TINTA MINDA

MEMAHAMI KESEDIAAN PERSEKOLAHAN DARI PERSPEKTIF PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

03/03/2026 09:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muhammad Nur Azam Ghazali

Adalah perkara biasa di Malaysia untuk anak-anak menghadiri persekolahan pada usia enam tahun tanpa sebarang soalan.

Ia merupakan satu kebanggaan dan kemajuan serta masa depan yang dinanti-nantikan oleh ramai ibu bapa.

Walau bagaimanapun, di sebalik piawaian yang dipersetujui secara universal ini, satu persoalan kritikal harus diteliti dengan lebih teliti iaitu adakah setiap kanak-kanak berusia enam tahun benar-benar bersedia untuk keperluan pendidikan formal?

Persoalan ini bukanlah tentangan terhadap pendidikan atau pengurangan piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebaliknya, ia adalah bagi memastikan bahawa cara kita menyediakan persekolahan adalah selaras dengan cara kanak-kanak membesar, belajar dan berkembang.

Setiap kanak-kanak tidak boleh dibentuk dengan cara yang yang sama.

Malah kematangan emosi, jangka masa perhatian, perkembangan bahasa dan kemahiran sosial interkasi mereka boleh berbeza dengan ketara pada usia enam tahun.

Terdapat sebahagian kanak-kanak yang merupakan seseorang yang cepat menyesuaikan diri dalam kelas yang disertainya.

Pada masa yang sama, ada sebahagian kanak-kanak yang sentiasa berusaha untuk mempelajari asas-asas kawalan kendiri, seperti keupayaan untuk mengawal kemarahan mereka apabila mereka terlibat dalam satu pertelingkahan, mematuhi arahan atau duduk dan melakukan aktiviti sepanjang kelas formal berjalan.

Mengimbangi Akademik dan Perkembangan

Pendidikan formal di Malaysia cenderung menyediakan jadual pembelajaran yang ketat, tuntutan pendidikan, ujian sumatif dan formatik serta kekurangan dari aspek permainan bebas.

Bagi kanak-kanak yang belum atau kurang bersedia dari segi perkembangan, langkah ini boleh menyebabkan mereka berasa tekanan, bimbang atau gagal dengan proses pembelajaran.

Trend ini telah diperhatikan dalam sepuluh tahun terakhir di mana penekanan ke atas kanak-kanak diberikan kepada pemerolehan kejayaan akademik di peringkat awal.

Pada tahun-tahun awal persekolahan, amalan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul diberi lebih banyak tumpuan jika dibandingkan dengan pembelajaran yang bersifat holistik seperti yang diperuntukkan dalam Falsafah Pendidikan Malaysia.

Ini bermakna, masih kurang pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak ditekankan pada usia mereka.

Walaupun seorang kanak-kanak harus didedahkan kepada literasi dan kemahiran mengira pada usia muda, akan tetapi, terlalu banyak tekanan akademik juga boleh merosakkan motivasi dan keyakinan kanak-kanak.

Kajian perkembangan kanak-kanak dengan jelas menunjukkan bahawa bermain bukanlah satu pilihan dalam proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).

Sebaliknya ia adalah satu tuntutan yang mesti dipenuhi oleh guru untuk kepentingan perkembangan holistik kepada kanak-kanak.

Umum diketahui, kanak-kanak belajar menyelesaikan masalah dan mempunyai kefahaman sosial dan kreativiti serta daya tahan emosi melalui bermain.

Persekolahan formal yang terlalu awal boleh menghilangkan identiti sebenar kanak-kanak kerana elemen permainan bebas sedikit demi sedikit dikurangkan, malah pembelajaran akan dikaitkan dengan tekanan dan bukan rasa ingin tahu.

Melihat dari segi konteks Malaysia sebagai negara majmuk, kanak-kanak datang ke sekolah dengan pelbagai pengalaman di rumah, bahasa dan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.

Dasar kesediaan sekolah sejagat boleh membawa bencana kepada kanak-kanak yang mungkin memerlukan lebih banyak masa, bantuan atau laluan pembelajaran alternatif.

PdPc Berpusatkan Kanak-Kanak

Perlu diingatkan bahawa kesediaan tidak boleh dianggap sebagai tanggungjawab kanak-kanak sahaja.

Sekolah, kurikulum dan kaedah PdPc juga harus bersedia untuk menampung kanak-kanak lebih-lebih lagi bagi kumpulan kelompok kanak-kanak yang akan memulakan sesi persekolahan formal pertama ini.

Yang paling penting ialah kaedah PdPc haruslah seiirng dengan perkembangan berpusatkan kanak-kanak.

Ia bermaksud, pembelajaran perlu lebih fleksibel, jangkaan dan objektif PdPc yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak dan tahap sistem sokongan emosi yang tinggi perlu disediakan oleh pihak KPM khususnya.

Pertimbangan semula umur kemasukan ke sekolah sejak enam tahun tidak bermakna keterlambatan pembelajaran atau penurunan kualiti pendidikan.

Sebaliknya, ia bermakna satu perubahan fokus iaitu dari pecutan hasil akademik pada tahun-tahun awal kepada perkembangan holistik.

Sesetengah negara yang mempunyai sistem pendidikan yang mantap sedang memberi tumpuan yang lebih tinggi kepada pembelajaran sosial-emosi, pembelajaran berasaskan bermain dan pengenalan secara beransur-ansur kepada pendidikan formal.

Bagi kes di Malaysia, ia mungkin melibatkan pengukuhan kesinambungan dalam fasa prasekolah-rendah, latihan guru tentang penggunaan strategi berpusatkan kanak-kanak dan penglibatan ibu bapa dalam mempelajari apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan kesediaan yang bukan kemahiran akademik.

Sama ada kanak-kanak harus belajar lebih awal bukanlah satu persoalan yang perlu ditanya, bagaimana dan bila persekolahan formal harus dimulakan.

Sebagai ibu bapa, guru dan pembuat dasar, kita perlu mengemukakan soalan kepada diri kita sama ada apa yang dilakukan membawa kepada kepentingan terbaik semua kanak-kanak atau adakah kita memberi tekanan yang tidak wajar kepada kanak-kanak yang sedang menerokai dan belajar.

Menghadiri ke sekolah formal pada usia enam tahun adalah satu pengalaman yang mengembirakan dan bukannya satu kebimbangan.

Mereka bentuk semula makna kesediaan dan pencapaian semasa tahun-tahun awal akan membantu Malaysia memastikan bahawa pendidikan bukan sahaja menghasilkan murid yang berprestasi awal, tetapi juga murid yang berdaya tahan dan yakin diri dalam menghadapi Revolusi Industri 5.0 (IR5.0) pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Dr Muhammad Nur Azam Ghazali ialah Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)