NOTA KAMPUS

UM PERKASA KEMAHIRAN PERTOLONGAN CEMAS MELALUI MYRESQ

12/11/2025 08:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Hafyzuddin Md Yusuf

Suasana sibuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bertukar cemas apabila seorang lelaki tiba-tiba rebah di balai ketibaan.

Nafasnya terhenti, nadi tiada. Namun, di tengah kekalutan itu, seorang wanita muda tampil sebagai wira.

Dengan tenang, beliau memulakan tekanan dada, sementara alat Automated External Defibrillator (AED) digunakan. Beberapa saat kemudian, denyutan nadi kembali — nyawa berjaya diselamatkan.

Kejadian dramatik pada April 2025 ini tular di media sosial, dengan ribuan netizen memuji keberanian dan tindakan pantas wanita tersebut. Namun tidak semua cerita berakhir sebegitu baik.

Pada Kejohanan Badminton Remaja Asia 2024 di Yogyakarta, suasana riang bertukar tragedi apabila pemain muda China, Zhang Zhijie, 17 tahun, rebah di gelanggang.

Tiada bantuan CPR atau defibrilasi segera diberikan. Detik kritikal berlalu tanpa tindakan — dan nyawa Zhang tidak dapat diselamatkan.

Dua insiden berbeza, dua pengakhiran berlawanan. Namun mesejnya jelas, iaitu masa adalah musuh utama dalam usaha kita menyelamatkan nyawa.

Jurang kritikal

Kajian di Melaka pada 2019 mendedahkan hakikat mengejutkan: daripada 1,780 kes Out-of-Hospital Cardiac Arrest (OHCA), hanya dua (0.11%) mangsa menerima CPR daripada orang awam.

Menurut statistik, setiap minit kelewatan memberikan defibrilasi meningkatkan risiko kematian antara 10 hingga 12 peratus. Kelewatan empat hingga lima minit dalam melakukan CPR pula boleh menurunkan peluang hidup mangsa sebanyak 27 peratus.

Sebaliknya, defibrilasi awal dalam tiga hingga lima minit pertama mampu meningkatkan kebarangkalian mangsa hidup antara 50 hingga 70 peratus.

Sesungguhnya setiap saat itu amat berharga, dan setiap tangan mampu menyelamatkan nyawa.

UM dan inisiatif MyResQ

Menyedari kepentingan ini, Universiti Malaya melalui Inisiatif MyResQ tampil memperkasa masyarakat dengan ilmu dan kemahiran pertolongan cemas. Program ini dibiayai oleh Yayasan Inovasi Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diketuai oleh Dr Mohd Hafyzuddin Md Yusuf, Pensyarah Jabatan Perubatan Kecemasan, Universiti Malaya serta disokong oleh Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares).

Beliau dibantu oleh Dr Mohd Afiq Mohd Nor, pengasas bersama aplikasi MyResQ dan Yang Dipertua Ikram Health, serta Dr Mohammad Aizuddin Azizah Ariffiin, Pakar Perubatan Kecemasan di KPJ Tawakal.

Melalui kerjasama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), MyResQ telah menjelajah pelbagai kawasan termasuk DUN Lembah Jaya dan Seri Kembangan, melatih masyarakat dalam kemahiran CPR, penggunaan AED, serta tindakan kecemasan.

Program ini dijangka diperluaskan ke 10 lokasi lagi pada tahun 2025 dan 2026 — dengan matlamat melahirkan lebih ramai penyelamat komuniti berdaftar di bawah platform MyResQ.

Gerakan global

Pada 27 September 2025, bersempena FIMA Lifesavers Day, Inisiatif MyResQ turut berkolaborasi bersama Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) bagi mengadakan latihan CPR di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Shah Alam.

Program ini merupakan sebahagian daripada gerakan global di bawah Federation of Islamic Medical Associations (FIMA), yang bertujuan mendidik masyarakat dunia tentang pertolongan cemas sempena World Heart Day.

Di Malaysia, aktiviti ini dijalankan serentak di pelbagai lokasi termasuk Masjid Negara, Masjid Bandar Seri Putra, dan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah IIUM.

Peserta diajar teknik CPR untuk dewasa dan bayi, Heimlich Maneuver, dan penggunaan AED. Pendek kata — ilmu asas yang boleh membezakan antara hidup dan mati.

Menurut Dr Mohd Hafyzuddin, inisiatif MyResQ menggunakan prinsip asas dan menekankan langkah mudah namun kritikal yang boleh diingati semua yang menggunakan akronim ‘DRS ABCD’.

“DRS merujuk kepada Danger, Response, dan Shout; tiga perkara pertama yang sepatutnya didahulukan apabila kita berada dalam situasi cemas sedemikian.

Kita perlu memastikan mangsa berada dalam kawasan yang selamat, memeriksa reaksi mangsa, dan menghubungi talian 999 dengan segera.

“ABCD pula merujuk kepada empat langkah CPR yang patut dimulakan segera, iaitu Airway, Breathing, Compression, dan Defibrillation. Kita perlu memastikan laluan udara mangsa tidak terhalang; memeriksa nafas mangsa selama 10 saat; menekan dada mangsa 100-120 kali dalam masa seminit dengan kedalaman 5-6 cm; dan akhir sekali menggunakan AED, jika ada,” terangnya panjang lebar.

Menuju masyarakat penyelamat

Dengan usaha berterusan daripada Universiti Malaya, Ikram Health, dan agensi rakan strategik, Inisiatif MyResQ diharap menjadi pemangkin revolusi kesedaran pertolongan cemas dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kerana pada akhirnya, setiap detik dan setiap tindakan boleh menjadi penentu harga sebuah nyawa, dan penyelamatnya mungkin adalah anda sendiri.

-- BERNAMA

Dr Mohd Hafyzuddin Md Yusuf ialah Ketua Projek Inisiatif MyResQ dan Pensyarah Perubatan di Universiti Malaya

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)