PENA WANITA

KEKUATAN MINDA, BUKAN OTOT: SISI TERSEMBUNYI KESIHATAN LELAKI

28/11/2025 10:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ummu Nazra Nadzam

Apabila kita bercakap tentang kesihatan lelaki, perbincangan sering tertumpu kepada aspek fizikal seperti penyakit jantung, masalah prostat atau matlamat kecergasan.

Namun, satu aspek yang sama penting tetapi sering diabaikan ialah kesihatan mental. Seperti tubuh badan, minda juga memerlukan penjagaan, keseimbangan dan perhatian.

Mengabaikan tekanan emosi boleh menjadi sama berbahayanya seperti mengabaikan penyakit kronik — malah kadangkala lebih teruk.

Trend Semasa di Malaysia

Di Malaysia, data terkini menunjukkan trend yang membimbangkan.

Kajian pada tahun 2021 dalam kalangan individu bekerja mendapati lebih daripada satu dalam empat rakyat Malaysia (26.2%) mengalami keresahan, 22.2% melaporkan tekanan, dan 17.9% menunjukkan tanda-tanda kemurungan semasa pandemik (Malaysian Journal of Psychiatry, 2022).

Kes bunuh diri juga meningkat daripada 981 kes pada tahun 2022 kepada 1,087 kes pada tahun 2023 - peningkatan sebanyak 10% dalam tempoh setahun (Galen Centre for Health and Social Policy, 2024).

Namun begitu, dianggarkan hanya 20% rakyat Malaysia yang mengalami gangguan kesihatan mental mendapatkan bantuan profesional (Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences, 2021).

Angka-angka ini mengingatkan kita bahawa kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal - dan bahawa sikap berdiam diri, stigma, stereotaip serta tekanan sosial sering menghalang lelaki daripada mendapatkan sokongan yang mereka perlukan.

Mengapa Kesihatan Mental Lelaki Penting

Di seluruh dunia, lelaki kurang cenderung berbanding wanita untuk mendapatkan bantuan bagi masalah emosi atau psikologi.

Harapan sosial, norma budaya, dan tekanan untuk kelihatan “kuat” sering menyebabkan lelaki memilih untuk berdiam diri.

Malangnya, sikap ini boleh membawa kepada kesan serius seperti keretakan hubungan, tingkah laku agresif, penyalahgunaan bahan, malah dalam kes yang tragis — bunuh diri.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, isu kesihatan mental dalam kalangan lelaki semakin meningkat, terutama selepas pandemik.

Namun ramai lelaki masih menganggap simptom tersebut sekadar “tekanan” atau “fasa sementara”.

Menyedari bahawa kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesejahteraan menyeluruh merupakan langkah pertama dan paling penting ke arah pemulihan.

Tanda-Tanda Amaran yang Perlu Diperhatikan

Lelaki sering menunjukkan tekanan emosi dengan cara yang berbeza daripada wanita.

Daripada menzahirkan kesedihan secara terbuka, mereka mungkin menjadi pendiam, cepat marah, atau terlalu fokus kepada kerja.

Perubahan ini mudah disalah tafsir sebagai tekanan kerja atau perubahan sikap, namun hakikatnya mungkin mencerminkan konflik emosi yang lebih mendalam.

Tanda-Tanda Kemurungan

• Keletihan berterusan atau hilang minat terhadap aktiviti biasa (walaupun selepas berehat).

• Perubahan selera makan atau corak tidur (terlalu sedikit atau berlebihan).

• Perasaan tidak berdaya, bersalah, atau tidak bernilai.

• Peningkatan penggunaan bahan seperti alkohol, vape, atau rokok.

• Sukar menumpukan perhatian atau membuat Keputusan.

Tanda-Tanda Keresahan (Anxiety)

• Rasa gelisah berterusan atau ketegangan otot.

• Cepat marah atau mudah naik angina.

• Fikiran berlumba-lumba dan sukar untuk berehat.

• Simptom fizikal seperti berpeluh, sakit kepala, atau degupan jantung laju.

Tanda-Tanda Amaran Bunuh Diri

• Bercakap tentang menjadi beban atau tidak berguna.

• Menjauhkan diri daripada keluarga atau aktiviti sosial.

• Memberi barangan peribadi atau mengucapkan selamat tinggal secara mengejut.

• Meluahkan rasa putus asa (“Tak ada gunanya lagi”).

Tekanan Dalaman vs. Luaran dalam Kalangan Lelaki

Wanita selalunya menzahirkan tekanan secara dalaman — melalui kesedihan, rasa bersalah atau kebimbangan.

Lelaki pula lebih cenderung menzahirkan tekanan secara luaran, iaitu melalui tingkah laku berbanding kata-kata.

Tanda-tanda dalaman mungkin termasuk kebas emosi, pengasingan diri, disosiasi, atau menyalahkan diri sendiri.

Manakala tanda-tanda luaran boleh muncul sebagai mudah marah, suka mengambil risiko, penyalahgunaan bahan, atau sikap agresif.

Perilaku sebegini sering disalah tafsir sebagai “masalah marah” atau “sikap buruk,” sedangkan ia sebenarnya mungkin berpunca daripada kesakitan emosi yang belum diproses, rasa malu, atau keletihan mental.

Mengenal pasti kedua-dua corak ini membantu kita bertindak dengan empati, bukan penghakiman, sekaligus membuka ruang untuk lelaki meluahkan apa yang benar-benar mereka rasakan.

Jika anda atau seseorang yang anda sayangi menunjukkan tanda-tanda ini, jangan abaikan. Masalah kesihatan mental boleh dirawat, dan bantuan sentiasa tersedia.

Bagaimana Mendapatkan Bantuan

Ramai lelaki percaya bahawa mereka perlu menyelesaikan semua masalah sendiri.

Hakikatnya, itu tidak benar. Mendapatkan bantuan adalah tanda kekuatan, bukan kelemahan.

Berkongsi dengan rakan, ahli keluarga, atau profesional kesihatan mental boleh membawa perubahan besar dalam hidup.

Kini, terdapat perkhidmatan psikologi klinikal yang menawarkan sokongan sulit dan empati kepada lelaki yang berdepan tekanan, kemurungan, keresahan, masalah hubungan, atau trauma.

Pasukan pakar menyediakan penilaian, terapi, dan pelan rawatan peribadi dalam persekitaran yang selamat dan tanpa penghakiman.

Jika mendapatkan bantuan profesional terasa sukar, terdapat juga sumber komuniti yang boleh dihubungi:

Talian HEAL 15555 – Sokongan kesihatan mental dan emosi 24 jam.
Befrienders Kuala Lumpur (03-7627 2929) – Perkhidmatan mendengar tanpa penghakiman bagi individu dalam kesusahan.
Perkhidmatan Kesihatan Mental Kementerian Kesihatan Malaysia – Sokongan kaunseling di klinik kerajaan seluruh negara.

Langkah Pertama Ke Arah Pemulihan

Setiap lelaki berhak berasa kuat dari segi mental dan disokong secara emosi. Menjaga kesejahteraan mental bukan tanda kelemahan - ia adalah bentuk harga diri dan keberanian.

Tidak mengapa untuk mengatakan, “Saya tidak okay.” Dengan sokongan yang betul, anda boleh menemui keseimbangan semula.

Ingatlah: Pemulihan bermula apabila kita mengakui apa yang tubuh dan minda sedang cuba sampaikan.

-- BERNAMA

Ummu Nazra Nadzam ialah Ahli Psikologi Klinikal, Ampang Puteri Specialist Hospital.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)