Dalam wacana ketidakupayaan di Malaysia, istilah pekak-buta jarang disebut, apatah lagi dibincangkan secara serius.
Golongan ini seolah-olah wujud di pinggir kesedaran nasional, hadir tetapi tidak benar-benar ‘kelihatan’ dalam perancangan dasar dan pelaksanaan sokongan sosial.
Pekak-buta bukan sekadar kehilangan dua deria secara serentak. Ia adalah satu ketidakupayaan kompleks yang menjejaskan komunikasi, pembelajaran, mobiliti, interaksi sosial dan kesejahteraan emosi.
Namun, realiti ini sering disederhanakan, menyebabkan keperluan sebenar golongan ini gagal difahami.
Ramai masih beranggapan bahawa pekak-buta boleh disokong melalui perkhidmatan orang pekak atau orang buta secara berasingan.
Hakikatnya, pendekatan sebegini tidak memadai. Pekak-buta memerlukan intervensi khusus, strategi komunikasi unik dan sokongan transdisiplin yang bersepadu.
Negara sebenarnya tidak ketandusan dasar. Akta Orang Kurang Upaya, dasar pendidikan inklusif dan pelbagai pelan tindakan sosial telah diwujudkan.
Namun persoalannya, sejauh manakah dasar ini benar-benar menterjemah keperluan khusus pekak-buta ke dalam tindakan yang berkesan?
Jurang antara dasar dan realiti menjadi semakin ketara apabila pekak-buta sering ‘hilang’ dalam data rasmi.
Tanpa statistik yang tepat dan kategori yang jelas, perancangan menjadi kabur, peruntukan menjadi umum, dan sokongan menjadi tidak menyeluruh.
Cabaran Besar Murid Pekak-Buta
Dalam konteks pendidikan, murid pekak-buta berhadapan cabaran besar.
Kurikulum tidak diubah suai secukupnya, guru kurang latihan khusus, dan kaedah komunikasi seperti tactile signing atau object symbols masih asing di kebanyakan institusi.
Akibatnya, ramai murid pekak-buta tidak mencapai potensi sebenar mereka, bukan kerana ketidakupayaan, tetapi kerana kegagalan sistem memahami dan menyokong cara mereka belajar dan berkomunikasi. Isu yang sama berulang dalam sektor kesihatan dan kebajikan.
Akses kepada perkhidmatan kesihatan mesra pekak-buta sangat terhad.
Komunikasi antara pesakit dan petugas kesihatan sering bergantung kepada ahli keluarga, sekali gus menafikan hak autonomi individu pekak-buta itu sendiri.
Lebih membimbangkan, pekak-buta dewasa sering terpinggir daripada peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.
Tanpa sokongan komunikasi dan penyesuaian tempat kerja, mereka dilabel tidak produktif, sedangkan potensi mereka tidak pernah diberi ruang untuk berkembang.
Tanggungjawab negara tidak seharusnya berhenti pada penggubalan dasar.
Negara bertanggungjawab memastikan dasar itu hidup, berfungsi dan memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat, termasuk golongan pekak-buta yang kecil bilangannya tetapi besar keperluannya.
Ini menuntut perubahan paradigma, daripada pendekatan belas ihsan kepada pendekatan hak asasi.
Pekak-buta bukan objek simpati, tetapi warga negara yang berhak mendapat akses sama rata kepada pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kehidupan bermaruah.
Perkasa Latihan Transdisiplin Profesional
Latihan profesional khusus perlu diperkasakan.
Guru, jurupulih, petugas kesihatan dan penjawat awam perlu didedahkan kepada kefahaman pekak-buta secara sistematik, bukan sekadar pengetahuan asas tentang ketidakupayaan. Negara juga perlu melabur dalam pembangunan kepakaran tempatan.
Pakar komunikasi pekak-buta, pendidik transdisiplin dan penyelidik perlu dibangunkan agar Malaysia tidak terus bergantung kepada model luar yang belum tentu sesuai dengan konteks tempatan.
Teknologi seharusnya menjadi jambatan, bukan jurang. Peranti bantuan, teknologi sentuhan, dan inovasi komunikasi boleh mengubah kehidupan pekak-buta jika dirancang dengan inklusif dan disokong oleh dasar yang progresif.
Namun teknologi tanpa latihan dan sokongan hanya menjadi alat yang mahal dan tidak berfungsi. Di sinilah realiti sering bercanggah dengan niat dasar yang baik.
Masyarakat juga memikul tanggungjawab moral. Kesedaran awam tentang pekak-buta masih rendah, menyebabkan mereka sering disalah tafsir, dipinggirkan atau dilayan sebagai tidak berkeupayaan sepenuhnya.
Media, institusi pendidikan dan organisasi masyarakat sivil perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membina naratif yang tepat dan bermaruah tentang pekak-buta.
Negara yang benar-benar inklusif bukan diukur melalui bilangan dasar yang digubal, tetapi melalui sejauh mana golongan paling rentan merasai keadilan sosial dalam kehidupan seharian mereka.
Pekak-buta menguji keikhlasan sistem kita.
Adakah kita sekadar memenuhi keperluan majoriti, atau sanggup menyesuaikan sistem demi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal?
Antara dasar dan realiti, pekak-buta masih menunggu.
Menunggu untuk difahami, disokong dan diiktiraf sebagai manusia yang berhak hidup dengan maruah.
Persoalannya kini, adakah negara bersedia untuk benar-benar mendengar, walaupun tanpa bunyi, dan melihat, walaupun tanpa cahaya?
-- BERNAMA
Dr Mohd Norazmi Nordin (Dr NN) ialah Pensyarah Kanan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau juga merupakan Setiausaha Rantau Asia Timur, Majlis Antarabangsa Bagi Pendidikan Untuk Orang Ketidakupayaan Penglihatan (ICEVI), merangkap Ahli jawatankuasa penaja Pertubuhan Pekak-buta Malaysia untuk Advokasi dan Inklusiviti (DAMAI) Juga seorang penyanyi, komposer dan penulis lirik.