PENA WANITA

2026 DAN AGENDA MEMANUSIAKAN TEMPAT KERJA

14/01/2026 11:21 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Salmiwati Othman

Apabila memasuki tahun baharu 2026, pelbagai perubahan dan agenda baharu yang ingin dibawa selaras dengan keperluan nasional serta organisasi akan diangkat untuk direalisasi bagi tahun ini

Menjadi persoalan kepada pengamal sumber manusia “HR”, adakah inisiatif seperti “pemerkasaan saluran komunikasi warga kerja” atau “tinjauan penglibatan berkala” yang memberi tumpuan kepada agenda memanusiakan tempat kerja diberi keutamaan untuk tahun 2026?

Azam tahun baharu 2026

Dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar serta dinamik, azam tahun baharu 2026 bagi pengamal sumber manusia “HR” perlu mengimbangi produktiviti dengan kesejahteraan pekerja.

Sumber manusia “HR” bukan lagi menjalankan bidang pentadbiran biasa tetapi lebih dari itu. HR kini sudah berubah wajah dan peranannya. Pada masa akan datang, HR mula mempunyai peranan yang lebih penting iaitu perlu memacu budaya kerja sihat dan beretika.

Malahan, fungsi dan peranan HR juga lebih dinamik apabila menuntut organisasi yang dikendalikan untuk menjaga emosi, kemahiran serta lebih menerapkan nilai kemanusiaan terhadap tenaga kerja agar prestasi yang dicapai oleh setiap individu itu bersifat lestari dan bukannya sementara.

Sebuah pejabat dan ruang kerja itu bukan sekadar tempat mengisi waktu, tetapi ruang di setiap warga kerja bangun pagi dan rasa teruja untuk menyumbang.

Untuk tahun baharu 2026, ‘garis panduan keseronokan bekerja sektor awam’ bolehlah dijadikan panduan untuk mewujudkan iklim dan suasana keseronokan di tempat kerja. Inisiatif bagi mewujudkan suasana yang seronok ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab sumber manusia ‘HR’ sahaja, malahan ia perlu dipertanggungjawabkan kepada keseluruhan pucuk kepimpinan organisasi tersebut.

Jika kepimpinan utama tidak menjalankan peranan yang baik dalam inisiatif ini, individu tersebut perlu digugurkan atau digantikan dengan individu yang lain agar kelangsungan keharmonian organisasi dapat dipelihara dengan baik.

Mengutamakan kesejahteraan pekerja di universiti

Apabila memasuki tahun baharu, begitu banyak inisiatif yang ingin dilancarkan dan dipenuhi termasuk di universiti.

Tetapi pernahkah kita memasukkan inisiatif berkaitan elemen kesejahteraan para pekerja dan menjadikan ia satu KPI di universiti?

Seringkali KPI yang diberikan adalah perlu sejajar dengan keperluan kementerian serta bersifat nasional.

Namun, dalam kerancakkan kita memenuhi segala KPI tersebut, seringkali kita lupa bahawa kesejahteraan pekerja dalam organisasi perlu diberikan tumpuan.

Program-program yang bersifat menyatukan pasukan seperti program membina pasukan atau “team building” dianggap kurang penting dan seringkali sukar diberikan peruntukkan kerana tidak sejajar dengan keperluan universiti dan memenuhi KPI.

Walaubagaimanapun, ketua jabatan perlu cakna berkaitan kesejahteraan pekerja ini kerana setiap individu adalah penting dan menyumbangkan kepada kejayaan serta prestasi organisasi.

Setiap pekerja mempunyai peranan dan fungsi dalam menjadikan sebuah organisasi universiti itu berjaya mencapai matlamatnya dengan iklim universiti yang sihat.

Berpandukan kepada nilai teras kesejahteraan yang mempunyai dua model di peringkat individu serta organisasi, pengurusan universiti perlu mengutamakan perkhidmatan kaunseling dan psikologi dengan menambah bilangan kaunselor bertauliah untuk menjamin aspek psikologi pekerja dan pelajar terjaga.

Program “team building” yang sukar mendapat peruntukan tersebut bolehlah disatukan dengan program berbentuk kesihatan mental seperti pengurusan stress serta daya tahan pekerja.

Pihak pengurusan universiti terutama ketua jabatan perlu memastikan budaya kerja berada dalam tahap yang baik serta pembelajaran yang empati serta selamat.

Malahan, program seperti pengukuhan komuniti kampus melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan pelajar dan staf serta pihak pengurusan perlu dilaksanakan secara kerap seperti peribasa melayu “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” yang membawa maksud beban tanggungjawab itu perlu dihadapi bersama.

Produktiviti dan kemanusiaan

Peranan HR bagi tahun 2026 juga mencabar apabila perlu mengekalkan produktiviti secara konsisten dengan nilai kemanusiaan yang juga perlu diambil kira.

Sumber manusia “HR” berperanan membentuk warga kerja yang mempunyai “sense of belonging” yang tinggi terhadap universiti serta mengurangkan pengasingan sosial dalam kalangan pekerja. Ia bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan jika organisasi tersebut berpuak-puak serta berpecah-belah.

HR perlu berperanan membanyakkan program berbentuk inklusif bagi menyokong kelangsungan akademik serta produktiviti kerja.

Tumpuan terhadap pembangunan nilai, integriti serta etika perlu diberikan keutamaan agar kes melibatkan salah- laku dapat diturunkan.

Kepimpinan berasaskan nilai yang menerapkan nilai asas terhadap pembuatan keputusan, tingkah laku, budaya dan hala tuju organisasi perlu diamalkan secara konsisten untuk mengelakkan salah guna kuasa, jawatan atau pencapaian jangka pendek yang tidak mendatangkan hasil kepada organisasi.

Justeru itu, peranan sumber manusia ‘HR’ dalam organisasi universiti moden perlulah menjadi pemacu produktiviti yang berteraskan kemanusiaan agar HR dapat berfungsi sebagai penyambung antara prestasi dan nilai kemanusiaan itu sendiri.

Akhir kata untuk tahun 2026, sumber manusia ‘HR’ bukan sekadar pengurus manusia, tetapi pemelihara nilai kemanusiaan dan pemacu produktiviti lestari dengan mencapai prestasi tinggi tanpa mengorbankan maruah dan kesejahteraan manusia.

-- BERNAMA

Dr Salmiwati Othman CHRM ialah Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pentadbiran, UiTM Cawangan Sabah

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)