TINTA MINDA

KOMUNIKASI STRATEGIK NADI KEJAYAAN RPTM 2026–2035

10/03/2026 11:29 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Noor Mohamad Shakil Hameed

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang dilancarkan di bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari yang lalu mula mendapat reaksi positif daripada semua pemegang taruh.

Pelan transformasi ini dilihat mampu memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara secara inklusif, berdaya saing dan berteraskan keadilan sosial.

Secara umumnya, RPTM 2026–2035 digarap sebagai pelan jangka panjang bagi memperteguh ekosistem pendidikan tinggi negara agar lebih relevan, berdaya saing dan berimpak tinggi.

Ia mencerminkan aspirasi besar negara untuk melahirkan graduan holistik, memperkasa institusi pengajian tinggi serta merapatkan jurang antara dunia akademik dan keperluan industri.

Ironinya, sejarah pelaksanaan pelbagai inisiatif dan dasar awam di negara ini menunjukkan bahawa kejayaan sesuatu pelan, khususnya rancangan jangka panjang, tidak hanya bergantung kepada kekuatan perancangannya.

Sebaliknya, ia turut ditentukan oleh bagaimana pelan tersebut dikomunikasikan kepada semua lapisan anggota masyarakat.

Dalam konteks ini, elemen komunikasi strategik perlu diangkat sebagai nadi utama yang boleh menjayakan RPTM.

Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian, jabatan dan institusi pendidikan yang berkaitan agar mengemukakan laporan proses pelaksanaan RPN 2026-2035, termasuk RPTM bermula Mac ini.

Dalam konteks ini semua pihak perlu faham mesej jelas Anwar yang mengingatkan betapa cabaran utama kejayaan rancangan ini bukan terletak pada merangka pelan yang kelihatan gah, sebaliknya memastikan setiap program diterjemah dengan berkesan di lapangan.

Anwar sendiri menzahirkan kebimbangan banyak pelan yang diluncurkan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sampai, justeru RPN yang merupakan pelan besar untuk masa depan negara serta generasi muda, perlu dilaksanakan dengan cekap agar memberi makna kepada semua kumpulan sasaran.

Elemen komunikasi strategik agensi kerajaan bukan sekadar aktiviti menyampaikan maklumat atau menghebahkan sesuatu dasar kepada rakyat, sebaliknya ia merupakan proses terancang untuk membina kefahaman, kepercayaan dan penglibatan pelbagai pihak secara berterusan.

RPTM yang bersifat kompleks dan melibatkan pelbagai pemegang taruh memerlukan pendekatan komunikasi yang tersusun, konsisten dan inklusif.

Komunikasi Kunci RPTM

Tanpa komunikasi strategik, wujud risiko pelan ini disalah tafsir, dipersepsi secara negatif atau dianggap tidak relevan oleh kumpulan sasaran tertentu.

Hakikatnya, soal pendidikan tinggi di negara ini mempunyai hubungan langsung dengan harapan ibu bapa terhadap masa depan anak-anak, aspirasi pelajar lepasan sekolah, idealisme ahli akademik, keperluan industri serta kepentingan negara secara keseluruhan.

Justeru, RPTM perlu dikomunikasikan sebagai naratif nasional yang difahami dan dirasai bersama, bukan sekadar dokumen dasar yang berlegar dalam lingkungan pembuat polisi dan pentadbir institusi semata-mata.

Salah satu kekuatan komunikasi strategik ialah keupayaannya menyesuaikan mesej mengikut kumpulan sasaran.

Ibu bapa, misalnya, melihat pendidikan tinggi sebagai pelaburan masa depan anak-anak.

Mereka perlu diyakinkan bahawa RPTM mampu menjamin kualiti pendidikan, kebolehpasaran graduan dan kesejahteraan pelajar.

Komunikasi kepada kumpulan ini perlu menggunakan bahasa yang mudah, berfokus kepada manfaat praktikal dan disampaikan melalui saluran yang dekat dengan mereka seperti media arus perdana, media sosial dan platform bersesuaian di peringkat komuniti.

Manakala bagi bakal pelajar institusi pengajian tinggi pula, RPTM perlu dikomunikasikan sebagai pelan yang membuka peluang dan memberi hala tuju jelas tentang masa depan mereka.

Hakikatnya kita perlu sedar betapa generasi muda lebih responsif terhadap komunikasi digital, visual dan berasaskan penceritaan.

Maka setiap agensi yang terlibat perlu menggunakan pendekatan yang menampilkan kisah kejayaan, pengalaman pelajar serta laluan kerjaya yang realistik supaya boleh menjadikan RPTM lebih dekat dengan aspirasi mereka, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara.

Selain itu, sokongan anggota masyarakat juga bakal menentukan legitimasi sesuatu dasar awam yang baru diperkenalkan.

Dalam konteks ini, aspek komunikasi strategik berperanan menjelaskan mengapa pelaburan besar dalam pendidikan tinggi diperlukan dan bagaimana manfaatnya kembali kepada masyarakat, sama ada melalui inovasi, peluang pekerjaan atau kesejahteraan sosial.

Ringkasnya, apabila masyarakat memahami rasional RPTM diperkenalkan, sokongan yang lebih kukuh dapat dibina secara menyeluruh.

Akademia Pemain Utama RPTM

Warga institusi pengajian tinggi boleh dikatakan pemain utama RPTM kerana mereka terlibat secara langsung dalam menjayakannya.

Justeru komunikasi strategik dalam memastikan golongan ini memahami RPTM sangat kritikal. Hal ini sangat signifikan demi memastikan mereka dapat menterjemahkan RPTM daripada dasar kepada tindakan.

Jika komunikasi gagal menyampaikan hala tuju dengan jelas, RPTM berisiko dilihat sebagai beban tambahan atau arahan pentadbiran semata-mata.

Oleh itu perlu dilaksanakan jerayawara di semua IPT supaya kandungan RPTM ini dapat dibincangkan dan diterangkan melalui wadah komunikasi yang strategik.

Sesi libat urus bersama kumpulan akademia bukan saja membuka ruang penjelasan yang lebih efisien, tetapi turut menjadi platform mengiktiraf sumbangan, serta menjulang peranan dan komitmen tinggi akademia terhadap pelaksanaan pelan ini.

Dari sudut amalan, pelan komunikasi strategik RPTM perlu bergerak melangkaui pendekatan tradisional.

Ia memerlukan penjajaran naratif antara kementerian, institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan agar mesej yang disampaikan konsisten dan tidak bercanggah.

Pemilihan jurucakap yang berwibawa dan diyakini juga penting bagi menyampaikan mesej secara berkesan.

Selain itu, penggunaan data, kajian kes dan penceritaan kejayaan awal atau quick wins boleh membantu membuktikan impak sebenar RPTM di lapangan.

Pengurusan persepsi dan jangkaan awam turut menjadi elemen penting dalam komunikasi strategik.

Lazimnya, setiap dasar besar pasti berdepan pelbagai reaksi khususnya kritikan dan persepsi negatif dari segelintir anggota masyarakat.

Maka, pendekatan komunikasi yang telus, berfakta dan beretika mampu mengurus persepsi ini dengan lebih berkesan.

Mengakui cabaran yang wujud dan menjelaskan langkah penambahbaikan yang dirancang akan membina kepercayaan jangka panjang, berbanding sekadar menonjolkan sisi positif semata-mata.

Akhirnya, RPTM 2026–2035 memerlukan sokongan kolektif untuk berjaya. Sokongan ini tidak boleh dipaksa, tetapi perlu dibina melalui komunikasi strategik yang bijaksana dan berterusan.

Apabila dasar difahami, dirasai dan diyakini oleh semua kumpulan sasaran, pelaksanaannya akan menjadi lebih lancar dan berkesan.

Justeru, komunikasi strategik bukan sekadar pelengkap kepada RPTM, tetapi merupakan nadi yang benar-benar menghidupkan dokumen ini demi memacu kecemerlangan masa depan pendidikan tinggi negara.

-- BERNAMA

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)