TINTA MINDA

RAMADAN, MADRASAH JIWA DAN MAKMAL SAINS KEHIDUPAN

03/03/2026 09:43 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Profesor Madya Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin

Bulan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi sebuah madrasah tarbiah yang membentuk jiwa, akal dan tindakan.

Ia mendidik manusia tentang disiplin, kesabaran, empati dan kesedaran diri.

Namun, lebih daripada itu.

Ramadan juga membuka ruang refleksi terhadap bagaimana kita memahami ilmu, termasuk ilmu sains dan fizik, serta bagaimana pengalaman hidup harian masyarakat menjadi khazanah pengetahuan atau funds of knowledge yang sangat bernilai dalam pendidikan.

Puasa dan Sains

Dalam tradisi Islam, puasa mengajar kita tentang kawalan diri.

Dari sudut sains, ia juga memberi peluang untuk memahami bagaimana tubuh manusia berfungsi secara sistematik dan seimbang.

Apabila seseorang berpuasa, berlaku perubahan pada kadar metabolisme, penggunaan tenaga dan kestabilan suhu badan.

Tubuh manusia beradaptasi dengan keadaan tanpa makanan dan minuman dalam tempoh tertentu.

Proses ini mengingatkan kita bahawa sistem biologi manusia beroperasi berdasarkan prinsip keseimbangan (equilibrium), sama seperti konsep keseimbangan dalam fizik.

Dalam fizik, kita mempelajari tentang keseimbangan daya, hukum termodinamik dan pemeliharaan tenaga. Ramadan memberi makna konkrit kepada konsep-konsep ini.

Tenaga tidak hilang, tetapi berubah bentuk. Ketika kita berlapar, tenaga simpanan dalam bentuk glikogen dan lemak digunakan bagi mengekalkan fungsi tubuh.

Konsep pemeliharaan tenaga yang sering kelihatan abstrak di dalam bilik kuliah, menjadi nyata dalam pengalaman harian umat Islam sepanjang Ramadan.

Di sinilah pentingnya pendekatan pendidikan yang mengiktiraf pengalaman hidup sebagai sumber ilmu.

Konsep khazanah pengetahuan yang diperkenalkan oleh ahli pendidikan seperti Luis Moll menekankan bahawa keluarga dan komuniti memiliki pengetahuan tersendiri yang kaya, walaupun tidak selalu diformalkan dalam buku teks.

Dalam konteks Malaysia, pengalaman berpuasa, berbuka, bersahur, dan solat tarawih adalah sebahagian daripada budaya dan pengalaman kolektif yang boleh dimanfaatkan dalam pengajaran sains.

Sebagai contoh, guru fizik boleh mengaitkan fenomena perubahan suhu badan ketika berpuasa dengan konsep pemindahan haba.

Mengapa badan terasa lebih letih pada waktu tengah hari? Bagaimana radiasi haba dari persekitaran mempengaruhi tubuh?

Mengapa minuman sejuk memberikan sensasi tertentu ketika berbuka puasa?

Semua ini boleh menjadi pintu masuk untuk membincangkan konsep konduksi, perolakan dan radiasi.

Begitu juga dengan penentuan awal Ramadan dan Syawal yang bergantung kepada cerapan anak bulan.

Di sini, astronomi dan fizik optik memainkan peranan penting. Murid boleh diperkenalkan kepada konsep sudut, cahaya, pembiasan dan kedudukan relatif bumi-bulan-matahari.

Aktiviti cerapan hilal ini boleh menjadi pengalaman pembelajaran autentik yang menghubungkan amalan agama dengan prinsip fizik.

Guru-guru boleh membawa anak-anak murid berkunjung ke pusat cerapan anak bulan bagi menimba pengalaman berharga.

Pendidikan dan Realiti Kehidupan

Pendidikan menjadi lebih bermakna apabila ilmu tidak terpisah daripada realiti kehidupan.

Ramadan juga mendidik tentang pengurusan masa.

Waktu solat, imsak dan berbuka puasa ditentukan secara tepat berdasarkan pergerakan matahari. Ini berkait langsung dengan konsep gerakan relatif dan sistem koordinat dalam fizik.

Ketepatan waktu mengajar kita tentang kepentingan ukuran dan piawaian, yang menjadi asas penting kepada sains moden. Lebih mendalam lagi, Ramadan mengajar kita tentang daya tahan (resilience).

Dalam fizik, sesuatu bahan diuji ketahanannya melalui tekanan dan beban. Dalam kehidupan, manusia diuji melalui cabaran dan kekurangan.

Puasa melatih daya tahan mental dan emosi. Ia membentuk kekuatan dalaman yang tidak kelihatan, tetapi memberi kesan besar terhadap tindakan dan keputusan seseorang.

Perumpamaan ini boleh membantu pelajar memahami bahawa konsep fizik bukan sekadar formula, tetapi refleksi terhadap realiti kehidupan.

Sebagai pendidik sains, kita perlu bergerak daripada pendekatan hafalan kepada pendekatan kontekstual. Ilmu fizik tidak boleh terasing daripada budaya, nilai dan pengalaman masyarakat.

Apabila murid melihat kaitan antara apa yang dipelajari dengan kehidupan sebenar, motivasi dalaman mereka meningkat. Mereka tidak lagi melihat fizik sebagai subjek yang sukar, tetapi sebagai alat untuk memahami dunia.

Malaysia sebagai masyarakat majmuk dan beragama mempunyai kekayaan pengalaman yang luas.

Ramadan: Jambatan Ilmu Wahyu dan Ilmu Akal

Ramadan adalah salah satu daripadanya.

Jika dimanfaatkan dengan bijaksana, ia boleh menjadi jambatan antara ilmu wahyu dan ilmu akal, antara tradisi dan inovasi, antara budaya masyarakat dan sains.

Akhirnya, hikmah Ramadan bukan sahaja pada ibadah yang dilaksanakan, tetapi pada kesedaran yang dibangunkan.

Ia mengajar kita bahawa ilmu bukan hanya di makmal atau di dalam buku, tetapi juga di dapur ketika menyediakan juadah berbuka (aplikasi haba), di masjid ketika mendengar tazkirah (aplikasi gelombang bunyi), dan di langit ketika mencerap anak bulan (aplikasi fizik optik).

Ramadan mengingatkan kita bahawa pendidikan terbaik adalah pendidikan yang menyentuh hati dan akal serentak.

Dalam hubungan antara sains, fizik dan khazanah pengetahuan masyarakat, kita menemukan satu hakikat penting iaitu ilmu menjadi lebih bermakna apabila ia berakar pada kehidupan.

Semoga Ramadan terus menjadi madrasah yang menyuburkan bukan sahaja iman, tetapi juga kecintaan terhadap ilmu serta kebijaksanaan para pendidik, khasnya pendidik sains dan fizik, dalam mendidik generasi kini dan masa hadapan.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah ahli akademik dan penyelidik dalam bidang Pendidikan Sains dan Fizik di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)