TINTA MINDA

PENGAKAP MALAYSIA: 117 TAHUN MEMACU KEPIMPINAN BELIA ERA BAHARU

17/09/2025 11:05 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Mohamad Letfee Ahmad

Pada tarikh 1 September 2025 satu lagi detik bersejarah dicatat apabila Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menyambut ulang tahun ke-117 penubuhannya, setelah kelahiran pasukan pertama di Pulau Pinang pada tahun 1908.

Tarikh ini sangat bermakna kerana ia menandakan kemasukan rasmi Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu sebagai ahli penuh Pertubuhan Sedunia Pergerakan Pengakap (World Organisation of the Scout Movement – WOSM) pada 1 September 1957, sehari selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Sebelum itu, Hari Pengakap disambut pada hari ulang tahun kelahiran pengasas pergerakan Pengakap dunia, Lord Baden-Powell pada 22 Februari. Namun, sejak tahun 1957, tarikh 1 September dipilih bagi mengangkat keunikan sejarah tanah air dalam arena kepengakapan antarabangsa.

Pengakap Dunia Berpangkalan di Kuala Lumpur

Penyertaan rasmi Tanah Melayu dalam WOSM memperkukuh kedudukan gerakan Pengakap negara di pentas global. Antara pencapaian paling signifikan ialah pemindahan ibu pejabat WOSM ke Kuala Lumpur pada 2014, menjadikan ibu kota Malaysia setaraf dengan destinasi berprestij lain dalam sejarah organisasi ini, iaitu London (1920 - 1957/59), Ottawa (1957/59 - 1968) dan Geneva (1968 - 2014).

Langkah tersebut bukan sahaja mengiktiraf sumbangan Malaysia dalam memperkasakan pembangunan belia dunia, malah meningkatkan kredibiliti Kuala Lumpur sebagai pusat aktiviti belia serantau.

Lebih Seabad Melahirkan Generasi Pemimpin

Ditubuhkan di bawah Akta Parlimen (Akta 784) dan bernaung di bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu pada peringkat negeri, PPM terus utuh memainkan peranan membentuk generasi muda yang berdisiplin, berwawasan dan bersemangat kebangsaan.

Selain Pengakap Darat, terdapat juga unit Pengakap Laut dan Pengakap Udara. Masing-masing menekankan pembinaan sahsiah melalui kemahiran khusus, daripada pengendalian bot, penerokaan laut, dan kemandirian air, kepada pembinaan model pesawat, meteorologi, serta komunikasi radio.

PPM turut mencatat pelbagai kejayaan luar biasa, termasuk:

Tiga Pencapaian dalam Malaysia Book of Records (MBOR) oleh Kumpulan Pengakap Terbuka Shiang Yang, Perak

Menara Perintis Tertinggi (2008)
Struktur setinggi 40.26 meter dibina tanpa paku menggunakan hanya buluh, bakau dan tali serat semula jadi.

Struktur “Sarang Burung” Terbesar (2012)
Struktur unik berukuran 40 meter lebar dan 125 meter lilitan.

Struktur Perintis Terpanjang (2016)
Projek mega sepanjang 80 meter yang dibina oleh 30 ahli menggunakan 200 batang buluh dan 1,600 batang kayu bakau.

Rekod-rekod Lain yang Membanggakan

Perkhemahan Pengakap Wanita Terbesar (2019)
Seramai 2,299 peserta berkumpul di Kem Tengku Muhammad Ismail, Terengganu, menjadikan ia yang terbesar pernah dicatat dalam MBOR.

Stesen JOTA-JOTI Tertinggi (2022)
Program Jamboree on the Air & Jamboree on the Internet yang diadakan di tingkat tertinggi KOMTAR, Georgetown, membuka ruang komunikasi global melalui radio dan internet.

Festival Skaf Pengakap Antarabangsa Pahang (2025)
Rekod penyertaan 22,825 orang dari 12 negara, mengulangi pencapaian luar biasa tahun sebelumnya.

Pengakap Malaysia dan Agenda Kelestarian

Selain pencapaian fizikal, PPM turut mendahului dalam usaha mendidik generasi muda mengenai kelestarian alam. Pelancaran Lencana Kepandaian Biodiversiti oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof awal tahun ini memperkukuh komitmen Pengakap Malaysia dalam pendidikan alam sekitar dan pembangunan mampan.

Pada peringkat antarabangsa, Pengakap Malaysia turut menganjurkan program penting seperti Asia Pacific Regional Social Impact and Advocacy Workshop 2025 serta South-East Asia Scout Associations Cooperation (SEASARC) Meeting 2025, yang memperkukuh imej negara sebagai peneraju pembangunan belia serantau.

Jenama Baharu, Semangat Baharu

Memasuki era baharu, PPM mengambil langkah berani melalui inisiatif penyegaran jenama yang merangkumi reka bentuk logo dan pakaian seragam baharu.

Logo baharu mengekalkan simbol ikonik fleur-de-lis atau bunga lili sambil disuntik elemen kebangsaan dan estetik moden, mencerminkan aspirasi Pengakap Malaysia yang inklusif, progresif dan berpaksikan nilai sejagat.

Proses pembangunan logo ini melibatkan kajian mendalam selama beberapa tahun sebelum diluluskan secara rasmi dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif Pengakap Negara pada 12 Oktober 2024.

Pakaian seragam baharu pula menampilkan baju berwarna emerald sea dan seluar berwarna aspen green. Pakaian seragam ini kelihatan lebih eksklusif, selesa dan sesuai untuk aktiviti lasak mahupun majlis rasmi. Selepas lebih 70 tahun menggunakan warna kelabu, perubahan ini dilihat menyuntik semangat baharu dalam kalangan lebih 300,000 ahli Pengakap aktif di seluruh negara.Transformasi jenama ini turut selari dengan pendekatan WOSM yang telah melaksanakan penyegaran identiti secara global baru-baru ini untuk menjadikan Pengakap lebih relevan, mesra digital dan berimpak tinggi.

Pengakap Komuniti: Merakyatkan Kepimpinan Belia

Selari dengan perubahan zaman, PPM kini memperluas pelaksanaan keahlian Pengakap berasaskan komuniti, khususnya di kawasan FELDA, Program Perumahan Rakyat dan komuniti luar bandar.

Pendekatan ini membuka peluang kepada belia yang tidak berpeluang menyertai unit beruniform di sekolah untuk turut serta dalam aktiviti kepengakapan.

Selain tumpuan kepada aktiviti luar, model pengakap berasaskan komuniti ini terbukti berkesan dalam mencegah gejala sosial, memupuk semangat muhibah serta memperkukuh integrasi nasional dalam kalangan belia pelbagai kaum.

Dengan sokongan berterusan semua pihak, yakni kerajaan, NGO, sektor swasta dan seluruh anggota masyarakat, inisiatif ini diyakini akan meletakkan Malaysia sebagai contoh unggul gerakan Pengakap komuniti di rantau Asia Pasifik.

Penutup

Melewati usia lebih satu abad, Pengakap Malaysia kekal sebagai institusi pembangunan belia yang dinamik, inklusif dan bersifat mendepani zaman.

Daripada pencapaian rekod kepada sumbangan dalam kelestarian, daripada penyegaran jenama kepada peluasan keahlian pengakap komuniti, PPM terus memainkan peranan penting membina negara melalui generasi muda yang berani, berintegriti dan berwawasan.

Sekali Pengakap, Selamanya Pengakap.

-- BERNAMA

Mohamad Letfee Ahmad ialah bekas Pengurus Program BERNAMA TV. Beliau kini merupakan Pesuruhjaya Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik, Persekutuan Pengakap Malaysia.


(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)