Ramai ibu bapa berbangga apabila anak mereka berjaya melangkah ke universiti. Ia dianggap sebagai pencapaian besar dan permulaan kepada masa depan yang cerah.
Namun di sebalik kegembiraan itu, wujud satu realiti yang jarang dibincangkan secara terbuka.
Anak-anak yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi turut dibebani dengan tanggungjawab kewangan keluarga.
Fenomena ini semakin ketara apabila pelajar diminta menghantar wang kepada ibu bapa, menanggung kos adik-beradik, atau membantu membayar bil rumah.
Lebih membimbangkan, ada segelintir ibu bapa yang secara terang-terangan meminta anak-anak menyerahkan sebahagian pinjaman pendidikan mereka untuk kegunaan keluarga.
Walaupun niat itu mungkin lahir daripada keperluan, kesannya terhadap emosi dan akademik anak-anak sangat mendalam.
Dalam keadaan ini, ramai pelajar terpaksa mencari jalan untuk memenuhi tuntutan tersebut, dan salah satu cara yang paling lazim ialah dengan bekerja sambilan.
Kerja Sambilan
Kerja sambilan dalam kalangan pelajar bukanlah sesuatu yang negatif. Malah ia boleh memberi pengalaman berharga, membina kemahiran insaniah dan membantu menampung kos sara hidup.
Ramai pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang bekerja sambilan sebagai barista, juruwang, penghantar makanan atau pembantu kedai demi menampung keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan bahan pembelajaran.
Dalam sesetengah kes, kerja sambilan juga menjadi peluang untuk pelajar belajar berdikari dan mengurus masa dengan lebih baik.
Namun apabila kerja sambilan menjadi satu keperluan untuk memenuhi tuntutan keluarga dan bukan sebagai pilihan untuk pembangunan diri, ia boleh menjejaskan kesihatan mental dan prestasi akademik pelajar.
Pelajar yang terlalu letih akibat bekerja malam sukar memberi tumpuan dalam kelas.
Ada yang terpaksa menangguhkan pembelian buku, berlapar atau gagal dalam peperiksaan kerana tekanan tersembunyi yang menjejaskan kesejahteraan mereka.
Lebih menyedihkan, ada yang merasa bersalah kerana tidak mampu memenuhi permintaan keluarga walaupun mereka sendiri sedang bergelut.
Terdapat juga pelajar yang membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian disebabkan masalah keluarga yang memberi tekanan kepada kesihatan mental mereka.
Tekanan Keluarga
Dalam jangka panjang, tekanan ini boleh menyebabkan pelajar hilang motivasi, menarik diri daripada aktiviti kampus dan mengalami kemurungan.
Ibu bapa perlu memahami bahawa anak-anak di universiti sedang melalui fasa penting dalam kehidupan mereka.
Mereka bukan sahaja belajar tetapi juga membina jati diri dan masa depan. Memberi mereka beban kewangan yang berlebihan, apatah lagi menuntut pinjaman pendidikan mereka, boleh merosakkan semangat dan keyakinan diri.
Pinjaman pendidikan seperti PTPTN sepatutnya digunakan untuk menampung yuran pengajian, tempat tinggal dan keperluan akademik, bukan sebagai sumber pendapatan keluarga.
Sebaliknya ibu bapa digalakkan untuk memberi sokongan emosi dan memahami kemampuan anak-anak.
Komunikasi yang terbuka dan penuh empati boleh membantu anak-anak merasakan diri mereka dihargai dan difahami.
Soalan yang menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan anak jauh lebih bermakna daripada tuntutan kewangan yang berterusan.
Peranan Masyarakat dan Universiti
Masyarakat juga perlu mengubah persepsi terhadap pelajar universiti. Mereka bukan golongan yang sudah mampu berdikari sepenuhnya, tetapi individu yang sedang membina asas kehidupan.
Mereka masih dalam proses pembelajaran dan perlukan ruang untuk berkembang tanpa tekanan luar yang berlebihan.
Kerajaan dan institusi pengajian tinggi boleh memperluas bantuan kewangan dan program sokongan psikologi kepada pelajar yang terkesan.
Program kerja kampus yang fleksibel, bantuan kewangan tambahan dan kempen kesedaran kepada ibu bapa boleh membantu mengurangkan beban yang ditanggung pelajar.
Selain itu, pusat kaunseling pelajar perlu diperkasa agar lebih mudah diakses dan tidak lagi dianggap sebagai tempat untuk mereka yang bermasalah sahaja.
Pelajar pula digalakkan untuk berani bersuara dan menetapkan sempadan yang sihat dengan keluarga.
Mereka perlu tahu bahawa menjaga diri sendiri bukan bermakna mengabaikan tanggungjawab, tetapi satu langkah penting untuk berjaya.
Belajar menolak dengan cara yang berhemah adalah kemahiran penting yang perlu diasah sejak awal.
Universiti sepatutnya menjadi ruang untuk anak-anak belajar, berkembang dan membina masa depan.
Jika kita benar-benar mahu melihat mereka berjaya dan membantu keluarga kelak, kita perlu membebaskan mereka daripada desakan kewangan yang tidak sepatutnya dipikul semasa tempoh pengajian.
Sokonglah mereka dengan kasih sayang dan pengertian, bukan dengan tuntutan.
-- BERNAMA
Profesor Madya Kamilah Ahmad ialah Pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).