SUARA BELIA

BELAJAR URUS DOMPET, ELAK TEKANAN HIDUP DI KAMPUS

19/11/2025 12:04 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Suriayati Baharom, Iffah Maisarah Izzati Mohd Izam

Dalam dunia pendidikan masa kini, isu pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar semakin mendapat perhatian serius daripada semua pihak memandangkan ia bukan sahaja melibatkan aspek kewangan semata, malah turut mempengaruhi kesejahteraan mental dan akademik mereka.

Kehidupan pelajar abad ke-21 bukan sekadar menghadapi cabaran akademik, tetapi turut berhadapan dengan tekanan kewangan yang semakin membebankan.

Ramai pelajar institusi pengajian tinggi kini sukar menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Selain itu, gaya hidup yang tidak seimbang serta kurangnya ilmu dan disiplin dalam mengurus wang turut menjadi punca tekanan kewangan pelajar.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia dan Financial Education Network 2023, tahap literasi kewangan dalam kalangan belia Malaysia masih berada di bawah purata nasional, dengan ramai yang tidak mempunyai tabungan tetap dan cenderung berbelanja melebihi kemampuan mereka.

Kos Sara Hidup Pelajar IPTA

Kos sara hidup pelajar universiti awam di Malaysia dianggarkan antara RM1,200 hingga RM1,800 sebulan, meliputi keperluan asas seperti makanan, pengangkutan, penginapan, dan bahan pembelajaran.

Bagi pelajar dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah (B40), beban kewangan ini amat dirasai kerana walaupun ada menerima bantuan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Jumlah yang diterima bergantung kepada pendapatan ibu bapa dan seringkali tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian sepenuhnya.

Keadaan ini menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa menangguh pembayaran yuran kolej atau melibatkan diri dalam bentuk hutang yang lain demi kelangsungan pengajian mereka.

Selain daripada tekanan kewangan asas, media sosial dan gaya hidup digital turut memberi impak tidak kurang hebatnya.

Budaya ‘ikut trend’ dan perasaan fear of missing out (FOMO) menyebabkan pelajar berbelanja di luar kemampuan semata-mata untuk mengekalkan imej sosial.

Sering kali, mereka tertarik untuk membeli barangan mewah atau mengikuti trend terkini, walaupun keadaan kewangan mereka tidak mengizinkan.

Akibatnya, ramai yang terperangkap dalam kancah hutang dan kewangan tidak stabil, menyebabkan stres tambahan dan gangguan kepada kehidupan harian.

Ramai juga mula bergantung kepada pinjaman segera melalui aplikasi kewangan digital yang menawarkan kemudahan tetapi dengan kadar faedah yang tinggi.

Kesan Tekanan Kewangan

Kajian oleh Xu & Rashid pada tahun 2023, tekanan kewangan ini memberi kesan yang besar bukan sahaja terhadap akademik pelajar, tetapi juga terhadap kesihatan mental dan sosial mereka.

Pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan kerap mengalami kebimbangan, kemurungan, gangguan tidur dan stres yang melampau.

Keadaan emosi yang tidak stabil ini melemahkan motivasi dan kecekapan belajar, sekali gus menjejaskan prestasi akademik mereka.

Tambahan pula, mereka yang berhadapan masalah kewangan mungkin mengasingkan diri dari aktiviti sosial kerana ketidakmampuan menyertai program yang memerlukan perbelanjaan, sekali gus mengurangkan rangkaian sosial dan sokongan emosi yang kritikal dalam kehidupan pelajar.

Situasi disokong oleh kajian Fauzi, Mohamad & Khoo (2022) yang menunjukkan pelajar dengan tekanan kewangan tinggi mempunyai tahap kesejahteraan mental yang lebih rendah dan prestasi akademik yang menurun.

Pengurusan Kewangan

Ini menunjukkan pengurusan kewangan bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga aspek kesihatan mental dan sosial yang saling berkait rapat.

Dalam menghadapi cabaran kewangan ini, penglibatan pelajar sendiri sangat penting.

Salah satu langkah efektif yang boleh diambil oleh pelajar ialah bekerja sambilan (part-time) yang sesuai dengan waktu pengajian mereka.

Kerja sambilan bukan sahaja membantu menambahkan pendapatan dan membantu pelajar menampung keperluan asas, tetapi juga memberi pengalaman praktikal dan kemahiran pengurusan masa yang berguna.

Pelajar yang bekerja sambilan lebih bijak mengurus kewangan peribadi dan berupaya untuk menangani tekanan kewangan dengan lebih teratur.

Walaupun pekerjaan sambilan dapat membantu menampung perbelanjaan harian, ia juga boleh membawa kesan negatif jika tidak diurus dengan baik.

Ada pelajar yang terpaksa mengorbankan masa belajar atau tidur kerana jadual kerja yang padat, sekali gus menjejaskan prestasi akademik mereka.

Justeru, pelajar harus bijak menilai kemampuan diri dan menetapkan had masa bekerja agar keseimbangan antara akademik dan kewangan dapat dicapai.

Literasi Kewangan

Di samping itu, pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menambah baik kemahiran literasi kewangan mereka.

Mereka harus didedahkan kepada pengetahuan dan teknik pengurusan bajet yang efektif serta didorong untuk merancang perbelanjaan dengan teliti.

Contohnya, menyediakan bajet bulanan yang merangkumi keperluan utama dan menyisihkan wang simpanan sebagai persediaan kecemasan.

Mengawal perbelanjaan impulsif dan menolak tekanan sosial untuk berbelanja menurut trend adalah sikap penting yang perlu dipupuk.

Menurut laporan Financial Issues and Students’ Stress (Aziz et al., 2025), pelajar yang mengikuti program literasi kewangan menunjukkam tahap stres yang lebih yakin dalam membuat keputusan kewangan harian.

Universiti dan kerajaan juga perlu membantu dengan menyediakan program dan kemudahan sokongan kewangan yang lebih holistik.

Ini termasuk memperluaskan skim biasiswa, elaun sara hidup, serta subsidi makanan dan penginapan bagi meringankan beban pelajar berpendapatan rendah.

Di samping itu, sokongan kaunseling kewangan dan psikologi perlu diperhebat supaya pelajar yang mengalami tekanan dapat mendapat bantuan bukan sahaja dari segi material tetapi juga mental.

Membentuk Budaya Pengurusan Kewangan Sihat

Dalam membentuk budaya pengurusan kewangan yang sihat, sesi ceramah dan latihan pengurusan wang perlu dijadikan rutin di peringkat institusi pengajian tinggi.

Ia membantu membekalkan pelajar dengan prinsip kewangan yang kukuh supaya mereka tidak mudah terjebak dalam masalah kewangan apabila berada di alam pekerjaan nanti.

Cabaran kewangan pelajar masa kini merupakan isu kompleks yang memerlukan tindakan menyeluruh daripada pelbagai pihak.

Penglibatan pelajar melalui kerja sambilan dan peningkatan ilmu pengurusan kewangan merupakan langkah penting dalam mengurangkan tekanan serta membina kestabilan hidup.

Dengan sokongan berterusan daripada institusi dan kerajaan, pelajar berpeluang menikmati kehidupan akademik yang lebih seimbang dan bersedia menghadapi masa depan dengan keyakinan.

Akhirnya, kesejahteraan pelajar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui keupayaan mereka mengurus kewangan secara bijak sebagai asas kepada kestabilan hidup selepas menamatkan pengajian.

-- BERNAMA

Izzati Mohd Izam ialah Pelajar Pengajian Diploma Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara Kampus Rembau Cawangan Negeri Sembilan dan Suriayati Baharom ialah Ketua Unit Media dan Kewartawanan, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)