NOTA KAMPUS

BELANJAWAN 2026: DAPUR MADANI SISWA DAN JOB ON CAMPUS

16/10/2025 01:46 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq, Dr Anim Zalina Azizan

Pengumuman pelaksanaan semula Program Dapur MADANI Siswa serta peluasan inisiatif Job On Campus dalam Bajet 2026 disambut dengan penuh rasa syukur oleh warga universiti awam (UA), khususnya mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Inisiatif tersebut disifatkan sebagai bukti jelas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa yang berdepan tekanan kos sara hidup semakin mencabar.

Langkah ini juga selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, kesejahteraan dan keberdayaan rakyat.

Pengumuman itu menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan pelajar institusi pengajian tinggi yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup pasca pandemik dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Seluruh warga institut pengajian tinggi awam (IPTA) pastinya melihat pelaksanaan semula Dapur MADANI Siswa dan peluasan Job On Campus ini sebagai satu bentuk perhatian yang amat signifikan terhadap mahasiswa.

Ia bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan mereka, malah memberi sinar baharu kepada usaha universiti dalam memperkukuh ekosistem kebajikan pelajar.

Makanan berkhasiat, harapan diteruskan

Program Dapur MADANI Siswa yang diumumkan semula dalam Bajet 2026 berfungsi menyediakan makanan berkhasiat secara percuma kepada pelajar yang memerlukan.

Usaha ini dijangka memberi kelegaan kepada ribuan mahasiswa di seluruh negara yang kini berdepan cabaran menampung perbelanjaan harian.

Program seumpama itu pernah dilaksanakan sebelum ini melalui inisiatif Food Bank Siswa dan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) serta alumni, namun kali ini pelaksanaannya dijangka lebih menyeluruh dan tersusun dengan sokongan kerajaan pusat.

Melalui Dapur MADANI Siswa, kerajaan mahu memastikan tiada pelajar yang berlapar atau menahan diri daripada makan kerana kekangan kewangan.

Setiap mahasiswa berhak mendapatkan makanan seimbang agar dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajian.

Selain aspek bantuan makanan, pelaksanaan program ini juga mendidik nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Sukarelawan yang menguruskan dapur akan didedahkan kepada semangat kesukarelawanan, pengurusan logistik dan kerja berpasukan, sekali gus melahirkan pelajar yang lebih prihatin terhadap keperluan rakan-rakan mereka.

Job On Campus buka peluang jana pendapatan

Pada masa sama, inisiatif Job On Campus yang diperluas di bawah Bajet 2026 turut disifatkan sebagai langkah strategik kerajaan dalam membantu mahasiswa menjana pendapatan sampingan.

Program ini membuka peluang pekerjaan separuh masa di dalam kampus seperti di pejabat pentadbiran, perpustakaan, makmal, kolej kediaman dan pelbagai unit sokongan universiti.

Peluang bekerja sambilan ini bukan sahaja membantu mahasiswa menampung kos sara hidup, tetapi turut memberi pengalaman kerja sebenar dan kemahiran insaniah yang amat berguna selepas mereka menamatkan pengajian.

Pengalaman bekerja di dalam kampus juga memberi kelebihan kepada pelajar dalam memahami budaya kerja sebenar seperti pengurusan masa, tanggungjawab dan komunikasi profesional.

Inisiatif itu sebagai peluang membina jalinan kerja yang lebih rapat antara pentadbiran dan pelajar, selain dapat membantu melancarkan pelbagai urusan operasi serta aktiviti di peringkat kampus.

Komitmen kerajaan dan universiti selaras

Kedua-dua inisiatif ini membuktikan kerajaan tidak meminggirkan suara mahasiswa, khususnya golongan B40, dalam merangka dasar fiskal negara.

Ia juga mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada kehidupan kampus yang sejahtera dan berkualiti.

Sokongan kerajaan melalui Belanjawan 2026 ini wajar dihargai dan IPTA perlulah memastikan agar penyaluran segala bantuan ini dilakukan dengan telus dan tersasar kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

Manakala program Job On Campus pula perlu diperkasa dengan gabungan latihan kepimpinan dan modul pembangunan sahsiah agar mahasiswa memperoleh nilai tambah daripada pengalaman bekerja sambilan itu.

Pelajar MADANI, negara sejahtera

Program seperti Dapur MADANI Siswa dan Job On Campus bukan sekadar bantuan sementara, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha melahirkan generasi pelajar yang berdaya tahan, berempati dan berdikari.

Ia juga membentuk budaya kebersamaan di kampus, yang mana mahasiswa saling membantu dan menyokong antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang.

Apabila mahasiswa tidak lagi terbeban dengan masalah kewangan dan makanan, tumpuan mereka terhadap akademik akan meningkat.

Keadaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pencapaian akademik yang lebih baik serta peningkatan kualiti graduan universiti.

Pendekatan berteraskan nilai MADANI yang diketengahkan kerajaan menjadi asas penting dalam membina masyarakat kampus yang seimbang antara ilmu, akhlak dan kesejahteraan.

Tanda cinta kerajaan kepada mahasiswa

Belanjawan 2026 jelas bukan sekadar dokumen perangkaan ekonomi, tetapi manifestasi kasih sayang dan keprihatinan kerajaan terhadap generasi muda yang bakal menerajui masa depan negara.

Dapur MADANI Siswa dan Job On Campus membuktikan bahawa kebajikan mahasiswa terus menjadi agenda utama dalam pembangunan negara, selaras dengan hasrat melahirkan rakyat yang seimbang dan berdaya saing.

Komitmen daripada kerajaan serta kerjasama daripada universiti dan masyarakat mampu memberi impak besar kepada kehidupan mahasiswa.

Apabila mahasiswa hidup dalam suasana kampus yang sejahtera dan inklusif, mereka akan lebih bersedia menghadapi cabaran dunia luar. Inilah erti sebenar pembangunan insan dalam kerangka Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

Prof Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Dr Anim Zalina Azizan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)