TINTA MINDA

PERKASA ETIKA DAN INTEGRITI AKADEMIK DALAM LANDSKAP KECERDASAN BUATAN

12/11/2025 11:38 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Profesor Ts Dr Rabiah Ahmad dan Profesor Datuk Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim

Umum mengetahui universiti adalah pusat penjanaan ilmu dan penghasilan bakat untuk tenaga kerja mahir negara dan dunia. Pelbagai program akademik disajikan di universiti untuk calon mahasiswa bagi penganugerahan segulung ijazah.

Universiti tidak akan lengkap tanpa penggeraknya. Enjin utama sebuah universiti adalah terdiri daripada kakitangan akademik dan sokongan dengan Nisbah 60:40, atau mungkin 50:50.

Kelayakan staf akademik

Kelayakan tertinggi untuk menjadi ahli akademik adalah ijazah doktor falsafah. Manakala deskripsi tugasan meliputi pengajaran, penulisan, penyelidikan, pentadbiran dan perkhidmatan masyarakat.

Staf akademik juga mengutama nilai universiti dalam melaksanakan tugasan. Nilai universiti seperti integriti, profesional, berdaya saing dan tahan lasak. Seorang ahli akademik atau sering disebut pensyarah perlu meletakkan nilai-nilai akademik dalam tugasan supaya ia boleh dicontohi oleh pelajar.

Ledakan kecerdasan buatan

Ledakan kecerdasan buatan dalam aktiviti pendidikan dan penyelidikan telah menjadi satu fenomena gedung ilmu.

Pendekatan e-learning bermula sekitar awal tahun 1997 dan kemudian kaedah ini diperbaiki melalui teknologi multimedia supaya pembelajaran lebih interaktif. Kini pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran diperkenalkan antaranya aplikasi Kahoot, google space dan seumpamanya.

Dalam penyelidikan pula, teknologi ICT digunakan untuk pencarian maklumat melalui pangkalan data atau enjin web. Selain itu bagi memudahkan pencarian literasi ahli akademik didedahkan dengan persian Mandeley, ResearchGate, EndNote dan banyak lagi.

Kini teknologi kecerdasan buatan atau Artifical Ingtelligence (AI) mendapat perhatian daripada kumpulan pelajar universiti dan kakitangan akademik.

AI: Pensyarah perlu menjaga reputasi akademik

Bagi meningkatkan kerjaya sebagai ahli akademik, seorang pensyarah perlu menjaga reputasi untuk lebih dikenali. Reputasi terjaga dengan kualiti penyelidikan dan penulisan.

Kedua faktor ini menyumbang kepada ilmu baharu untuk disampaikan kepada pelajar. Persoalannya sekarang apakah AI alat yang membantu dalam meningkatkan reputasi ahli akademik atau sebaliknya?

Kedua, adakah AI mengundang kepada cabaran integriti dalam kalangan ahli akademik? Akhir sekali apakah universiti perlukan dasar dan garis panduan dalam penggunaan AI bagi meningkatkan kualiti serta reputasi akademik? Tiga persoalan pokok untuk dicari jawapannya.

Penggunaan ChatGPT

Menarik untuk kita mengenali aplikasi AI yang kerap digunakan oleh kumpulan akademik di institusi pendidikan tinggi. Pertama ChatGPT, satu aplikasi yang amat membantu dalam membina satu dokumen ilmu.

Konsep tool adalah mudah iaitu “anda tanya saya jawab”. Jika pengguna ChatGPT bijak menyatakan soalan maka struktur jawapan terbina mengikut objektif pertanyaan.

Hasil dari jujukan soalan boleh membentuk satu penulisan. Namun, cabaran utama adalah sumber maklumat dari aplikasi ini belum pasti dari pangkalan data yang sahih dan boleh dipercayai.

Penggunaan ChatGPT ini mungkin mengundang kepada keretakan nilai integriti seseorang pensyarah.

Dalam satu penulisan artikel untuk terbitan jurnal Penyelidikan antarabangsa menyebut, garis panduan penulisan artikel perlu ditambah baik dengan menambah pernyataan penulis iaitu: deklarasi peratusan menggunakan aplikasi ChatGPT.

Persoalannya sekarang seharusnya seorang ahli akademik disanjung kerana kejituan penulisan hasil dari penyelidikan, akan tetapi penggunaan ChatGPT mencacatkan cerminan integriti ilmuan.

Nilai tinggi ahli akademik

Nilai sebuah integriti kepada seorang ahli akademik amat mahal. Malah tiada nilaiannya. Jika peribadi seorang ahli akademik tercalar kerana integriti pastinya reputasi terbenam dan universiti mendapat tempias.

Benar, universiti perlukan ranking dan indikator pencapaian bergantung kepada inisiatif pensyarah yang sentiasa berinovasi.

Namun, penghasilan kuantiti tanpa integriti ibarat berketuk pada tin kosong. Bunyi kuat dalamnya kosong. Justeru itu, wajar untuk setiap kakitangan akademik mempunyai garis panduan bagi rujukan peribadi dalam penggunaan teknologi.

Garis panduan yang dibina perlu berteraskan kepada nilai sanjung akademik iaitu jujur, profesional, integriti dan telus.

Seorang pemimpin akademik akan terserlah petah kerana ilmunya. Menggunakan teknologi AI adalah ibarat memegang senjata. Jika terpandu gunanya, dapatlah pertahankan diri dan keluarga.

Namun jika senjata yang digunakan hasad dan nafsu, ia membawa kepada pertumpahan darah. Begitu juga dengan teknologi AI jika aplikasi tanpa akal, yang cerdik itu teknologi manakala penggunanya hilang jati ilmu.

Untuk terus disanjung, menerokalah ilmu dengan hikmah dan keberanian. Keberanian dengan nilai integriti tinggi terbentuk secara asuhan. Setiap ahli akademik harus berpegang kepada nilai integriti, adab dan sikap saling menghormati untuk memastikan kejayaan dan kegemilangan dikecapi bersama.

--BERNAMA

Profesor Ts Dr Rabiah Ahmad, FASc ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) manakala Profesor Datuk Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim ialah Profesor Khas A, Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)