SUARA BELIA

PENGGUNAAN AI: INOVASI BAHARU ATAU ANCAMAN PEKERJAAN MANUSIA?

25/11/2025 11:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Jaslin Nordiana Johan dan Dr Jaharudin Padli

Dalam era Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara faktor utama yang mengubah struktur ekonomi global.

Dari sektor perkilangan hingga ke bidang perkhidmatan, penggunaan teknologi AI semakin meluas bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.

Namun begitu, di sebalik kemajuan yang dikecapi, timbul kebimbangan dalam kalangan rakyat terhadap ancaman kehilangan pekerjaan akibat penggunaan sistem automatik yang menggantikan tugas manusia.

Laporan Bank Dunia: Ancaman terhadap pekerjaan, Malaysia tidak terkecuali

Laporan Bank Dunia 2025 menyatakan bahawa sekitar 40 peratus pekerjaan di rantau Asia Tenggara berisiko digantikan oleh automasi dalam tempoh sedekad akan datang dan Malaysia tidak terkecuali daripada perubahan tersebut.

Menurut laporan, sektor perkilangan dan perkhidmatan merupakan antara yang paling terdedah kepada pengaruh automasi dan penggunaan AI.

Walaupun langkah ini mampu menjimatkan masa serta kos, namun secara tidak langsung ia mengurangkan keperluan tenaga kerja manusia.

Dalam konteks ekonomi Malaysia, penggunaan AI menjadi sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mencapai ekonomi digital sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Walau bagaimanapun, perkembangan ini memerlukan perhatian serius agar tidak mewujudkan jurang besar antara pekerja berkemahiran tinggi dengan mereka yang masih bergantung kepada pekerjaan manual.

AI bukan sekadar alat bantuan tetapi sistem yang mampu buat keputusan

AI kini bukan sekadar alat bantuan kerja, tetapi sudah menjadi sistem yang mampu membuat keputusan secara sendiri melalui analisis data besar (big data). Oleh itu, pekerja yang gagal menyesuaikan diri dengan kemahiran digital berisiko tinggi untuk ketinggalan.

Menurut laporan itu transformasi teknologi ini memerlukan pendekatan dasar yang inklusif supaya setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaatnya tanpa tercicir daripada arus pembangunan ekonomi moden.

Antara sektor yang paling menerima kesan ketara akibat kemajuan AI ialah perkilangan, perbankan dan perkhidmatan pelanggan.

Dalam industri pembuatan, penggunaan robot pintar menggantikan pekerja manusia dalam aktiviti pengeluaran dan pemasangan. Begitu juga dalam sektor kewangan, di mana sistem chatbot dan automasi data menggantikan peranan petugas manusia dalam mengurus pelanggan.

Laporan Jabatan Statistik Malaysia, Kementerian Ekonomi

Berdasarkan data daripada Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), kadar pekerjaan dalam sektor pengeluaran manual telah menurun sebanyak 12 peratus sejak tahun 2022, sejajar dengan peningkatan penggunaan teknologi automasi dalam industri.

Namun, di sebalik kesan tersebut, teknologi AI turut membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang yang berasaskan digital.

Kementerian Ekonomi melaporkan bahawa permintaan tenaga kerja dalam sektor teknologi maklumat, keselamatan siber dan pembangunan perisian meningkat hampir 20 peratus sejak tahun lalu.

Ini menunjukkan bahawa kemajuan teknologi bukan semata-mata membawa ancaman, malah ianya turut mencipta ruang baharu bagi mereka yang bersedia untuk menyesuaikan diri dengan kemahiran moden.

Kebimbangan generasi muda dan graduan

Selain itu, isu ini turut mencerminkan kebimbangan dalam kalangan generasi muda.

Terdapat kebimbangan dalam kalangan graduan terhadap masa depan pekerjaan memandangkan semakin banyak syarikat menggunakan sistem automatik bagi menggantikan tugas manusia.

Graduan yang baru menamatkan pengajian disarankan untuk mempelajari kemahiran baharu agar tidak ketinggalan dalam dunia pekerjaan yang semakin berasaskan teknologi.

Pandangan ini mencerminkan keresahan umum dalam kalangan graduan baharu yang masih mencari arah dalam pasaran kerja digital.

Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa perubahan teknologi memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan, terutama bagi mereka yang belum menyesuaikan diri dengan keperluan ekonomi digital semasa.

Malaysia tangani cabaran AI

Bagi menghadapi cabaran ini, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan beberapa inisiatif strategik seperti Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Program Latihan Semula Pekerja (Reskilling Malaysia).

Kedua-dua program ini bertujuan melatih sekurang-kurangnya dua juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital dan AI menjelang tahun 2030. Menurut Menteri Sumber Manusia, program seperti ini amat penting bagi memastikan rakyat bukan hanya menjadi pengguna teknologi tetapi juga pencipta teknologi dan AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai peluang untuk mencipta nilai baharu dalam ekonomi negara.

Peranan penting sektor swasta

Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh penggunaan teknologi ini.

Syarikat-syarikat besar seperti PETRONAS, Telekom Malaysia dan Maybank telah melaksanakan program latihan dalaman bagi memastikan pekerja mereka mahir mengendalikan sistem AI dan analitik data.

Langkah ini membuktikan bahawa sektor korporat tempatan menyedari kepentingan pelaburan dalam pembangunan kemahiran bagi menghadapi cabaran ekonomi digital.

AI pemacu pertumbuhan ekonomi baharu

Walaupun wujud kebimbangan terhadap pengurangan tenaga kerja, banyak pihak melihat AI sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi baharu. Dalam sektor pertanian misalnya, penggunaan AI telah berjaya meningkatkan hasil pengeluaran.

Contohnya, projek ladang pintar di Kedah yang menggunakan sistem automatik bagi mengawal penyiraman dan pembajaan telah meningkatkan hasil padi sebanyak 25 peratus dalam dua musim tanaman.

Dalam bidang kesihatan pula, sistem AI digunakan untuk membantu doktor dalam membuat diagnosis awal dan menguruskan data pesakit.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa penggunaan sistem analitik AI mampu mengurangkan kadar kesilapan diagnosis sebanyak 15 peratus, sekali gus meningkatkan kecekapan rawatan dan mengurangkan kos perubatan jangka panjang.

Namun, bagi memastikan kemajuan teknologi tidak mengorbankan kesejahteraan tenaga kerja tempatan, para penganalisis berpendapat bahawa kerajaan perlu memberi tumpuan yang lebih serius terhadap aspek pendidikan dan program latihan semula yang berterusan.

Sistem pendidikan negara disarankan agar menyesuaikan kurikulum secara progresif agar sejajar dengan keperluan industri digital yang sentiasa berubah.

Pelajar di institusi pengajian tinggi dan politeknik juga perlu diberi pendedahan awal serta menyeluruh terhadap penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi bagi membolehkan mereka bersaing secara efektif dalam pasaran kerja global yang semakin kompetitif.

Malaysia perlu contohi negara maju

Negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan telah lama mengintegrasikan teknologi AI dalam sistem pendidikan mereka, sekali gus berjaya melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan tinggi, inovatif dan berdaya saing.

Oleh itu, Malaysia juga perlu mengambil pendekatan yang serupa sekiranya ingin mengekalkan daya saing dan kedudukan ekonomi yang kukuh di peringkat antarabangsa dalam era digital masa kini.

Secara keseluruhannya, perkembangan AI membawa dua kesan besar kepada landskap ekonomi Malaysia.

Di satu pihak, teknologi ini berpotensi meningkatkan produktiviti, menjimatkan kos, serta mempercepatkan urusan perniagaan.

Namun, di pihak lain, ia turut menimbulkan kebimbangan terhadap pengangguran dan ketidakseimbangan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja tempatan.

Oleh itu, keseimbangan antara kemajuan teknologi dan keperluan sosial perlu dijaga agar pembangunan ekonomi tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, penggunaan kecerdasan buatan merupakan satu realiti yang tidak dapat dielakkan dalam arus globalisasi masa kini.

Malaysia perlu melangkah seiring dengan perkembangan ini, tetapi dalam masa yang sama memastikan rakyat dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai.

AI bukanlah musuh kepada manusia, sebaliknya ia adalah alat yang memerlukan kebijaksanaan dalam penggunaannya.

Masa depan ekonomi Malaysia akan bergantung kepada sejauh mana rakyat mampu berinovasi, belajar dan menyesuaikan diri dengan teknologi agar tidak sekadar menjadi pengguna tetapi ianya menjadi peneraju dalam dunia digital masa hadapan.

-- BERNAMA

Jaslin Nordiana Johan ialah mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Dr Jaharudin Padli ialah Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)