TINTA MINDA

PENUAAN PENDUDUK: CABARAN BESAR TERHADAP KELESTARIAN SISTEM PERSARAAN MALAYSIA

17/12/2025 01:06 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Roslan Ja’afar

Seperti negara-negara lain, Malaysia turut mengalami perubahan demografi yang besar yang tidak dapat dielakkan iaitu penuaan penduduk.

Fenomena ini bukan sekadar melibatkan isu kesihatan atau sosial semata-mata, malah turut memberi kesan besar kepada kestabilan kewangan negara, khususnya terhadap kemampanan sistem jaringan keselamatan sosial termasuk persaraan dan perlindungan hari tua.

Menurut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang tahun 2030 apabila sekitar 15 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas.

Perubahan struktur penduduk ini berlaku dengan cepat hasil daripada jangka hayat yang semakin panjang dan kadar kelahiran yang semakin menurun. Trend ini membawa cabaran besar kepada sistem perlindungan sosial.

Di Manakah Kedudukan Sistem Persaraan Kita?

Di Malaysia, sistem perlindungan hari tua terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu penjawat awam yang dilindungi melalui skim pencen kerajaan, dan sektor swasta yang bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kedua-dua sistem ini kini berdepan tekanan yang semakin meningkat.

Bagi skim pencen kerajaan, peningkatan jumlah pesara dan jangka hayat yang lebih panjang bermakna kerajaan perlu menampung bayaran pencen untuk tempoh yang lebih lama. Ini secara langsung meningkatkan komitmen perbelanjaan tahunan negara.

Tanpa pembaharuan sistem persaraan, tekanan fiskal ini berisiko menjejaskan keupayaan kerajaan membiayai sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Bagi sektor swasta pula, isu utama bukanlah kelestarian kewangan, tetapi ketidakcukupan simpanan. Majoriti pencarum KWSP didapati mengeluarkan sebahagian besar simpanan mereka dalam tempoh singkat selepas mencapai umur persaraan.

Data menunjukkan sebahagian besar pencarum mempunyai simpanan yang hanya mampu menampung perbelanjaan dalam tempoh beberapa tahun sahaja, sedangkan jangka hayat rakyat Malaysia kini melebihi 75 tahun.

Tanpa alternatif simpanan untuk persediaan di hari tua, pencarum mungkin terdedah kepada risiko kesempitan kewangan pada usia tua, sekali gus menjejaskan kualiti hidup mereka.

Cabaran Kos Sara Hidup dan Kesihatan

Penuaan penduduk juga berkait rapat dengan peningkatan kos sara hidup dan kos penjagaan kesihatan. Apabila usia meningkat, perbelanjaan bagi rawatan perubatan, ubat-ubatan dan penjagaan jangka panjang turut meningkat.

Tanpa perancangan persaraan yang kukuh, ramai warga emas berisiko terdedah kepada tekanan kewangan, kebergantungan kepada keluarga, atau dalam situasi lebih buruk, jatuh ke dalam kitaran kemiskinan.

Selain itu, saiz keluarga yang semakin kecil dan mobiliti sosial yang tinggi menyebabkan sokongan tradisional daripada anak-anak semakin terhad.

Keadaan ini menjadikan sistem perlindungan sosial formal semakin penting sebagai benteng terakhir keselamatan kewangan warga emas.

Impak Terhadap Produktiviti dan Tenaga Kerja

Penuaan penduduk turut memberi kesan kepada pasaran buruh negara. Apabila bilangan penduduk usia bekerja semakin mengecil, produktiviti ekonomi berisiko terjejas.

Pada masa yang sama, bilangan pesara yang meningkat terus memberi tekanan kepada sistem pencen yang dibiayai melalui caruman dan hasil cukai.

Dalam jangka panjang, nisbah antara pencarum dan penerima pencen akan menjadi semakin tidak seimbang.

Keadaan ini menuntut satu pendekatan baharu yang lebih mampan bagi memastikan sistem persaraan negara kekal berdaya tahan.

Keperluan Reformasi Sistem Persaraan

Menghadapi realiti ini, Malaysia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pendekatan lama dalam pengurusan pencen dan persaraan.

Beberapa langkah pembaharuan perlu dipertimbangkan secara serius, antaranya:

  • Memperkukuh simpanan persaraan secara sukarela, termasuk menerusi instrumen pelaburan patuh syariah, insurans hayat dan dana persaraan swasta.
  • Memperkasa literasi kewangan rakyat, khususnya dalam kalangan golongan muda supaya perancangan persaraan dimulakan lebih awal dan tidak hanya bergantung kepada KWSP semata-mata.
  • Menggalakkan warga pencen yang aktif dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan fleksibel kepada warga emas yang masih sihat dan berkemahiran. Ini bukan sahaja membantu menambah pendapatan mereka, malah menyumbang kepada ekonomi negara.
  • Memperkukuh dan memperkasa sistem sokongan kesihatan dan perlindungan sosial, termasuk insurans kesihatan mampu milik dan kemudahan penjagaan jangka panjang.

Peranan Individu, Majikan dan Kerajaan

Cabaran penuaan penduduk bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Individu perlu lebih bertanggungjawab terhadap masa depan kewangan sendiri.

Majikan pula boleh memainkan peranan dengan menyediakan latihan kewangan dan perlindungan kesihatan yang lebih menyeluruh kepada pekerja.

Kerajaan, sebagai pembuat dasar, perlu memastikan ekosistem persaraan negara sentiasa relevan dengan perubahan demografi, ekonomi dan gaya hidup semasa.

Kesimpulannya, fenomena penduduk menua adalah satu realiti yang tidak boleh dielakkan oleh Malaysia.

Jika tidak ditangani dengan perancangan rapi dan pembaharuan dasar yang menyeluruh, tekanan terhadap sistem pencen akan terus meningkat dan memberi kesan besar kepada kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Langkah proaktif perlu diambil sekarang, bukan esok. Persaraan bukan sekadar soal umur, tetapi soal maruah hidup, keselamatan kewangan dan kualiti kehidupan pada usia senja.

Malaysia masih mempunyai ruang dan masa untuk bertindak, asalkan perubahan dilakukan dengan berani dan berpandangan jauh.

-- BERNAMA

Dr Roslan Ja’afar ialah Pensyarah Kana UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)