Oleh Dr Azean Idruwani Idrus
Fenomena buli dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia semakin membimbangkan apabila kes-kes yang berlaku bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap fizikal pelajar, malah turut meninggalkan luka emosi, sosial, serta menjejaskan pencapaian akademik mereka.
Buli yang tidak dibendung sejak awal boleh berkembang menjadi budaya negatif yang membarah dalam sistem pendidikan dan masyarakat. Justeru, pendidikan karakter dilihat sebagai “vaksin sosial” yang mampu mencegah gejala buli dari akar, dengan menanam nilai murni, empati, disiplin, serta integriti dalam diri pelajar agar mereka berupaya menolak tingkah laku negatif secara semula jadi.
Kes buli buka mata masyarakat
Beberapa kes buli di Malaysia telah membuka mata masyarakat tentang betapa seriusnya ancaman ini. Antaranya ialah kes saman RM2 juta di Temerloh pada tahun 2020, apabila seorang pelajar mengalami trauma serta masalah mental akibat dibuli oleh rakan sekolah sehingga keluarga mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak sekolah.
Setahun kemudian, pada 2021, muncul gerakan #MakeSchoolASaferPlace yang digerakkan oleh Ain Husniza Saiful Nizam selepas insiden gurauan berbaur rogol di sekolah.
Gerakan ini bukan sahaja membongkar isu keselamatan pelajar, tetapi turut menggerakkan suara nasional menentang budaya jenaka seksis di institusi Pendidikan.
Lebih memilukan, pada Julai 2025, negara digemparkan dengan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, yang dikaitkan dengan kejadian buli. Tragedi ini menimbulkan kesedaran mendalam bahawa isu buli bukan lagi perkara remeh, tetapi telah menjadi krisis sosial yang menuntut intervensi segera.
Kematian seorang pelajar akibat buli bukan sahaja meninggalkan kesan trauma kepada keluarga dan rakan-rakan, malah menimbulkan persoalan tentang kegagalan sistem pendidikan dalam menyediakan persekitaran selamat untuk anak-anak kita.
Statistik rasmi turut memperlihatkan pola yang membimbangkan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan 326 kes pada tahun 2021, meningkat mendadak kepada 3,887 kes pada 2022, kemudian 4,994 kes pada 2023, 6,528 kes pada 2024, dan mencecah 7,681 kes pada 2025, iaitu peningkatan sekitar 17% berbanding tahun sebelumnya.
Angka-angka ini mencerminkan realiti pahit bahawa usaha pencegahan sedia ada masih jauh daripada memadai.
Pendidikan karakter
Dalam menghadapi situasi ini, pendidikan karakter menjadi jalan yang paling relevan. Pendidikan karakter bukan sekadar mengajar pelajar mengenal huruf dan angka, tetapi membentuk jiwa mereka dengan nilai empati, hormat-menghormati, tanggungjawab, adab, dan integriti.
Ia ibarat vaksin sosial yang melindungi pelajar daripada terjebak dalam tingkah laku negatif, walaupun mereka berhadapan dengan tekanan rakan sebaya atau cabaran sosial yang kian kompleks.
Pertama, pendidikan karakter berperanan mencegah dari peringkat awal. Pelajar yang diasuh dengan nilai murni sejak kecil lebih berupaya menolak tingkah laku agresif dan membina hubungan sihat dengan orang sekeliling.
Nilai empati, misalnya, menjadikan mereka lebih peka terhadap kesakitan orang lain, sekali gus mengurangkan kecenderungan untuk mencederakan atau menghina rakan.
Kedua, pendidikan karakter membantu membentuk komuniti beretika. Sekolah tidak boleh dilihat hanya sebagai pusat pencapaian akademik, tetapi sebagai ruang membina insan.
Apabila warga sekolah mengamalkan budaya hormat dan adab, suasana yang selamat, mesra, dan berintegriti dapat diwujudkan. Budaya ini seterusnya mengekang penularan buli secara kolektif.
Ketiga, pendidikan karakter menguatkan daya tahan emosi pelajar. Remaja yang seimbang dari segi emosi dan rohani lebih bijak mengawal tekanan, konflik, serta kemarahan tanpa melibatkan keganasan.
Mereka cenderung memilih penyelesaian yang matang, berlandaskan nilai integriti, keadilan, dan tanggungjawab.
Secara keseluruhannya, pendidikan karakter benar-benar berfungsi sebagai benteng sosial yang bukan sahaja membina individu berakhlak, tetapi juga melahirkan komuniti pendidikan yang selamat, harmoni, dan bebas daripada gejala buli.
Justeru, pendidikan karakter harus dijadikan teras dalam sistem pendidikan negara kerana ia merupakan vaksin sosial paling berkesan untuk membendung gejala buli dari akarnya.
Jika nilai murni ditanam dan disuburkan sejak awal, sekolah akan benar-benar menjadi tempat selamat untuk anak-anak membesar, belajar, dan membina masa depan yang lebih baik.
-- BERNAMA
Dr Azean Idruwani Idrus ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu,Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, Muar, Johor.