini.
Memelihara makanan warisan juga bermaksud menghargai falsafah yang tersirat di sebalik setiap hidangan agar tidak lapuk dek panas dan tidak lekang dek hujan.
-- BERNAMA
Siti Jamilah Mohd Sukri ialah pelajar Ijazah Doktor Falsafah di Institut Penyelidikan dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) serta tenaga pengajar di Fakulti Sains Al-Quran UCYP University dan Dr Wan Khairul Aiman Wan Mokhtar ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).