PENA WANITA

TAKUT BUKAN KERANA BERSALAH: ISU KOMUNIKASI DALAM PROSES PELAPORAN

11/03/2026 09:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Miharaini Md Ghani

Komunikasi ialah nadi hubungan antara individu dan institusi. Namun apabila mesej tidak disampaikan dengan jelas atau disalah tafsir, rasa takut boleh menggantikan kepercayaan.

Fenomena ini menjelaskan mengapa sebahagian individu teragak-agak untuk membuat laporan atau aduan terhadap sesuatu kejadian, sama ada berkaitan salah laku, rasuah, gangguan, atau isu tempat kerja.

Ini bukan kerana mereka bersalah, tetapi kerana proses komunikasi yang dirasakan menekan, mengelirukan atau tidak mesra emosi.

Komunikasi Interpersonal dalam Situasi Emosi yang Rapuh

Apabila seseorang menjadi mangsa ketidakadilan atau menyaksikan sesuatu pelanggaran etika, proses membuat laporan sering berlaku dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

Dalam situasi ini, individu memerlukan penjelasan yang tenang dan empati. Namun realitinya, komunikasi sering berlangsung mengikut prosedur rasmi yang ketat.

Soalan yang berulang, nada yang formal, atau bahasa teknikal boleh ditafsir sebagai syak wasangka, walaupun niat sebenar adalah untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Dari sudut komunikasi interpersonal, jurang emosi antara pelapor dan pegawai bertugas boleh menyebabkan mesej disalah tafsir, lalu mencetuskan rasa takut.

Bagi sesetengah individu, pengalaman ini cukup untuk membuatkan mereka enggan tampil pada masa hadapan.

Komunikasi yang berkesan dalam situasi sensitif memerlukan kesedaran bahawa individu yang tampil membuat laporan bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi seseorang yang sedang memproses pengalaman yang mungkin memberi tekanan psikologi.

Tanpa empati komunikasi, mesej perlindungan boleh berubah menjadi tekanan.

Komunikasi Simbolik dan Autoriti Institusi

Selain kata-kata, komunikasi juga berlaku melalui simbol. Struktur organisasi, prosedur rasmi, bahasa formal, pakaian seragam, ruang pejabat atau susun atur kaunter adalah bentuk komunikasi bukan lisan yang membawa mesej autoriti dan kuasa.

Bagi individu yang jarang berurusan dengan institusi, simbol-simbol ini boleh menimbulkan rasa kecil, takut atau terancam.

Dalam kajian komunikasi, fenomena ini dikenali sebagai komunikasi simbolik iaitu mesej disampaikan melalui persekitaran dan visual, bukan semata-mata perkataan.

Walaupun simbol ini penting untuk mengekalkan profesionalisme dan ketertiban, ia juga boleh menjadi penghalang komunikasi jika tidak diseimbangkan dengan pendekatan yang lebih mesra dan manusiawi.

Jurang Komunikasi Awam dan Persepsi Sosial

Ketakutan untuk melapor juga dipengaruhi oleh komunikasi sosial yang berlegar dalam masyarakat.

Kisah tular di media sosial, pengalaman negatif yang dikongsi tanpa konteks, serta gambaran dramatik dalam media hiburan membentuk persepsi kolektif bahawa proses membuat aduan adalah sukar dan memalukan.

Tambahan pula, ramai yang tidak memahami proses sebenar pelaporan, apa yang akan ditanya, mengapa soalan tertentu diperlukan, dan apakah hak mereka sebagai pelapor.

Kekaburan maklumat ini mewujudkan jurang komunikasi institusi, lalu diisi dengan andaian dan ketakutan.

Dalam konteks budaya tempatan, nilai seperti menjaga maruah, mengelakkan konflik dengan autoriti, dan takut dipersoalkan turut mempengaruhi keputusan untuk berdiam diri.

Ini menunjukkan bahawa komunikasi bukan sahaja bersifat teknikal, tetapi sangat dipengaruhi oleh norma sosial dan budaya.

Ke Arah Komunikasi yang Membina Kepercayaan

Isu ini bukan kegagalan mana-mana pihak secara mutlak. Banyak institusi telah menunjukkan usaha menambah baik pendekatan komunikasi melalui kaunter mesra pelanggan, saluran aduan dalam talian, perlindungan pemberi maklumat dan pendekatan berasaskan empati.

Namun komunikasi ialah proses dua hala yang memerlukan kefahaman bersama.

Masyarakat juga perlu diperkasakan dengan literasi komunikasi undang-undang dan organisasi agar mereka memahami hak, prosedur dan peranan masing-masing.

Kepercayaan lahir apabila komunikasi berlaku secara jelas, konsisten dan berperikemanusiaan. Melapor sesuatu isu bukan sekadar tindakan administratif, tetapi satu proses komunikasi antara individu dan sistem.

Apabila komunikasi ini gagal, keadilan dan keselamatan sosial turut terjejas.

Takut bukan kerana bersalah, tetapi kerana komunikasi yang belum benar-benar sampai.

-- BERNAMA

Dr Miharaini Md Ghani ialah Editor Pusat Media dan Perhubungan Awam serta Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)