PENA WANITA

TINGGALKAN TABIAT LAMA SEBELUM MASUK TAHUN BAHARU

18/12/2025 12:46 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Noraishah Daud

Oleh Dr Noraishah Daud

Kehidupan dan gaya hidup semakin mencabar, arus teknologi yang semakin pantas, tuntutan hidup yang semakin menekan seperti akademik, tekanan kerja dan cabaran ekonomi masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Ramai daripada kita tidak menyedari bahawa punca keletihan mental, hilangnya fokus dan tekanan dalam hidup kadangkala berpunca daripada tabiat harian yang kelihatannya kecil tetapi diulang-ulang setiap hari.

Penggunaan telefon pintar berjam-jam sehari boleh mengganggu tidur dan fokus, bekerja tanpa rehat menjejaskan produktiviti dan meningkatkan tekanan serta burnout.

Manakala pengabaian pola makan dan tidur yang teratur serta senaman ringan menyebabkan kesejahteraan diri terganggu.

Tahun 2026 bakal menjelang tidak lama lagi.

Sudah tiba masanya untuk kita mencari titik permulaan mental yang meningkatkan komitmen kita untuk membuang tabiat lama dan membentuk tabiat baharu untuk hidup yang lebih sihat dan sejahtera.

Berikut adalah antara tabiat yang telah sebati dalam diri yang wajar untuk ditinggalkan sebelum menjelang tahun 2026 dan menggantikan dengan tabiat baharu yang boleh meningkatkan kesejahteraan hidup.

Melayari media sosial tanpa kawalan

Ramai dalam kalangan kita telah menghabiskan lebih kurang empat hingga enam jam sehari melayari media sosial tanpa sedar.

Tujuan asal hanyalah untuk mengisi sela masa tetapi tanpa disedari berjam-jam masa telah kita habiskan dengan menghadap dari satu platform media sosial ke media sosial yang lain.

Tindakan yang tidak dikawal ini boleh menyebabkan berlakunya gangguan tidur, kurang fokus terhadap suatu pekerjaan dan menyebabkan kelesuan pada minda dan mental.

Mengapa tabiat ini perlu ditinggalkan?

Penggunaan telefon pintar yang berlebihan mampu menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi dan mental, meningkatkan perbandingan sosial dan mengurangkan produktiviti.

Apa yang boleh dilakukan selepas ini adalah menetapkan masa yang realistik dalam penggunaan telefon pintar.

Contohnya menetapkan 30 minit untuk aktiviti bebas skrin pada waktu pagi dan 30 minit di sebelah malam.

Ubah tabiat bangun dari terus mencapai telefon pintar kepada membuat regangan.

Cuba untuk membina tabiat baharu dengan mengamalkan penggunaan telefon pintar secara sedar bukan secara automatik.

Mengabaikan kesihatan fizikal dan mental

Kesihatan fizikal merujuk kepada keadaan tubuh yang sihat, cergas dan mampu melaksanakan aktiviti harian dengan baik.

Kesihatan yang baik bukan sekadar bebas daripada penyakit berbahaya, tetapi turut melibatkan tahap tenaga, daya tahan, keupayaan berfikir, membuat keputusan dan mengurus perhubungan dengan orang lain.

Kesihatan mental pula adalah kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial seseorang.

Kurangnya senaman, pola makan dan tidur yang tidak teratur, amalan hidup “ikut sempat,” pengambilan makanan dan minuman manis yang berlebihan boleh meningkatkan risiko obesiti, keletihan kronik dan penyakit berbahaya.

Mengabaikan kesejahteraan mental seperti menyimpan masalah seorang diri kerana malu, takut dinilai atau tidak mahu menyusahkan orang lain akan menyebabkan tekanan emosi terkumpul seperti belon yang ditiup dan membesar akhirnya meletup.

Tahun baharu ini adalah masa yang tepat untuk kita memulakan tabiat baharu seperti mulakan dengan pergerakan 15 hingga 30 minit sehari dengan berjalan laju, regangan atau senaman ringan.

Dari sudut pemakanan pula cuba untuk pilih satu hidangan sihat setiap hari sebagai permulaan. Bebanan emosi yang ditanggung tidak perlu dipendam.

Cuba luahkan dengan rakan yang dipercayai atau kaunselor untuk berkongsi isu atau perasaan yang membebankan.

Individu toksik

Individu toksik adalah seseorang yang secara konsisten memberi kesan negatif kepada emosi, mental dan kadang-kadang fizikal kita.

Mereka boleh wujud dalam lingkungan kita seperti rakan sekuliah, ahli keluarga, pasangan atau rakan sekerja.

Umumnya kehadiran mereka boleh menyebabkan tercetusnya tekanan, kehilangan motivasi dan menggugat kesejahteraan mental.

Antara ciri-ciri individu toksik adalah gemar mengkritik orang lain, menggunakan emosi atau pujian palsu untuk mendapatkan apa yang mereka mahu, kerap menimbulkan konflik, perselisihan untuk menarik perhatian, tiada sifat tanggungjawab terhadap kesalahan sendiri dan sentiasa mencari “kambing hitam” untuk dipersalahkan.

Kekal dalam lingkungan sosial yang negatif ini akan melemahkan semangat, menurunkan motivasi, mencetuskan drama dan akhirnya akan mempengaruhi kesihatan mental dan keyakinan diri.

Bina kekuatan untuk mencari lingkungan yang menyokong yang terdiri daripada individu yang mendorong, mendengar dan membantu dalam perkembangan diri.

Belajarlah untuk mengenal pasti individu toksik dan belajar mengurus perhubungan demi menjaga kesihatan mental, fizikal dan produktiviti diri.

Usaha untuk menjauhkan diri dan menolak lingkungan negatif ini langkah paling tepat untuk kesejahteraan diri.

Berbelanja mengikut emosi

Berbelanja mengikut emosi adalah suatu tabiat membeli barang bukan kerana keperluan sebenar tetapi kadang-kadang lebih kepada memindahkan emosi negatif dengan cara yang kurang tepat.

Antara contoh tindakan yang dimaksudkan adalah membeli barangan kerana rasa kecewa atau mengikut gaya hidup orang lain, membeli minuman dan makanan manis secara luar biasa kerana tekanan atau membeli gajet terkini kerana ingin rasa gembira yang sementara.

Akibatnya, kewangan menjadi tidak stabil, hutang meningkat dan perasaan bersalah selepas membeli mencetuskan tekanan mental.

Ubah tabiat ini dengan menggunakan kaedah 50-30-20, iaitu membahagikan pendapatan bulanan kepada tiga kategori utama.

Sebanyak 50 peratus pendapatan diperuntukkan kepada keperluan asas seperti sewa atau ansuran rumah, bil-bil, pengangkutan dan insuran manakala 30 peratus untuk kehendak makan di luar, membeli belah dan bercuti.

Baki 20 peratus untuk simpanan masa depan dan kecemasan.

Berbelanja mengikut emosi hanya memberi kepuasan sementara yang akhirnya boleh menjejaskan kewangan dan kesejahteraan mental.

Masa untuk diri sendiri

Kesibukan harian sering membuatkan kita lupa untuk menyediakan masa untuk diri sendiri.

Masa untuk diri sendiri ialah ruang untuk merehatkan minda, emosi dan tubuh badan tanpa gangguan luar demi meningkatkan kesejahteraan fizikal dan emosi.

Tanpa rehat yang mencukupi, kita berisiko mengalami keletihan mental dan fizikal, kehilangan motivasi serta gangguan dalam perhubungan.

Keadaan ini juga boleh mencetuskan overthinking, iaitu terlalu banyak berfikir dan bimbang tentang perkara yang belum berlaku.

Sebelum keadaan menjadi lebih serius, sediakan jadual “me-time” selama 10 hingga 15 minit setiap hari untuk berehat tanpa skrin atau bermonolog dengan diri sendiri.

Amalkan penulisan jurnal ringkas dengan membuat semakan diri serta mencatat tiga perkara yang disyukuri setiap hari.

Tahun baharu hadir seiring dengan azam untuk berubah.

Perubahan tidak perlu bersifat drastik, sebaliknya cukup bermula dengan langkah kecil yang konsisten.

Konsistensi lebih penting daripada kesempurnaan.

-- BERNAMA

Dr Noraishah Daud ialah Pengarah Pusat Kaunseling Universiti, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)