Ketika media sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, isu penetapan had umur bagi kanak-kanak semakin menjadi perhatian masyarakat dan pembuat dasar.
Bagaimanapun, peningkatan akses tanpa kawalan dalam kalangan kanak-kanak menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan, kesihatan mental, dan kesejahteraan mereka di alam maya yang luas.
Kanak-kanak kini mampu memiliki akaun media sosial seawal usia tujuh atau lapan tahun, malah ada yang lebih muda.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, pendidik, dan pakar psikologi.
Buli siber dan insiden tragik
Kes buli siber dan insiden tragik akibat penggunaan media sosial tanpa kawalan menunjukkan betapa pentingnya had umur dan literasi digital terhadap kanak-kanak.
Sebagai contoh, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan operasi berskala besar, seperti Ops Pedo, bagi membongkar rangkaian kandungan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian.
Operasi tersebut menunjukkan bahawa Malaysia mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap eksploitasi kanak-kanak.
Menurut laporan DataReportal pada awal tahun 2025, terdapat 34.9 juta pengguna Internet di Malaysia, mewakili 97.7 peratus daripada jumlah penduduk.
Daripada jumlah tersebut, 25.1 juta adalah pengguna aktif media sosial, iaitu bersamaan 70.2 peratus daripada penduduk negara.
Media sosial seperti TikTok, Instagram, dan YouTube bukan sahaja menjadi ruang hiburan, tetapi turut mempengaruhi cara berfikir, bergaul, dan membentuk identiti kanak-kanak.
Media sosial berisiko tanpa pemantauan
Walaupun platform ini mampu meningkatkan kreativiti dan kemahiran komunikasi, pendedahan tanpa pemantauan boleh mengundang pelbagai risiko, termasuk buli siber, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, serta tekanan sosial untuk mencapai populariti dalam talian.
Situasi ini menimbulkan persoalan penting: adakah wajar had umur penggunaan media sosial ditetapkan bagi melindungi kanak-kanak daripada pengaruh negatif dunia digital?
Umum diketahui bahawa kanak-kanak di bawah usia 13 tahun masih dalam proses pembentukan identiti diri dan kawalan emosi.
Pendedahan kepada media sosial terlalu awal boleh menjejaskan keseimbangan perkembangan emosi serta menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan norma yang tidak sesuai dengan usia sebenar.
Garis panduan umur minimum perlu diwujudkan secara rasmi agar ibu bapa dan platform digital lebih bertanggungjawab dalam memantau aktiviti anak-anak.
13 tahun umur minimum untuk penggunaan media sosial
Cadangan menetapkan had umur juga selaras dengan pendekatan beberapa negara maju, seperti Amerika Syarikat dan Australia, yang mencadangkan umur minimum 13 tahun bagi penggunaan media sosial.
Pendekatan ini bukan bertujuan menyekat kebebasan digital, tetapi untuk memastikan kanak-kanak memperoleh kematangan kognitif dan emosi yang cukup sebelum terdedah kepada dunia maya.
Melalui pelaksanaan kawalan umur yang berkesan, kerajaan dan penyedia platform dapat mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat serta mengurangkan risiko buli siber dan eksploitasi kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, isu ini tidak semudah menetapkan angka umur semata-mata.
Cabaran pelaksanaannya masih besar, termasuk kesukaran untuk mengesahkan umur sebenar pengguna, selain perbezaan tahap kematangan antara individu.
Literasi digital lebih penting
Sesetengah pihak berpendapat bahawa pendidikan literasi digital yang berkesan lebih penting daripada sekadar mengehadkan akses.
Dari sudut sosial dan pendidikan, kanak-kanak perlu dibimbing agar memahami batas tingkah laku serta kesan tindakan mereka di alam maya.
Ibu bapa juga perlu diberikan panduan dan kemahiran untuk memantau serta mendidik anak-anak tentang etika penggunaan media sosial.
Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan atau pihak platform.
Media sosial juga mampu menjadi ruang pembelajaran dan kreativiti jika digunakan dengan bijak.
Keutamaan sebenar kini ialah mencari keseimbangan antara perlindungan dan kebebasan, memastikan kanak-kanak selamat tanpa menafikan hak mereka untuk berkembang seiring kemajuan teknologi.
Ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, institusi pendidikan, penyedia platform digital, dan ibu bapa bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang positif.
Peranan masyarakat penting
Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam mengawal kandungan yang dikongsi di media sosial.
Usaha untuk memupuk budaya melapor kandungan yang tidak sesuai, menyebarkan mesej positif, dan menghargai privasi orang lain perlu diterapkan sejak awal.
Peranan individu sebagai pengguna bertanggungjawab mampu membantu membentuk persekitaran digital yang lebih sihat dan selamat untuk generasi muda.
Dalam konteks dasar awam, kerajaan boleh mempertimbangkan Akta Kawalan Penggunaan Media Sosial bagi Kanak-kanak, seperti mana pelaksanaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Akta sebegini boleh menetapkan garis panduan umur minimum, mekanisme pendaftaran, serta tanggungjawab syarikat platform dalam melindungi pengguna muda.
Pendekatan ini bukan sekadar memperketat kawalan, tetapi juga memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa keselamatan digital merupakan tanggungjawab bersama.
Langkah penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi
Namun, langkah penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Pendidik dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai risiko serta etika dalam dunia digital.
Pendidikan literasi media perlu dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah agar pelajar dapat mengenal pasti maklumat palsu, mengurus masa skrin, dan menjaga privasi peribadi.
Kesedaran sejak awal ini dapat melahirkan generasi celik digital yang bijak menggunakan teknologi dan bertanggungjawab dalam interaksi atas talian.
Secara keseluruhannya, menetapkan had umur penggunaan media sosial bukanlah langkah menyekat kebebasan kanak-kanak, sebaliknya satu usaha melindungi mereka daripada kesan negatif yang boleh menjejaskan perkembangan mental dan sosial.
Dalam dunia yang semakin terhubung ini, kanak-kanak memerlukan panduan dan perlindungan yang sewajarnya agar dapat menggunakan media sosial secara sihat dan seimbang.
Pendekatan menyeluruh melibatkan dasar, pendidikan, dan pengawasan keluarga penting untuk memastikan kanak-kanak menggunakan media sosial dengan bijak dan bertanggungjawab.
Peranan swasta dan organisasi
Selain kerajaan dan institusi pendidikan, peranan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta juga penting dalam meningkatkan kesedaran digital dalam kalangan masyarakat.
Melalui program advokasi, bengkel keselamatan siber dan kempen kesedaran media sosial, masyarakat dapat dididik tentang cara mengenal pasti risiko dalam talian.
Pendekatan menyeluruh ini membantu membentuk budaya digital yang lebih selamat dan positif.
Ibu bapa digalakkan mengambil peranan aktif dalam pemantauan aktiviti digital anak-anak dan berbincang tentang etika penggunaan media sosial sejak awal.
Peranan bersama semua pihak amat penting bagi mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan menyokong perkembangan positif kanak-kanak.
Kesedaran dan tindakan awal dapat memastikan generasi muda menggunakan teknologi dengan bijak, kreatif, dan bertanggungjawab.
-- BERNAMA
Nur Tasneem Suhaib ialah mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan ( Pengajian Polisi ) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu ( UMT ) manakala Dr Jaharudin Padli ialah Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT.