Oleh Dr Azean Idruwani Idrus
Kecerdasan Buatan (AI) automasi dan robotik merujuk kepada aplikasi teknologi moden yang membolehkan mesin serta sistem melaksanakan tugas secara automatik tanpa pengawasan langsung manusia, bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam pelbagai sektor.
Kecerdasan Buatan berfungsi melalui penggunaan algoritma pintar yang meniru proses pemikiran manusia, manakala automasi dan robotik pula menekankan penggantian tugas manual dengan sistem mekanikal serta digital yang lebih efisien.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan kritikal mengenai masa depan tenaga kerja manusia, khususnya dalam usaha menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja yang semakin berorientasikan teknologi.
Revolusi 4.0 percepat penerapan AI
Menurut Mohammad dan Hamid (2021), Revolusi Industri 4.0 telah mempercepatkan penerapan AI dan automasi secara meluas, sekali gus mengubah permintaan terhadap kemahiran pekerja.
Dalam hal ini, Rahim dan Sulaiman (2020) menegaskan bahawa peningkatan kemahiran adalah keperluan utama bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dalam pasaran kerja yang kian mencabar dan kompetitif.
Kesan signifikan kemunculan AI
Selain isu pengangguran, antara kesan signifikan kemunculan Kecerdasan Buatan automasi dan robotik terhadap hala tuju pekerja manusia ialah berlakunya ketidakseimbangan ekonomi.
Perubahan ini berpunca daripada transformasi landskap pekerjaan yang mengutamakan pekerja berkemahiran digital.
Misalnya, individu yang menguasai kemahiran teknologi mempunyai peluang pekerjaan yang lebih luas dan memperoleh imbuhan yang lebih tinggi kerana memenuhi keperluan semasa pasaran.
Bushra Kundi et al. (2023) menegaskan bahawa automasi berasaskan Kecerdasan Buatan boleh mencetuskan perpindahan pekerjaan secara besar-besaran, menjejaskan pekerja dalam kategori berkemahiran rendah atau rutin, dan melebarkan jurang pendapatan antara kumpulan pekerja berkemahiran tinggi dengan berkemahiran rendah.
Tambahan pula, Ling Li (2022) melaporkan bahawa Forum Ekonomi Dunia menganggarkan separuh daripada pekerja global akan mengalami pertukaran pekerjaan menjelang 2025 akibat penghapusan pekerjaan tradisional dan kemunculan pekerjaan baharu yang menuntut penguasaan kemahiran digital.
Keadaan ini membuktikan bahawa kebolehan teknologi menjadi prasyarat penting bagi kelangsungan kerjaya, justeru pekerja perlu bersedia dengan penyesuaian kemahiran agar kekal relevan dalam era ini.
Manusia bersaing dengan teknologi
Secara tidak langsung, perubahan ini bukan sekadar mewujudkan persaingan antara manusia dan teknologi, tetapi juga memberi implikasi ekonomi yang mendalam kepada tenaga kerja masa kini dan masa hadapan.
Permasalahan ini berpunca daripada kebergantungan sektor ekonomi terhadap tenaga kerja berkemahiran teknologi sehingga wujudnya fenomena pertukaran pekerjaan.
Langkah strategik perlu diambil kerajaan
Bagi mengatasi cabaran ini, langkah strategik yang disarankan ialah kerajaan melaksanakan inisiatif proaktif melalui program latihan semula dan peningkatan kemahiran (reskilling dan upskilling).
Langkah ini penting untuk memastikan tenaga kerja mampu menyesuaikan diri dengan keperluan baharu pasaran kerja yang semakin berpaksikan teknologi Kecerdasan Buatan.
Sekiranya tiada usaha proaktif daripada kerajaan, lebih ramai pekerja akan terdedah kepada risiko pengangguran kerana tidak memiliki kepakaran relevan dalam sektor yang menuntut pengaplikasian digitalisasi.
Pekerja manual perlu kuasai kemahiran baharu
Menurut Mohammad dan Hamid (2021), perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang sedang berlangsung, dan peralihan menuju Revolusi Industri 5.0, menghendaki pekerja manual menguasai kemahiran baharu seperti pemikiran kritis dan kreatif, komunikasi berkesan, serta kepimpinan untuk bersaing dengan penguasaan teknologi automasi.
Kemahiran-kemahiran ini bersifat kompleks dan sukar digantikan oleh teknologi mesin atau robotik sepenuhnya.
Dalam konteks ini, Rahim dan Sulaiman (2020) turut menekankan kepentingan melaksanakan latihan semula secara menyeluruh agar pekerja mampu memanfaatkan peluang baharu yang diwujudkan oleh kemajuan teknologi, sekali gus mengurangkan pergantungan total kepada sistem automasi.
Pelaksanaan latihan berterusan
Selain itu, pelaksanaan latihan yang berterusan dapat meningkatkan daya saing pekerja tempatan dalam pasaran global serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Secara tuntas, langkah ini bukan sahaja mampu mengurangkan pengangguran, malah menjamin kerelevanan tenaga kerja dalam era digital yang berkembang pesat.
Melalui pelaksanaan inisiatif berfokus kepada peningkatan kemahiran tenaga kerja, keseimbangan antara kecanggihan teknologi digital dengan kepakaran minda dan tenaga manusia dapat diwujudkan.
Pendekatan ini dilihat bukan sahaja menyelesaikan isu pengangguran dan ketidakseimbangan ekonomi, tetapi juga membina asas kukuh untuk pembangunan tenaga kerja yang mampan.
Secara keseluruhannya, kemajuan teknologi seperti Kecerdasan Buatan automasi dan robotik memberikan impak besar terhadap hala tuju pekerja manusia. Cabaran utama yang timbul merangkumi masalah pengangguran dan jurang ekonomi yang semakin melebar.
Kedua-dua cabaran ini berkait rapat kerana penggantian tugas manusia oleh teknologi mengangkat kemahiran digital sebagai penanda aras penerimaan dalam pasaran kerja.
Sehubungan itu, inisiatif kerajaan untuk memperkukuh program latihan semula dan peningkatan kemahiran merupakan pendekatan strategik yang berkesan untuk mengimbangi perkembangan teknologi dengan keperluan tenaga kerja manusia.
Oleh itu, meskipun era digitalisasi terus berkembang, hala tuju pekerja manusia akan lebih terjamin sekiranya perancangan strategik dilaksanakan secara berkesan.
-- BERNAMA
Dr Azean Idruwani Idrus ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Muar, Johor.