Oleh Nor Haizan Jafri, Jaharudin Padli
Dalam era digital yang semakin pesat, media sosial bukan lagi sekadar platform untuk bersosial atau berkongsi gambar.
Sebaliknya, ia telah bertukar menjadi medium utama yang mengubah cara anak muda bekerja, berfikir dan menjana pendapatan.
Kemunculan pelbagai platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube membuka ruang baharu kepada generasi muda untuk terlibat dalam ekonomi digital secara lebih mudah, kreatif dan interaktif.
Fenomena ini turut mencerminkan perubahan lanskap ekonomi negara.
Media sosial kini menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa platform digital mampu melahirkan lebih ramai usahawan muda dan pencipta kandungan yang berdaya saing di peringkat global.
Peranan Pendidikan Tinggi Dalam Memacu Kemahiran Digital
Seiring perkembangan ini, institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran dunia digital.
Kursus-kursus seperti pemasaran digital, analisis media sosial dan reka bentuk kandungan menjadi antara bidang yang semakin mendapat sambutan kerana keperluan pasaran terhadap tenaga kerja mahir dalam industri digital.
Pendedahan awal kepada ilmu digital bukan sahaja membantu mahasiswa memahami strategi menjana pendapatan dalam talian, malah melahirkan graduan yang mampu mencipta nilai ekonomi baharu melalui kandungan kreatif dan keusahawanan digital.
Tokoh Digital Tempatan Sebagai Inspirasi
Beberapa kejayaan anak muda tempatan menjadi bukti bahawa media sosial mampu menjadi batu loncatan kepada kerjaya dan kejayaan ekonomi.
Antaranya, Khairul Aming yang berjaya mengembangkan perniagaan Sambal Nyet melalui platform digital, serta Sofyank iaitu pencipta kandungan visual (VFX) yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Turut menonjol ialah Aisar Khaled yang aktif dalam keusahawanan digital melalui pengaruh media sosial.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa ilmu, kemahiran dan kreativiti adalah aset utama yang mampu menukar media sosial kepada sumber pendapatan berterusan bagi generasi muda.
Inisiatif Kerajaan Memperkukuh Ekonomi Digital
Kerajaan turut mengambil langkah proaktif dalam merancakkan penglibatan generasi muda dalam ekonomi digital.
Melalui program seperti eUsahawan dan eRezeki yang dikendalikan MDEC, belia diberi latihan memanfaatkan platform digital untuk perniagaan.
Di samping itu, inisiatif MyDigital, Ekonomi MADANI dan Pelan Strategik Ekonomi Digital Negara (NDEB) menggariskan kepentingan penglibatan anak muda dalam sektor ekonomi digital sebagai strategi memperkukuh daya saing negara.
Pelbagai geran seperti Dana Kandungan Digital (DKD) dan Geran Digitalisasi PKS turut diwujudkan untuk membantu pencipta kandungan dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan mereka secara lebih profesional.
Menurut laporan MDEC 2023, ekonomi digital menyumbang hampir 23 peratus kepada KDNK negara dan angka ini dijangka terus meningkat.
Sebahagian besar sumbangan ini didorong oleh sektor e-dagang serta industri kreatif digital yang banyak bergantung kepada penggunaan media sosial.
Cabaran: Ketagihan Digital dan Etika Pengguna
Walaupun ruang yang tersedia sangat luas, anak muda turut berdepan cabaran tersendiri.
Ketagihan media sosial, kebergantungan kepada populariti maya, serta risiko pendedahan kepada buli siber dan penyebaran maklumat palsu boleh memberi kesan besar terhadap kesejahteraan mental dan produktiviti.
Kajian menunjukkan ramai pengguna media sosial, termasuk anak muda, menghabiskan lebih empat jam sehari menggunakan gajet.
Jika tidak dikawal, ia boleh menjejaskan rutin harian dan fokus dalam pembelajaran atau pekerjaan.
Maka, literasi digital dan etika penggunaan media sosial perlu diberi penekanan agar anak muda bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga bertanggung jawab sebagai warga digital.
Melangkah Ke Hadapan: Media Sosial Sebagai Enjin Kemajuan
Jelaslah bahawa media sosial merupakan enjin penting dalam memacu ekonomi digital Malaysia.
Dengan kemahiran, kreativiti dan disiplin yang betul, anak muda berupaya membina jenama peribadi, memperluaskan jaringan perniagaan dan membawa produk tempatan ke peringkat antarabangsa.
Namun, kejayaan sebenar hanya dapat dicapai apabila media sosial digunakan bukan sekadar sebagai hiburan, tetapi sebagai alat pembangunan diri dan pendorong kemajuan ekonomi negara.
Kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, masyarakat dan anak muda sendiri amat penting dalam memastikan Malaysia terus maju sebagai peneraju ekonomi digital serantau.
-- BERNAMA
Nor Haizan Jafri ialah mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Jaharudin Padli ialah Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (UMT).