Oleh Nurulisyazila Othaman dan Nursabiha Syahirah Mohd Idris
Saban tahun pada 16 September, kita menyaksikan rakyat Malaysia berhimpun dengan semangat patriotisme.
Bendera berkibar megah diiringi alunan lagu patriotik menyentuh jiwa semangat cinta negara dalam setiap relung hati rakyat.
Sambutan ini turut diraikan dengan pelbagai aktiviti seperti perarakan, persembahan budaya dan program bersifat kenegaraan.
Namun, di sebalik kemeriahan itu muncul persoalan penting yang wajar direnung bersama, adakah Hari Malaysia benar-benar difahami atau sekadar diraikan?
Hari Malaysia merupakan satu detik bersejarah yang sangat penting menandakan penyatuan empat wilayah, iaitu Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk negara Malaysia pada tahun 1963.
Justeru itu, Hari Malaysia sewajarnya diberi tempat yang istimewa dalam sejarah negara kerana ia membawa semangat perpaduan wilayah dan bangsa dalam membina satu identiti nasional yang inklusif.
Namun begitu, terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk melihat sambutan ini hanya sebagai satu cuti umum atau hari perayaan semata-mata.
Bagi sesetengah pihak, Hari Malaysia kurang mendapat perhatian berbanding Hari Kebangsaan.
Menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia
Sambutan Hari Malaysia tidak seharusnya bersifat simbolik semata-mata, tetapi perlu disertai dengan kefahaman, penghargaan dan tindakan yang menjurus kepada kesaksamaan dan perpaduan yang tulen.
Dalam konteks ini, peranan semua pihak adalah amat penting.
1. Peranan Institusi Pendidikan
Institusi pendidikan wajar memperkukuh pengajaran dan pembelajaran tentang sejarah Malaysia secara menyeluruh, termasuk aspek integrasi wilayah, cabaran politik dan kerjasama antara kaum.
2. Media Massa
Media massa juga seharusnya memainkan peranan penting dalam memperluas perbincangan yang sihat dan membina mengenai makna Hari Malaysia, bukan sekadar melaporkan perayaan luaran semata-mata.
3. Agensi Kerajaan
Begitu juga agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan boleh melibatkan komuniti dalam program yang menekankan nilai sejarah, patriotisme dan kesedaran sivik.
4. Sektor Swasta
Sektor swasta merupakan antara pihak yang signifikan dalam menghayati makna sebenar Hari Malaysia kerana peranannya bukan sahaja terhad kepada menjana ekonomi, malah turut mempengaruhi pembentukan nilai kemasyarakatan.
Jelas dapat dilihat sektor swasta turut berganding bahu melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Melalui program ini, syarikat dapat menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan nasional.
Di samping itu, penganjuran aktiviti berteraskan kebangsaan di tempat kerja, seperti kempen kesedaran, pameran sejarah atau aktiviti kesukarelawanan, berupaya memupuk rasa cintakan negara dalam kalangan pekerja yang datang daripada pelbagai etnik.
Peranan sektor swasta yang proaktif ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warganya, tetapi turut menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan dan institusi lain dalam memastikan erti sebenar Hari Malaysia terus difahami dan dihayati oleh seluruh rakyat.
5. Peranan Keluarga
Peranan keluarga juga tidak kurang pentingnya dalam menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.
Sambutan ini tidak seharusnya hanya disaksikan melalui skrin televisyen, sebaliknya keluarga boleh menjadi pihak utama dalam memupuk kesedaran patriotisme.
Ibu bapa boleh memperkenalkan anak-anak kepada sejarah penubuhan Malaysia, kepelbagaian kaum serta makna sebenar di sebalik sambutan tersebut.
Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan bersama keluarga, antaranya menonton dokumentari sejarah, membaca buku bersama-sama serta memperkenalkan tokoh-tokoh negara yang berjasa.
Di samping itu, keluarga juga wajar menggalakkan penyertaan seisi keluarga dalam program komuniti seperti gotong-royong sempena Hari Malaysia, menghias kawasan perumahan dengan Jalur Gemilang dan mendorong anak-anak berkongsi hasil kreatif mereka berkaitan Hari Malaysia di media sosial.
Selain itu, keluarga juga boleh memanfaatkan teknologi terkini yang lebih dekat dengan minat generasi muda bagi menyemarakkan semangat patriotik secara lebih meluas.
Semangat Hari Malaysia
Perkongsian mesej positif, nyanyian lagu patriotik, ucapan bermakna atau video kreatif bertemakan Hari Malaysia di platform media sosial bukan sahaja menceriakan suasana sambutan, malah menanam rasa bangga dan cinta akan negara dalam kalangan rakan sebaya serta komuniti maya.
Dengan cara ini, semangat Hari Malaysia dapat dihayati dengan lebih segar, inklusif serta merentasi batas umur dan latar belakang.
Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya, Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar slogan perpaduan.
Hari Malaysia seharusnya menjadi platform tahunan untuk menilai semula pencapaian kita sebagai sebuah bangsa dan memperbaharui komitmen kita terhadap prinsip keadilan, integrasi dan keharmonian.
Ia harus menjadi satu ruang untuk refleksi nasional melihat sejauh mana kita berjaya menyatukan perbezaan demi masa depan bersama.
Oleh itu, penghayatan terhadap Hari Malaysia harus melangkaui aspek perayaan.
Hari Malaysia bukan sekadar diwarna atau ditanda sebagai cuti umum pada kalendar, namun ia memerlukan kefahaman sejarah, kesedaran politik dan kesungguhan sosial untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Justeru, ia menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat yang cinta akan tanah air untuk terus memegang semangat 1963 bagi memastikan Hari Malaysia tidak hanya diraikan, tetapi benar-benar difahami.
-- BERNAMA
Nurulisyazila Othaman ialah Guru Bahasa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Nursabiha Syahirah Mohd. Idris ialah Pelajar Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Persuratan Melayu), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).