TINTA MINDA

NADI MARITIM LUMPUH: PUNCA KRISIS GLOBAL 2026

24/03/2026 11:40 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi

Tarikh 28 Februari 2026 akan terpahat dalam sejarah ekonomi moden sebagai detik lumpuhnya perdagangan global.

Konflik geopolitik membabitkan kuasa besar dan pemain serantau antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran telah mencetuskan anjakan tektonik yang melumpuhkan landskap perniagaan dunia pada skala yang tidak pernah disaksikan, malah lebih parah berbanding era pandemik Covid-19.

Namun, apa yang membezakan krisis kali ini adalah kemunculan fenomena “Dual Chokepoint Failure” atau Kegagalan Serentak Dua Titik Sempit, yang menyaksikan Selat Hormuz dan Laut Merah tertutup rapat kepada laluan komersial.

Selat Hormuz merupakan laluan tunggal bagi hampir seluruh eksport minyak dan gas daripada negara-negara Teluk.

Laut Merah pula berfungsi sebagai koridor kritikal menuju ke Terusan Suez iaitu laluan maritim yang menghubungkan pasaran Asia dan Eropah.

Apabila Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) mengisytiharkan penutupan Selat Hormuz dan kumpulan Houthi dari Yaman memperhebat serangan nekad di Laut Merah, sistem imun logistik dunia secara rasminya runtuh.

Statistik terkini menunjukkan impak yang amat menggerunkan apabila trafik kapal tangki di Selat Hormuz menjunam sehingga 90 peratus dalam tempoh seminggu.

Lebih 20 peratus bekalan minyak mentah dunia dan sebahagian besar gas asli cecair (LNG) melalui laluan ini, dunia kini berhadapan dengan defisit tenaga yang bakal melonjakkan harga komoditi ke paras luar jangka.

Peningkatan Kos Operasi

Keadaan di lapangan setakat 6 Mac menggambarkan skala krisis yang amat meruncing.

Dianggarkan sebanyak 470,000 unit kontena (TEU) kini terperangkap di dalam kawasan Teluk tanpa jalan keluar, manakala lebih 200 kapal komersial dilaporkan terdampar di kedua-dua sisi Selat Hormuz.

Situasi ini bertambah parah apabila syarikat perkapalan gergasi seperti Maersk, MSC, dan CMA CGM secara rasmi menggantung semua transit ke wilayah tersebut.

Kos alternatif kini melonjak tinggi.

Pengalihan laluan kapal melalui Tanjung Harapan, Afrika bukan sahaja menambah jarak perjalanan sebanyak 6,000 kilometer, malah menambah tempoh pelayaran antara 14 hingga 28 hari.

Kelewatan ini secara langsung mengakibatkan pusingan modal syarikat terjejas dan kos operasi kapal meningkat mencecah jutaan dolar bagi setiap pelayaran.

Kesan rantaian ini merebak pantas ke sektor udara apabila ruang angkasa di tujuh negara Timur Tengah ditutup sepenuhnya, mengakibatkan kapasiti kargo udara global merosot sebanyak 18 peratus secara mendadak.

Akibatnya, hukum permintaan dan penawaran telah meletakkan industri dalam keadaan panik dengan kos tambang udara melonjak sehingga 400 peratus dalam masa 48 jam.

Bagi industri yang bergantung kepada penghantaran pantas seperti semikonduktor dan komponen elektronik di Malaysia, kenaikan kos ini adalah satu tamparan hebat.

Ancaman Sektor Pertanian

Dari sudut ekonomi makro, krisis ini adalah pemangkin kepada hiper-inflasi yang sangat sukar dibendung.

Harga minyak mentah Brent telah melonjak antara 10 peratus hingga 13 peratus, manakala harga gas asli di Eropah dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda.

Beban kewangan industri semakin berat apabila syarikat insurans bertindak membatalkan perlindungan bagi risiko perang di zon Teluk berkuat kuasa 5 Mac.

Akibatnya, premium insurans ad-hoc melambung sehingga lima kali ganda, satu kos yang akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna akhir.

Satu lagi impak yang sering terlepas pandang tetapi amat kritikal adalah ancaman kepada sektor pertanian. Qatar dan UAE merupakan pembekal utama input baja nitrogen kepada pasaran global.

Apabila eksport ini terhenti, petani di seluruh dunia berhadapan dengan kekurangan baja pertanian mereka.

Tanpa input pertanian yang mencukupi, hasil tanaman dunia diramal akan merosot mendadak, sekali gus mencetuskan krisis jaminan makanan global yang mampu menggugat kestabilan sosial di banyak negara.

Sebagai langkah ke hadapan, komuniti industri tidak lagi boleh bergantung kepada model Just-in-Time (JIT). JIT terbukti terlalu rapuh dalam menghadapi kejutan geopolitik sehebat ini.

Strategi nasional dan korporat perlu beralih dengan segera kepada pembinaan stok keselamatan (safety stock) yang mampu bertahan sekurang-kurangnya 4 hingga 8 minggu.

Syarikat-syarikat harus segera melakukan audit menyeluruh terhadap pendedahan rantaian bekalan mereka.

Mereka perlu tahu dengan tepat di mana setiap komponen produk mereka dihasilkan dan melalui laluan mana ia dihantar.

Selain itu, penilaian semula klausa Force Majeure dalam kontrak masing-masing adalah wajib bagi mengelakkan liabiliti undang-undang yang boleh memufliskan syarikat akibat kegagalan penghantaran yang di luar kawalan mereka.

Di peringkat strategik, penekanan terhadap "Regionalism" atau mencari sumber bekalan dari negara jiran yang lebih stabil adalah satu keperluan mendesak.

Mencari rakan dagang di rantau Asia Tenggara atau Oceania yang lebih selamat daripada gangguan "chokepoint" maritim adalah langkah strategik untuk kelangsungan jangka panjang.

Dunia pasca-Mac 2026 membuktikan bahawa rantaian bekalan yang cekap, tahan lasak, dan tangkas bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kemestian. Ini kerana kestabilan bekalan adalah jaminan keselamatan negara.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengeluaran dan Pengurusan Operasi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)