Oleh Dr Aniza Abu Bakar dan Fairus Muhamad Darus
Pada waktu tengah hari di bandar, berjalan beberapa ratus meter boleh terasa jauh.
Bukan kerana jaraknya, tetapi kerana laluan yang terdedah kepada panas, silau dan ketiadaan teduhan.
Dalam keadaan ini, keputusan untuk terus menggunakan kenderaan sering dibuat tanpa banyak pertimbangan, walaupun destinasi sebenarnya berada dalam jarak yang boleh dilalui dengan berjalan kaki.
Situasi ini berlaku setiap hari di banyak kawasan bandar dan mendedahkan satu hakikat penting: pilihan pergerakan manusia jarang ditentukan oleh kesedaran semata-mata, sebaliknya oleh sejauh mana persekitaran bandar itu sendiri menyokong pengalaman berjalan yang selesa dan munasabah.
Bandar yang berfungsi dengan baik tidak memerlukan arahan berlebihan untuk mengubah tingkah laku manusia.
Dalam banyak keadaan, persekitaran fizikal itu sendiri sudah cukup untuk mempengaruhi pilihan harian.
Sama ada seseorang memilih untuk berjalan kaki atau terus menggunakan kenderaan sering ditentukan oleh satu persoalan asas, iaitu adakah bandar itu selesa dan selamat untuk dilalui dengan berjalan.
Dalam bandar yang semakin padat serta berdepan pelbagai tekanan fizikal alam sekitar, keupayaan ruang awam untuk menggalakkan pergerakan manusia secara semula jadi menjadi semakin penting.
Keterhubungan ruang awam melalui jalinan siar kaki bukan lagi isu sokongan, tetapi asas kepada kehidupan bandar yang berfungsi.
Berjalan kaki bukan sekadar soal jarak. Ia berkait rapat dengan pengalaman yang dirasai oleh tubuh dan minda sepanjang perjalanan.
Ramai beranggapan bahawa keputusan untuk berjalan kaki bergantung kepada masa dan jarak.
Namun, di kawasan bandar seperti Setapak dan Wangsa Maju di Kuala Lumpur, yang menempatkan kepadatan penduduk tinggi serta aktiviti harian yang bergantung kepada pergerakan jarak dekat antara kediaman, pengangkutan awam dan kemudahan setempat, pertimbangan yang lebih dominan ialah sejauh mana perjalanan itu boleh diterima oleh fisiologi manusia.
Laluan yang panas, terdedah dan tidak bernaung menjadikan jarak yang singkat terasa membebankan.
Sebaliknya, laluan yang lebih selesa sering mengubah keputusan yang sama tanpa disedari.
Dalam hal ini, keselesaan bukan faktor sampingan. Ia merupakan prasyarat utama kepada pergerakan manusia yang konsisten dan berulang.
Tanpa keselesaan asas, budaya berjalan kaki sukar terbentuk walaupun kemudahan fizikal telah disediakan.
Teduhan sebagai Faktor Fizikal dan Psikologi
Teduhan yang disediakan oleh pokok memainkan peranan langsung dalam mengubah pengalaman berjalan.
Ia mengurangkan pendedahan kepada haba matahari, mengawal pantulan suhu daripada permukaan keras seperti konkrit dan asfalt, serta membantu menstabilkan keadaan mikroiklim di aras pejalan kaki.
Dalam konteks bandar tropika, kajian perancangan bandar sering menunjukkan bahawa kehadiran kanopi pokok meningkatkan keselesaan pejalan kaki dan memanjangkan tempoh penggunaan laluan berjalan.
Kewujudan teduhan yang berselang, walaupun tidak berterusan, tetap mampu menarik pejalan kaki untuk meneruskan perjalanan mereka.
Kesan ini penting kerana berjalan kaki jarang berlaku dalam satu perjalanan panjang. Ia biasanya berlaku secara berulang, pendek dan harian.
Apabila setiap perjalanan kecil terasa kurang membebankan, berjalan kaki lebih mudah diterima sebagai sebahagian daripada rutin bandar.
Selain kesan fizikal, pokok turut mempengaruhi pengalaman psikologi pengguna jalan.
Laluan siar kaki yang berpokok lazimnya dirasakan lebih tenang dan kurang menekan berbanding laluan yang sepenuhnya dikelilingi konkrit dan bangunan.
Dalam literatur psikologi persekitaran, unsur hijau sering dikaitkan dengan pengurangan tekanan dan keletihan mental, walaupun dalam tempoh pendedahan yang singkat.
Dalam suasana ini, berjalan kaki tidak lagi memerlukan pertimbangan berulang kali. Ia menjadi pilihan yang dirasakan wajar, bukan sesuatu yang perlu dielakkan.
Siar Kaki yang Digunakan, Bandar yang Berfungsi
Apabila lebih ramai orang memilih untuk berjalan, ruang siar kaki turut berubah sifatnya.
Kehadiran manusia yang konsisten mewujudkan kehidupan jalanan yang aktif dan meningkatkan keterlihatan sosial.
Siar kaki yang digunakan secara berterusan akan terasa lebih selamat kerana wujudnya pemerhatian semula jadi dan interaksi harian. Keadaan ini memberi kesan berganda.
Siar kaki yang hidup menyokong aktiviti ekonomi berskala kecil, mengukuhkan hubungan kejiranan dan meningkatkan rasa memiliki terhadap ruang awam.
Pokok, secara tidak langsung, menyumbang kepada kitaran ini dengan menjadikan siar kaki lebih menarik untuk digunakan.
Ia bukan sekadar mewujudkan rasa selesa dan selamat, tetapi menjadi pencetus kepada persekitaran bandar yang lebih responsif terhadap keperluan penggunanya.
Dalam konteks bandar raya, pihak berkuasa tempatan berperanan sebagai penjaga kualiti ruang awam yang digunakan setiap hari oleh warga bandar.
Keputusan berkaitan pemeliharaan pokok, kesinambungan teduhan dan keselesaan laluan siar kaki sering menentukan sama ada infrastruktur yang dibina benar-benar dimanfaatkan.
Dalam perancangan bandar, keselesaan pejalan kaki jarang dapat dicapai melalui penambahbaikan bersifat sementara.
Keperluan teduhan dan kesinambungan pokok lebih berkesan apabila dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk bandar, khususnya di laluan siar kaki yang dijangka digunakan setiap hari.
Pendekatan ini meletakkan peranan pihak berkuasa tempatan bukan sekadar sebagai penyelenggara ruang sedia ada, tetapi sebagai perancang pengalaman bandar yang berdaya guna dalam jangka panjang.
Namun, salah satu kelemahan perancangan bandar ialah kecenderungan menilai kemudahan berjalan dari sudut geometri dan pematuhan spesifikasi semata-mata.
Siar kaki dibina dan lintasan disediakan, tetapi unsur keselesaan tidak dititikberatkan sepenuhnya.
Akibatnya, laluan siar kaki wujud secara fizikal tetapi tidak digunakan secara konsisten.
Kegagalan memahami bagaimana manusia benar-benar berinteraksi dengan ruang bandar dalam kehidupan seharian akhirnya mengakibatkan kegagalan dalam reka bentuk siar kaki itu sendiri.
Bandar yang Memahami Manusia
Berjalan kaki sering dipromosikan sebagai amalan sihat dan mesra alam.
Namun, perubahan tingkah laku tidak boleh bergantung kepada kesedaran semata-mata.
Selagi persekitaran bandar tidak menyokong pengalaman berjalan yang selesa, galakan tersebut akan kekal terhad dan bersifat simbolik.
Akhirnya, persoalan tentang berjalan kaki di bandar bukan sekadar persoalan mobiliti, tetapi persoalan bagaimana bandar memahami keperluan manusia.
Reka bentuk bandar yang baik tidak memaksa orang berjalan, sebaliknya membentuk persekitaran yang menjadikan berjalan terasa wajar dan munasabah dalam kehidupan seharian.
Dalam jangka panjang, bandar yang gagal menyediakan keselesaan asas ini bukan sahaja kehilangan fungsi ruang awamnya, tetapi turut menjejaskan kualiti hidup, daya huni dan hubungan sosial warga bandar yang bergantung kepadanya setiap hari.
-- BERNAMA
Dr Aniza Abu Bakar ialah Penolong Profesor Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA.