Usaha yang diambil oleh pihak kerajaan memansuhkan jenayah cubaan bunuh diri dalam negara kita perlu mendapat sokongan dari semua pihak kerana undang – undang yang telah dilaksanakan selama ini dalam negara kita bagi mengatasi masalah cubaan bunuh diri ini tidak lagi sesuai untuk digunakan.
Usaha meminda peruntukkan undang – undang terbabit akan menggalakkan mereka yang terjejas untuk tampil mendapatkan bantuan serta menghapuskan stigma negatif dan tanggapan buruk orang ramai terhadap cubaan membunuh diri.
Baru-baru ini pihak kerajaan secara rasminya menguatkuasakan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2), Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) dan Akta Kesihatan Mental (Pindaan) 2023.
Akta untuk menyahjenayah cubaan bunuh diri
Bahagian Hal Ehwal Undang- Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan berkata, pelaksanaan akta-akta tersebut merupakan pelengkap usaha kerajaan untuk menyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri.
Ia merupakan tindakan lanjut selepas pembentangan ketiga – tiga Rang Undang-Undang (RUU) itu di Parlimen, dua tahun yang lalu.
Penguatkuasaan RUU itu adalah sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia (Word Suicide Prevention Day) 2025.
RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan seorang yang cuba membunuh diri boleh didakwa di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah, boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga satu tahun pemenjaraan atau dengan denda atau kedua – duanya sekali.
Manakala, RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 pula memperkenalkan Pegawai Intervensi Krisis (PIK) yang terdiri daripada pegawai – pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kuasa bawa ke hospital psikiatri
PIK diberikan kuasa sewajarnya untuk bertindak di bawah Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] apabila berlakunya sesuatu cubaan untuk membunuh diri.
Kuasa ini antara lain bertujuan membawa seorang yang telah cuba membunuh diri ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan mengikut peruntukan – peruntukan di bawah Akta 615.
PIK boleh membawa individu ke jabatan kecemasan hospital kerajaan terdekat yang telah diwartakan untuk tujuan penilaian dan rawatan awal.
Selain itu, kesalahan persubahatan percubaan membunuh diri diperkenalkan di bawah Seksyen 306 Akta 574 dan seterusnya dibezakan berdasarkan kategori orang yang dihasut untuk melakukan tindakan – tindakan yang berkaitan di bawah seksyen 305 Akta 574.
Fokus utama kesalahan ini adalah melibatkan golongan kanak – kanak dan golongan kurang keupayaan mental kerana golongan ini adalah terdedah kepada situasi di mana mereka mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh seorang pelaku.
Isu bunuh diri sudah lama dapat perhatian
Isu bunuh diri sudah lama mendapat perhatian dalam negara kita. Bunuh diri ialah perbuatan untuk menamatkan nyawa diri sendiri. Ianya boleh dilakukan dengan pelbagai cara.
Perbuatan membunuh diri ini lazimnya berlaku kepada mereka yang menghadapi tekanan sama ada tekanan dari segi mental ataupun emosi. Individu yang terlibat akan bertindak di luar pemikiran akal yang waras dengan mengambil jalan untuk membunuh diri mereka sendiri.
Bagi semua agama, perbuatan membunuh diri adalah tidak baik dan ia adalah satu dosa.
Malah, menurut ajaran agama Islam, Kristian, dan Yahudi, perbuatan membunuh diri adalah satu dosa besar. Menurut pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap tahun terdapat lebih 720,000 kes melibatkan perbuatan bunuh diri yang dilaporkan diserata dunia.
Penularan virus Covid-19 semenjak awal tahun 2020 yang lalu serta langkah drastik yang diambil oleh kerajaan disemua negara dalam membendung penularan virus Covid-19 ini telah meningkatkan lagi jumlah kes bunuh diri dikalangan orang ramai diserata dunia.
Masalah ekonomi semasa yang tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup yang sedang dialami pada masa kini dijangka meningkatkan lagi jumlah kes dan cubaan bunuh diri diserata dunia.
Isu sensitif, serius dan kompleks
Isu cubaan bunuh diri adalah satu isu yang serius yang kompleks dan sensitif. Ia perlu diselesaikan melalui cara yang sesuai dan profesional. Isu cubaan bunuh diri tidak boleh diselesaikan melalui peruntukan undang-undang serta melalui hukuman keras terhadap diri individu yang terlibat.
Undang-undang yang melarang mana-mana pihak untuk bunuh diri sudah lama diwujudkan dalam negara kita.
Ia diwujudkan sebagai langkah pencegahan kepada orang ramai supaya tiada pihak yang melibatkan diri mereka ke dalam perbuatan untuk membunuh diri.
Ada pihak mengatakan bahawa kewujudan undang-undang ini berkenaan boleh membantu menghalang percubaan bunuh diri, tetapi kebanyakannya orang termasuk pakar-pakar perubatan berpendapat kewujudan undang-undang berkenaan hanya akan menghukum mereka yang sebenarnya memerlukan bantuan dan rawatan.
OIeh kerana terdapat hukuman penjara dan juga denda yang bakal dihadapi oleh mereka yang tidak berjaya membunuh diri maka mereka yang ingin membunuh diri ini akan mengambil langkah yang lebih drastik lagi bagi memastikan usaha membunuh diri mereka berjaya dilakukan.
Undang-undang lama tidak lagi sesuai
Ini menunjukkan kewujudan undang-undang yang berkaitan dengan bunuh diri dalam negara kita tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi mengatasi isu terbabit.
Individu yang terlibat memerlukan bantuan dari golongan pakar dan professional bagi membantu mereka hadapi masalah yang menjerumuskan diri mereka untuk membunuh diri bukannya didakwa dan dihukum dibawah mana-mana peruntukan undang-undang.
Perlu diketahui, sebarang usaha atau percubaan untuk membunuh diri adalah tanda isyarat jelas dari pihak pelaku untuk meminta pertolongan dari kita semua bukannya meminta untuk dihukum atau didenda.
Oleh yang demikian, langkah yang diambil oleh pihak kerajaan meminda peruntukan undang-undang sedia ada dalam negara kita mengenai isu cubaan bunuh diri ini perlu mendapat sokongan dari semua pihak.
Pada masa yang sama juga, semua pihak perlu memainkan peranan masing – masing bagi membantu mana-mana pihak yang didapati memerlukan bantuan.
Terdapat banyak saluran agensi, serta badan – badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara kita yang boleh menghulurkan bantuan segera terhadap mana – mana individu yang menghadapi masalah seperti Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03 – 2935 9935 atau 014 – 322 3392); Talian Kasih (15999 atau 019 – 261 5999 melalui WhatsApp); Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jakim (011-1959 8214 melalui WhatsApp) dan Persatuan Befrienders, Kuala Lumpur (03 – 7627 2929).
-- BERNAMA
Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).