TINTA MINDA

VEHICLE-TO-EVERYTHING (V2X): KONSEP, MANFAAT DAN CABARAN

13/01/2026 12:24 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff

Kemajuan teknologi digital dan komunikasi tanpa wayar telah membawa perubahan besar dalam sistem pengangkutan moden.

Salah satu inovasi penting yang muncul hasil daripada evolusi ini ialah Teknologi Kenderaan Berhubung atau lebih dikenali sebagai Vehicle-to-Everything (V2X).

V2X ini merujuk kepada sistem komunikasi yang membolehkan kenderaan bertukar maklumat dengan persekitaran sekelilingnya secara masa nyata, termasuklah kenderaan lain, infrastruktur jalan raya, pejalan kaki, rangkaian komunikasi dan sistem pusat.

Hari ini, V2X menjadi komponen penting dalam pembangunan kenderaan terhubung dan separa autonomi, menyokong aplikasi keselamatan jalan raya, pengurusan trafik pintar, dan ke arah sistem mobiliti mampan, termasuklah agenda bandar pintar dan pengurangan kemalangan jalan raya.

Prinsip dan Cara V2X Berfungsi

Pada asasnya, sistem V2X berfungsi melalui pertukaran data digital menggunakan rangkaian komunikasi tanpa wayar.

Setiap kenderaan yang menyokong V2X dilengkapi dengan unit komunikasi khas yang dikenali sebagai On-Board Unit (OBU).

Unit ini berfungsi sebagai pusat penghantaran dan penerimaan data antara kenderaan dengan elemen lain dalam sistem pengangkutan.

Di sepanjang jalan raya pula, terdapat Road-Side Unit (RSU) yang dipasang pada infrastruktur seperti lampu isyarat, papan tanda elektronik dan simpang pintar.

Maklumat yang dihantar melalui sistem V2X merangkumi pelbagai parameter penting seperti lokasi kenderaan, kelajuan, arah pergerakan, status brek, serta keadaan trafik dan cuaca.

Data ini dihantar secara berterusan dan diproses dalam tempoh yang sangat singkat, membolehkan sistem kenderaan atau pemandu bertindak balas hampir serta-merta.

Dalam kenderaan separa autonomi dan autonomi penuh, maklumat V2X digunakan bersama data sensor seperti kamera, radar dan LiDAR bagi membuat keputusan pemanduan yang lebih tepat dan selamat.

Jenis-Jenis Komunikasi dalam Ekosistem V2X

Teknologi V2X merangkumi beberapa jenis komunikasi yang saling melengkapi dalam membentuk satu ekosistem pengangkutan pintar.

Komunikasi yang paling asas ialah Vehicle-to-Vehicle (V2V), di mana kenderaan dapat berkomunikasi terus antara satu sama lain.

Melalui V2V, maklumat seperti brek kecemasan, perubahan lorong dan kemalangan di hadapan dapat disampaikan kepada kenderaan lain, sekaligus mengurangkan risiko perlanggaran berantai.

Selain itu, Vehicle-to-Infrastructure (V2I) membolehkan kenderaan berhubung dengan infrastruktur jalan raya.

Contohnya, lampu isyarat boleh menghantar maklumat baki masa hijau atau merah kepada kenderaan, membolehkan pemandu menyesuaikan kelajuan dan mengurangkan pembrekan mengejut.

Komunikasi ini juga membantu pengurusan lalu lintas yang lebih sistematik, khususnya di kawasan bandar yang padat.

Vehicle-to-Pedestrian (V2P) pula memberi tumpuan kepada keselamatan pengguna jalan raya yang paling terdedah, termasuk pejalan kaki dan penunggang basikal.

Melalui integrasi dengan peranti mudah alih, sistem ini dapat memberi amaran awal kepada pemandu atau pejalan kaki apabila risiko perlanggaran dikesan.

Seterusnya, Vehicle-to-Network (V2N) menghubungkan kenderaan kepada pelayan awan dan sistem pusat, membolehkan analisis trafik berskala besar, kemas kini perisian dan integrasi dengan sistem bandar pintar.

Manfaat Utama Teknologi V2X

Manfaat paling signifikan berkaitan dengan teknologi V2X ialah peningkatan terhadap keselamatan jalan raya.

Dengan amaran awal yang diterima sebelum bahaya dapat dilihat secara fizikal, pemandu atau sistem automasi mempunyai lebih banyak masa untuk bertindak balas.

Kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa sebahagian besar kemalangan berpunca daripada reaksi lewat, dan teknologi V2X berupaya mengurangkan kelewatan ini secara ketara.

Selain itu, teknologi V2X turut menyumbang kepada pengurangan kesesakan lalu lintas melalui perkongsian maklumat trafik masa nyata.

Laluan alternatif dapat dicadangkan, aliran trafik dapat diselaraskan dan masa menunggu di persimpangan dapat dikurangkan. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, malah meningkatkan produktiviti pengguna jalan raya.

Dari sudut alam sekita pular, pemanduan yang lebih lancar hasil teknologi V2X dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan gas rumah hijau.

Kurang pembrekan dan pecutan berulang bermaksud kecekapan tenaga yang lebih tinggi, sejajar dengan agenda pengangkutan rendah karbon.

Tambahan pula, teknologi V2X berperanan penting dalam menyokong pembangunan kenderaan autonomi, khususnya dalam situasi kompleks yang sukar ditangani oleh sensor kenderaan sahaja.

Kekangan Sistem V2X

Walaupun potensinya amat besar, pelaksanaan teknologi V2X tidak terlepas daripada pelbagai cabaran.

Salah satu kekangan utama ialah kos pelaksanaan yang tinggi. Pemasangan unit komunikasi pada kenderaan, pembinaan infrastruktur pintar dan penyelenggaraan sistem rangkaian memerlukan pelaburan yang besar, khususnya bagi negara sedang membangun.

Isu keselamatan siber dan privasi juga menjadi kebimbangan utama. Sistem V2X bergantung kepada pertukaran data secara berterusan, termasuk data lokasi dan pergerakan kenderaan.

Tanpa perlindungan yang kukuh, sistem ini terdedah kepada serangan siber, pencerobohan data dan manipulasi maklumat yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Selain itu, keberkesanan V2X sangat bergantung kepada kadar penembusan teknologi. Sekiranya hanya sebilangan kecil kenderaan dilengkapi sistem teknologi V2X, manfaat yang diperoleh menjadi terhad.

Cabaran-cabaran lain termasuklah isu keserasian piawaian antara pengeluar dan teknologi komunikasi yang berbeza, yang boleh menjejaskan integrasi sistem secara menyeluruh

Hala Tuju Teknologi V2X

Pada peringkat global, teknologi V2X kini berada dalam fasa peralihan daripada projek perintis kepada pelaksanaan berskala lebih luas.

Banyak negara maju telah menjalankan ujian lapangan di lebuh raya dan kawasan bandar terpilih, khususnya dengan sokongan rangkaian 5G yang menawarkan kependaman rendah dan kapasiti data tinggi.

Integrasi V2X dengan kecerdasan buatan dan analitik data besar dijangka mempercepatkan kematangan teknologi ini.

Pada masa hadapan, V2X dijangka menjadi sebahagian standard sistem keselamatan kenderaan, seiring dengan sistem brek anti-kunci dan kawalan kestabilan elektronik.

Dalam konteks bandar pintar dan pengangkutan mampan, V2X bukan sekadar teknologi sokongan, tetapi satu keperluan asas bagi memastikan mobiliti yang selamat, cekap dan mesra alam.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, teknologi V2X mewakili satu perubahan paradigma dalam sistem pengangkutan moden.

Keupayaannya untuk menghubungkan kenderaan dengan persekitaran secara masa nyata membuka peluang besar dalam meningkatkan keselamatan jalan raya, kecekapan trafik dan kelestarian alam sekitar.

Walaupun masih berhadapan dengan cabaran dari segi kos, keselamatan dan pelaksanaan berskala besar, perkembangan pesat teknologi komunikasi dan sokongan dasar dijangka mempercepatkan penerimaan V2X dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)