PENA WANITA

'SENYAP DIGITAL' SENJATA AMPUH LAWAN SCAMMER

30/01/2026 11:13 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Dr Norhafezah Yusof

Golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan kini dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko tinggi menjadi mangsa penipuan siber atau scammer yang semakin licik mengeksploitasi ruang digital.

Trend ini menimbulkan kegusaran serius memandangkan golongan muda yang 'celik teknologi' ini sering kali terjebak dengan tawaran pelaburan tidak wujud dan sindiket tawaran pekerjaan.

Berdasarkan anggaran rasmi pihak berkuasa, nilai kerugian akibat jenayah siber di Malaysia menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan, dengan jumlah kerugian terkumpul kini mencecah angka bilion ringgit.

Golongan Berisiko Tinggi

Menurut data daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), penipuan pelaburan dan e-dagang kekal sebagai penyumbang utama kerugian.

Golongan profesional muda dilihat mudah terpedaya akibat tekanan kos sara hidup dan keinginan mencapai kebebasan kewangan dengan pantas melalui platform digital.

Kajian kesedaran keselamatan siber kebangsaan turut mendedahkan bahawa kira-kira dua pertiga golongan muda pernah menghadapi cubaan penipuan.

Individu berpendidikan tinggi didapati mempunyai risiko pendedahan yang lebih kerap berikutan kebergantungan tinggi mereka terhadap transaksi dalam talian dan media sosial.

Pemerkasaan Perundangan

Kerajaan kini memperkasakan kerangka perundangan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sebagai langkah proaktif membendung ancaman digital yang semakin meruncing.

Usaha ini merangkumi pelaksanaan kawalan lebih ketat, termasuk keperluan pelesenan bagi platform media sosial utama bagi memastikan ekosistem digital yang lebih selamat, di samping mewajibkan penyedia platform memikul tanggungjawab undang-undang untuk segera menurunkan kandungan berunsur penipuan sebaik dikesan.

Inisiatif ini turut memperkukuh sinergi penguatkuasaan dengan melengkapkan Akta Keselamatan Siber 2024, sekali gus memberi kuasa lebih luas kepada agensi berkaitan untuk menumpaskan operasi sindiket penipuan dalam talian ke peringkat akar umbi.

Intervensi: Putuskan Rantaian Komunikasi Sindiket

Dalam mendepani ancaman ini, pendekatan intervensi kini beralih kepada pengurusan etika komunikasi digital.

Pihak berkuasa menekankan bahawa setiap interaksi dengan scammer, walaupun sekadar membalas mesej dengan nada marah atau menyindir, hanya akan memberikan maklumat berharga kepada sindiket tentang profil mangsa.

Masyarakat digesa mengamalkan protokol komunikasi selamat dengan mengabaikan sebarang cubaan hubungan daripada sumber yang tidak diverifikasi.

Justeru, jangan hiraukan deringan telefon daripada nombor yang tidak dikenali atau bunyi notifikasi mesej yang bakal menjanjikan pulangan luar biasa.

Strategi komunikasi terbaik adalah 'senyap digital'.

Ingatlah, saat anda membalas mesej tersebut, sebenarnya sedang mengesahkan identiti anda kepada sindiket. Dengan demikian, anda tentunya akan terperangkap dan tertipu.

Golongan yang menjadi mangsa digesa menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dengan kadar segera.

Tindakan pantas melaporkan kes membolehkan NSRC menyekat aliran wang keluar melalui sistem pembekuan akaun keldai secara masa nyata (real-time).

Sejak ditubuhkan pada 14 Oktober 2022 secara kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, NSRC telah berjaya menyelamatkan jutaan ringgit wang mangsa daripada dipindahkan oleh sindiket.

Kesimpulannya, dalam era penipuan siber yang semakin canggih, ‘senyap digital’ bukan sekadar pilihan, tetapi perisai pertama masyarakat, khususnya golongan muda, untuk memutuskan rantaian komunikasi sindiket dan melindungi diri daripada kerugian kewangan yang berpanjangan.

-- BERNAMA

Prof Dr Norhafezah Yusof ialah Exco Biro Pengantarabangsaan dan Perhubungan Industri-Komuniti, Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor bidang Komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)