Umum telah pun ketahui mengenai isu yang melibatkan negeri Kedah dan Pulau Pinang. Isu antara negeri Kedah dan Pulau Pinang ini telah membangkitkan banyak perkara terutamanya perkara berkaitan dengan sejarah Malaysia dan isu perundangan.
Isu ini juga telah mengundang pelbagai pandangan dan pendapat dari kalangan ahli sejarah dan pakar perundangan. Isu ini juga pernah dibangkitkan dikalangan ahli Parlimen di dalam Parlimen dan telah pun dijawab oleh YAB Perdana Menteri sendiri tidak beberapa lama dulu.
Kewujudan Pulau Pinang
Kita telah belajar mengenai sejarah kedudukan dan kewujudan Pulau Pinang ini semenjak zaman dibangku sekolah lagi.
Walaupun pada asalnya Pulau Pinang memang berada dibawah kerajaan Kedah, namun kedatangan penjajah Inggeris pada penghujung kurun ke-18 yang lalu telah mengubah segala-galanya.
Terdapat perdebatan hangat dikalangan ahli akademik dalam negara kita yang ingin kita untuk menilai semula sejarah dan melihat kembali kepada status pemilikan sebenar Pulau Pinang.
Namun, segala proses perdebatan ini hanyalah setakat perdebatan ilmiah dan akademik sahaja. Perlu diketahui, semenjak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara kita telah mengubal satu bentuk undang-undang yang diberi nama Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan Persekutuan
Perlembagaan Persekutuan ini merupakan undang-undang yang paling tinggi sekali dalam Malaysia.
Semua undang-undang yang hendak dilaksanakan sama ada diperingkat persekutuan ataupun negeri dalam Malaysia perlu selaras dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ini.
Ini selaras dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “Perlembagaan ini ialah undang -undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu”.
Perlembagaan Persekutuan juga merupakan satu dokumen undang – undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.
Perlembagaan Persekutuan telah digubal berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan Persekutuan berkenaan berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Pembahagian Perlembagaan Persekutuan
Perlembagaan Persekutuan ini dibahagikan kepada 15 bahagian dan 13 jadual, setiap bahagian mengandungi satu atau lebih Perkara yang relevan.
Fungsi Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menetapkan struktur kerajaan dan sistem perundangan dalam Malaysia. Ia juga menetapkan hak asasi manusia dan tanggungjawab pihak kerajaan persekutuan dan negeri.
Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan peranan dan tanggungjawab rakyat Malaysia dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan kuasa dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri.
Selain daripada itu, Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan hak asasi manusia seperti hak kebebasan bersuara, hak kebebasan beragama, dan hak kebebasan berkumpul.
Ia juga menetapkan hak untuk mendapat perlindungan undang-undang dan hak untuk mendapat keadilan.
Kesimpulannya, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dalam Malaysia yang menetapkan struktur kerajaan, hak asasi manusia, dan sistem perundangan negara.
Ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara serta memastikan keadilan dan kesaksamaan di Malaysia.
Senarai nama dan kewujudan negeri dalam perlembagaan
Perlu diketahui, Perlembagaan Persekutuan ini juga telah menetapkan senarai nama dan kewujudan negeri-negeri yang ada dalam Malaysia.
Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa “
(1) Persekutuan ini dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.
(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
(3) Tertakluk kepada Fasal (4), wilayah – wilayah bagi setiap Negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah – wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.
(4) Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585], dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah – wilayah Persekutuan. Penerimaan masuk wilayah – wilayah baharu ke dalam Persekutuan”.
Perlembagaan jelas
Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan sudah jelas menyatakan kepada kita semua bahawa Pulau Pinang serta Kedah adalah salah satu negeri yang ada dalam Malaysia.
Oleh yang demikian, kedudukan dan kewujudan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia ini perlu dihormati oleh semua pihak.
Jika kita ingin masih mempertikaikan lagi kedudukan dan kewujudan Pulau Pinang ini sebagai sebuah negeri atau status kedudukan dan kewujudan mana – mana negeri yang ada dalam Malaysia, ianya bermakna kita akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Untuk mengubah kedudukan atau sempadan sesebuah negeri itu bukanlah satu proses yang mudah kerana ia memerlukan persetujuan dari pelbagai pihak termasuk daripada pihak kerajaan negeri yang telibat.
Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa “Parlimen boleh melalui undang – undang (a) menerima masuk Negeri-Negeri lain ke dalam Persekutuan; (b) mengubah sempadan mana-mana Negeri, tetapi undang – undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja – Raja”.
Cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengubah kedudukan atau kewujudan sesebuah negeri pula dilihat sukar untuk dilaksanakan dan tidak realistik dengan sejarah perjalanan negara Malaysia.
Fokus utama yang patut diberi perhatian sekarang adalah untuk membangunkan semula ekonomi negara pasca penularan virus Covid-19 serta bagi mengatasi masalah kos sara hidup dikalangan rakyat.
Sejajar dengan moto yang termaktub di dalam jata negara kita iaitu ”Bersekutu Bertambah Mutu”, adalah penting semua negeri yang ada dalam Malaysia mengekalkan semangat persekutuan yang telah dibentuk buat sekian lama demi mengharungi segala cabaran.
-- BERNAMA
Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).