Bak kata pepatah Konfusius, Sì hǎi zhī nèi jiē xiōng dì, yang membawa maksud menjalinkan hubungan persaudaraan dengan semua orang di seluruh dunia.
Pepatah ini memperlihatkan konsep nilai dan pemikiran falsafah tradisional China, iaitu berkomunikasi dan menjalinkan persahabatan dengan rakyat pelbagai bangsa dan negara adalah sesuatu perkara yang positif.
Dengan pegangan ini, penulis cuba menghuraikan bagaimana pertukaran dan kerjasama pendidikan dan kebudayaan China-Malaysia berupaya menonjolkan nilai tinggi terhadap keterangkuman tamadun.
Persahabatan antara China dengan Malaysia telah terjalin sejak beribu tahun dahulu dan tersemai dalam hati rakyat kedua-dua negara.
Hubungan diplomatik China-Malaysia terjalin pada 31 Mei 1974. Dengan yang demikian, Malaysia merupakan perintis dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN untuk menjalinkan hubungan rasmi dengan China.
Hal ini mempunyai erti yang signifikan serta istimewa dalam konteks era Perang Dingin.
Pada tahun 2013, Presiden China, Xi Jinping mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, dan kedua-dua kerajaan membuat keputusan untuk mengangkat perhubungan dua hala ke peringkat Perkongsian Strategik Komprehensif.
Pada tahun yang sama, Inisiatif Jalur dan Laluan ("Belt and Road") telah dikemukakan dan pelbagai program yang berkaitannya mulai dijalankan, dan banyak negara terlibat, termasuk Malaysia.
Dalam bidang ekonomi, selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion.
Boleh dikatakan kini perhubungan China-Malaysia sedang berada pada tahap yang terbaik dalam sejarah perhubungannya.
Sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tiga kali melawat China di samping Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim juga melawat Bejing pada Setpember tahun 2024.
Pemimpin-pemimpin China juga kerap kali mengadakan lawatan ke Malaysia pada tahun-tahun kebelakangan ini, termasuk Presiden China Xi Jinping mahupun Perdana Menteri China Li Qiang.
Dalam tempoh 15-17hb. April tahun ini, Presiden China, Xi Jinping telah mengadakan lawatan ke Malaysia, dan ini telah mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.
Pada hari pertama ketibaan beliau di Malaysia, artikel yang ditulis sendiri oleh Presiden Xi telah disiarkan dalam akhbar-akhbar arus perdana tempatan.
Artikel ini telah ditulis dalam tiga bahasa, iaitu bahasa China, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, yang bertajuk ‘Layarkan kapal persahabatan China-Malaysia menuju ke masa hadapan yang lebih cerah’.
Dalam artikelnya, Presiden Xi menyatakan bahawa kedua-dua negara akan bersama-sama membuka lembaran baharu dalam hubungan kejiranan yang baik dan kerjasama saling menguntungkan, sekali gus memulakan satu lagi era ‘50 tahun keemasan’ dalam hubungan China–Malaysia.
Perdana Menteri China, Li Qiang, sekali lagi melawat Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober lalu.
Ini menunjukkan pengiktirafan kerajaan China terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta peranan penting yang dimainkan Malaysia dalam menggalakkan persahabatan ASEAN–China.
Bahasa: Medium Kerjasama Pendidikan
Pepatah Melayu menyatakan, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Pertukaran bahasa dan kebudayaan bukan sahaja dapat mengukuhkan persahabatan antara insan di persada dunia, malah turut menggalakkan pertukaran serta kerjasama yang lebih meluas dan mendalam antara pelbagai negara dalam pelbagai bidang.
Menurut penyelidikan Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan, terdapat puluhan universiti di Eropah, Australia, New Zealand, Amerika Utara, serta Asia Tenggara dan Asia Timur yang menawarkan jurusan bahasa Melayu sambil meneliti bahasa dan budaya Melayu.
Antara negara yang menonjol dalam menawarkan program pendidikan bahasa Melayu, China memainkan peranan penting dalam mengembangkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu varian Tanah Melayu serta mendorong pengantarabangsaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Sejak jurusan bahasa Melayu pertama ditawarkan di Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada tahun 1962, pendidikan bahasa dan budaya Melayu di China telah berkembang pesat, walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang lebih 60 tahun.
Kini, sejumlah 17 institusi pengajian tinggi (IPT) di China menawarkan program pendidikan bahasa Melayu, menunjukkan bahasa Melayu terus mendapat tempat di hati penutur jati bahasa China.
Sejak sekian lama, institut pengajian tinggi di China telah menjalin hubungan kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kedutaan Besar Malaysia di China, Persatuan Persahabatan Malaysia–China, serta IPT Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Universiti Sains Malaysia.
Kerjasama ini turut merangkumi pelbagai aktiviti pertukaran pendidikan dan kebudayaan.
Dalam konteks ini, jika dibandingkan dengan pendidikan bahasa dan budaya Melayu di China, perkembangan pendidikan bahasa Cina di Malaysia turut menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan sepanjang beberapa dekad.
Selain China, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang telah membangunkan sistem pendidikan bahasa Cina yang paling lengkap.
Daripada Wu Fu Shu Yuan yang ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1819, kepada Kolej Era Baru pada tahun 1998, dan kemudiannya Universiti Tunku Abdul Rahman pada tahun 2002, masyarakat Cina Malaysia telah meneruskan tradisi pendidikan bahasa dan budaya Cina lebih 200 tahun.
Sejak jurusan bahasa Melayu pertama ditawarkan di Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada tahun 1962, pendidikan bahasa dan budaya Melayu di China telah berkembang pesat, walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang lebih 60 tahun. Kini, sejumlah 17 institusi pengajian tinggi (IPT) di China menawarkan program pendidikan bahasa Melayu, menunjukkan bahasa Melayu terus mendapat tempat di hati penutur jati bahasa China.
Sejak Universiti Malaya membuka Jabatan Pengajian Cina pada tahun 1963, beberapa universiti awam lain di negara ini turut mengikuti jejak langkah tersebut dengan menubuhkan jabatan bahasa Cina masing-masing untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan bahasa Cina pada tahap yang lebih tinggi, termasuk Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Penubuhan dan perkembangan jabatan-jabatan ini memainkan peranan penting dalam penyebaran budaya Cina dalam kalangan masyarakat tempatan, serta menggalakkan perkembangan pengajian Sinologi di negara ini.
Kerjasama Kebudayaan dalam Media Massa China-Malaysia
Perbadanan media China, khususnya China Radio International (CRI), telah memberikan sumbangan besar dalam mewujudkan dan memperkukuh persahabatan antara China dan Malaysia.
CRI ditubuhkan pada Disember 1941. Pada Mac 2018, CRI bergabung dengan China Central Television (CCTV), China National Radio (CNR), dan China Global Television Network (CGTN) untuk membentuk China Media Group (CMG).
Jabatan Bahasa Melayu CRI ditubuhkan pada 1 Mac 1959 dan merupakan badan media China terawal yang menyiarkan berita dan program bahasa Melayu ke Malaysia, Indonesia, Brunei, serta kawasan Selatan Thailand.
Pada tahun 2004, laman web CRI Online versi bahasa Melayu telah dilancarkan, menandakan bermulanya era baharu media bahasa Melayu di China.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Jabatan Bahasa Melayu CMG telah memanfaatkan platform media sosial yang popular, termasuk Facebook, TikTok, YouTube, dan Instagram. Jabatan ini juga telah menubuhkan CGTN Malay, akaun rasmi media bahasa Melayu di Facebook. Menurut statistik terkini, akaun tersebut mempunyai seramai 1.76 juta pengikut.
Ini menunjukkan bahawa skop pengurusan Jabatan Bahasa Melayu CMG sangat luas, merangkumi radio, televisyen, laman web, media sosial, penerbitan buku, dan lain-lain.
Bidang liputannya meliputi berita, kebudayaan, pelancongan, ekonomi, sains dan teknologi, pendidikan, serta kemasyarakatan.
Program-program yang dihasilkan Jabatan Bahasa Melayu CMG telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton dan pendengar di Asia Tenggara, khususnya di Malaysia.
Dalam tempoh agak panjang ini, Jabatan Bahasa Melayu CMG telah menjalin kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak di Malaysia, termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Astro Awani, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan lain-lain lagi.
Jalinan kerjasama ini telah berjaya memanfaatkan media sebagai saluran paling berkesan untuk memupuk persefahaman dan persahabatan antara China yang mempunyai ikatan bersejarah sejak zaman dahulu lagi.
Usaha Bersama Melindungi Warisan Budaya
Sejak kebelakangan ini, China dan Malaysia telah melaksanakan pelbagai kerjasama dalam usaha mengekalkan dan memelihara warisan kebudayaan. Kerjasama ini bukan sahaja mempromosikan pewarisan khazanah budaya kedua-dua negara, malah turut memperdalam pertukaran budaya dan mengukuhkan hubungan antara rakyat.
Pada Disember 2020, dua warisan kebudayaan tidak ketara negara (Intangible Cultural Heritage), iaitu Upacara Wangkang dan pantun, berjaya dimasukkan ke dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO melalui pencalonan multinasional.
Inilah kali pertama Malaysia berjaya mengangkat warisan negara ke pengiktirafan UNESCO bersama negara lain, dimana Upacara Wangkang dicalonkan bersama China, manakala pantun dicalonkan bersama Indonesia.
Pengiktirafan ini menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara Malaysia yang tersenarai di Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO kini berjumlah lima, iaitu Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018), dan Silat (2019).
Pada Jun 2024, Malaysia dan China telah memeterai perjanjian bagi pencalonan bersama Tarian Singa dalam Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, perjanjian persefahaman itu dicapai melalui memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dalam bidang pelancongan serta Perjanjian Program Eksekutif Pertukaran Kebudayaan 2024–2029, yang ditandatangani sempena lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang, ke Malaysia.
Diharapkan semua pihak yang terlibat dalam usaha mendorong pertukaran dan kerjasama pendidikan serta kebudayaan antara China dan Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung tamadun kedua-dua negara, dalam kesinambungan sejarah dari zaman bahari sehingga era baharu.
Penutup
China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk mempercepat pelaksanaan permuafakatan penting yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, serta meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memperkukuh komuniti yang berkongsi masa depan dan mencapai kejayaan baharu.
Visi China untuk membina Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang dicadangkan oleh Pernama Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua kerajaan menekankan nilai persefahaman, kerjasama, dan saling menguntungkan, yang menjadi inti pati konsep keterangkuman tamadun.
Kepelbagaian yang wujud menggalakkan interaksi antara tamadun, seterusnya mempromosikan pembelajaran bersama dan perkembangan berterusan.
Sinergi antara China dan Malaysia dalam pelbagai aspek diyakini dapat memacu pembinaan kemakmuran serantau.
Pertukaran dan kerjasama pendidikan serta kebudayaan antara kedua-dua negara, yang memanfaatkan keterangkuman tamadun, dijangka membuahkan hasil memberangsangkan dan membuka lembaran baharu yang lebih gemilang.
-- BERNAMA
Prof Dr Su Yingying@Suria ialah Dekan Fakulti Pengajian Asia dan Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, Beijing Foreign Studies University.