Keganasan di sekolah tidak berlaku sekelip mata.
Ia lahir daripada tahun-tahun pengabaian—apabila kesejahteraan emosi diketepikan untuk pencapaian keputusan peperiksaan, apabila bimbingan moral diletakkan sepenuhnya di bahu guru yang sudah pun terbeban, dan apabila keluarga yang sibuk secara tidak sengaja mengabaikan tanda-tanda awal yang sepatutnya menjadi amaran.
Setiap kali insiden keganasan berlaku, kita bereaksi dengan kemarahan dan mendesak tindakan disiplin yang lebih tegas. Namun hukuman selepas kemudaratan berlaku tidak mampu menangani punca sebenar yang mencetuskannya.
Menjelang penghujung tahun, ramai ibu bapa, guru dan komuniti menilai kembali pengalaman anak-anak kita—tekanan yang ditanggung, harapan yang diletakkan ke atas mereka, serta persekitaran tempat mereka membesar. Renungan ini mengingatkan kita bahawa keganasan jarang sekali berlaku secara tiba-tiba. Ia sering berakar daripada keperluan emosi yang tidak dipenuhi, ketakutan yang tidak diperkatakan, dan jurang hubungan yang lama tidak diatasi.
Apabila insiden membimbangkan berlaku di sekolah, tindak balas kita ialah menuntut peraturan yang lebih ketat. Walaupun difahami, reaksi sebegini jarang menyentuh akar permasalahan. Peraturan mungkin membetulkan tingkah laku, tetapi ia tidak boleh menyembuhkan kesunyian, mengajar empati atau membina daya tahan emosi.
Pencegahan memerlukan sesuatu yang lebih mendalam dan lebih berperikemanusiaan: empati yang konsisten, perhubungan yang bermakna, dan tanggungjawab bersama antara keluarga dan sekolah.
Seruan untuk memperkukuh pembangunan sahsiah di sekolah adalah tepat pada masanya, namun sahsiah tidak dapat dibentuk melalui slogan atau perhimpunan. Ia mesti dipupuk melalui perhubungan, refleksi dan teladan.
Apabila orang dewasa memodelkan empati, hormat dan integriti, kanak-kanak lebih mudah menginternalisasikan nilai tersebut berbanding hanya mendengar ceramah mengenai “tingkah laku baik”. Bagaimanapun, teladan sahaja tidak mencukupi; sekolah juga memerlukan pendekatan praktikal untuk memperbaiki kemudaratan dan mengukuhkan perhubungan.
Keberkesanan Keadilan Restoratif
Keadilan Restoratif (Restorative Justice, RJ) menawarkan kerangka tersebut. Daripada bertanya “Siapa yang salah?”, RJ bertanya, “Siapa yang terjejas, dan bagaimana kita boleh memulihkan keadaan?”. Ia menghimpunkan pihak terlibat—mangsa, pelaku, keluarga dan komuniti—untuk mengakui kemudaratan, menerima tanggungjawab dan memperbaiki perhubungan. Pendekatan ini mengajar akauntabiliti tanpa memalukan, sekaligus membantu kanak-kanak mempelajari empati dan rasa sesal yang sihat.
RJ bukan konsep baharu. Ia diamalkan di negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand dan kebanyakan negara Eropah, serta disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah. Sekolah yang mengamalkan RJ sering melaporkan konflik yang lebih rendah serta peningkatan kepercayaan dan rasa kepunyaan.
Namun sekolah tidak boleh memikul tanggungjawab ini bersendirian. Guru sudah menanggung beban tugas dan tekanan emosi yang berat. Apabila ibu bapa mengharapkan sekolah menangani segala-galanya—daripada disiplin hingga pendidikan moral—sistem pendidikan akan menjadi terlalu terbeban dan kurang berkesan.
Pencegahan keganasan bukan sekadar penguatkuasaan disiplin; ia tentang memupuk perhubungan. Kita memerlukan sekolah yang mengintegrasikan pembelajaran sosial-emosi (Social-Emotional Learning, SEL) dalam pengajaran harian, latihan guru yang menekankan penjagaan dan penyelesaian konflik, serta budaya nasional yang menghargai kecerdasan emosi sama seperti kecemerlangan akademik.
Apabila akademik mengatasi empati dan masa di skrin mengatasi masa berinteraksi secara nyata, kanak-kanak kehilangan bimbingan yang paling mereka perlukan. Usaha membina sekolah yang lebih selamat bermula dengan mendengar—di rumah dan di bilik darjah.
Persekitaran sekolah yang aman dan saling menghormati tidak dapat dicapai melalui ketakutan atau hukuman semata-mata. Ia bermula dengan empati, tanggungjawab dan kehadiran—daripada orang dewasa dan sistem-sistem yang membentuk kehidupan anak-anak.
Keibubapaan Bertanggungjawab Dalam Era Digital
Pada masa yang sama, keibubapaan bertanggungjawab dalam era digital menuntut kesedaran dan tujuan. Teknologi menawarkan manfaat pendidikan yang besar, tetapi ia tidak boleh menggantikan hubungan manusia yang sangat diperlukan kanak-kanak.
Apabila tablet menjadi teman tetap dan permainan video digunakan untuk mengurus emosi, kanak-kanak terlepas peluang membina kemahiran penting: membaca ekspresi wajah, mengurus perasaan tidak selesa, dan menghadapi konflik dunia nyata.
Kanak-kanak memerlukan orang dewasa yang hadir secara emosi, bukan sekadar penyedia keperluan. Mereka perlu tahu bahawa apabila sesuatu mengganggu mereka, mereka boleh mendapatkan sokongan daripada orang dewasa yang dipercayai, bukan melarikan diri di sebalik skrin.
Soalnya bukan sama ada kanak-kanak patut menggunakan teknologi, tetapi sama ada mereka mempunyai akses kepada perhatian manusia yang autentik.
Program Komuniti Perkukuh Hubungan
Di peringkat global dan tempatan, World Vision telah melaksanakan program yang mengukuhkan hubungan ibu bapa dan anak seperti Celebrating Families dan bengkel Positive Parenting. Penilaian ke atas model-model ini menunjukkan peningkatan ketara dalam amalan disiplin positif, hubungan ibu bapa-anak, dan pengurangan sikap serta norma berbahaya yang membenarkan keganasan.
Mendengar Suara Anak-Anak, Asas Pencegahan.
Apabila orang dewasa meluangkan masa memahami kekecewaan, ketakutan dan harapan mereka, kita dapat mengesan masalah lebih awal sebelum ia bertukar menjadi agresif atau putus asa.
Mewujudkan ruang selamat untuk dialog sama ada di rumah dan di sekolah. Mengajar kanak-kanak bahawa perasaan mereka penting dan empati ialah kekuatan, bukan kelemahan.
Kerjasama Pelbagai Pihak
Ibu bapa, guru, pentadbir sekolah dan pembuat dasar mesti bekerjasama, bukan beroperasi dalam silo. Pembentukan sahsiah bukan tugas satu institusi tetapi misi nasional yang dikongsi, bermula dengan mendengar anak-anak dan mempercayai bahawa suara mereka membawa makna.
Mendengar suara kanak-kanak bukan tindakan lemah. Ia adalah pelaburan paling kuat dan berkekalan dalam usaha mencegah keganasan sekolah dan membina generasi yang dipandu oleh belas kasihan dan suara hati nurani.
-- BERNAMA
Lydia Lee ialah Pengurus Malaysian Programmes & Grants di World Vision Malaysia (WVM). Beliau menyelia projek pembangunan komuniti tempatan dan inisiatif One Goal Malaysia, serta bekerjasama dengan sekolah, keluarga dan rakan komuniti untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan menyokong bagi kanak-kanak yang terdedah. Lydia juga berkhidmat sebagai Safeguarding Focal Point WVM.