PENA WANITA

IMARAH EXPO ATAU MASJID? CARI KESEIMBANGAN BULAN RAMADAN

09/03/2026 12:57 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Anim Zalina Azizan

Saban tahun bulan Ramadan hadir sebagai madrasah rohani yang mendidik jiwa, memperkukuh ukhuwah dan membina kesedaran sosial dalam kalangan umat Islam.

Ramadan hadir sebagai medium buat umat Islam menjalani rukun Islam ketiga iaitu berpuasa penuh sebulan di bulan Ramadan.

Setiap detiknya sarat dengan peluang menggandakan pahala, sama ada melalui ibadah khusus seperti solat, membaca al-Quran, zikir dan sedekah, mahupun melalui aktiviti kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada ummah.

Dalam konteks semasa, penganjuran pelbagai program seperti Bazar Ramadan, Expo Ramadan di kampus, masjid atau komuniti sering menjadi topik perbincangan.

Persoalannya, antara mengunjungi expo dan mengimarahkan masjid khususnya dengan solat sunat Tarawih, manakah lebih mengundang keberkatan?

Hakikatnya, kedua-duanya mempunyai nilai tersendiri dalam kerangka ibadah Islam yang syumul.

Namun, keutamaan dan keseimbangan perlu difahami agar Ramadan tidak sekadar dipenuhi aktiviti luaran, tetapi benar-benar memberi kesan kepada pembinaan jiwa dan hubungan dengan Allah SWT.

Imarah masjid dalam bulan Ramadan merupakan amalan yang sangat dituntut. Masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi pusat penyatuan ummah, penyebaran ilmu dan pembinaan spiritual.

Solat sunat Tarawih yang hanya hadir setahun sekali menjadi simbol kekhusyukan Ramadan.

Rasulullah SAW sendiri menghidupkan malam Ramadan dengan solat dan ibadah, dan para sahabat meneruskan tradisi tersebut sebagai tanda kesungguhan memanfaatkan bulan penuh rahmat ini.

Tarawih Memperkukuh Ukhuwah

Menghadiri solat Tarawih di masjid bukan sahaja memberi ganjaran pahala yang besar, malah memperkukuh hubungan sosial dalam komuniti.

Anak-anak melihat ibu bapa ke masjid, rakan-rakan saling bertegur sapa dan masyarakat merasai suasana kebersamaan yang sukar diperoleh di bulan-bulan lain.

Inilah keberkatan yang tidak dapat diukur dengan angka, tetapi dirasai dalam ketenangan jiwa dan kekuatan ukhuwah.

Dalam masa yang sama, penganjuran expo Ramadan juga mempunyai peranan yang signifikan.

Expo bukan semata-mata ruang jualan, tetapi boleh menjadi platform dakwah, pendidikan dan kebajikan.

Apabila diisi dengan jualan produk halal, ceramah pendek, sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan promosi gaya hidup Islamik, expo mampu menjadi medium memperluas manfaat Ramadan kepada masyarakat.

Expo juga berpotensi membantu usahawan kecil, pelajar dan komuniti menjana pendapatan halal, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Membantu peniaga Muslim mencari rezeki yang diberkati juga merupakan satu bentuk ibadah sosial.

Seimbangkan Ibadah dan Aktiviti Ramadan

Dalam Islam, mencari rezeki halal dan membantu ekonomi ummah adalah sebahagian daripada tanggungjawab kolektif.

Namun, cabaran timbul apabila expo berlangsung pada waktu yang bertembung dengan solat Tarawih atau mengalihkan fokus masyarakat daripada ibadah utama Ramadan.

Jika kunjungan ke expo menyebabkan seseorang meninggalkan Tarawih, melengah-lengahkan solat atau terlalu sibuk dengan aktiviti duniawi, maka keseimbangan Ramadan telah terganggu.

Oleh itu, solusi terbaik bukanlah memilih antara expo atau masjid, tetapi membina pendekatan yang menggabungkan kedua-duanya secara harmoni.

Pertama, penganjur expo perlu sensitif terhadap jadual ibadah Ramadan.

Expo boleh dirancang supaya berhenti sementara ketika waktu solat Maghrib, Isyak dan Tarawih, atau ditutup lebih awal bagi menggalakkan pengunjung ke masjid.

Pendekatan ini bukan sahaja menjaga nilai spiritual, malah meningkatkan imej expo sebagai program yang benar-benar mendukung semangat Ramadan.

Kedua, lokasi expo boleh disepadukan dengan masjid atau kawasan berhampiran.

Apabila expo dianjurkan di perkarangan masjid atau dalam komuniti yang sama, pengunjung lebih mudah bergerak ke ruang solat.

Malah, pengumuman mengajak pengunjung bersama-sama menunaikan Tarawih boleh menjadi bentuk dakwah yang efektif dan santai.

Ketiga, individu sendiri perlu mengurus keutamaan Ramadan dengan bijak. Prinsip asasnya mudah: ibadah wajib dan sunat muakkad didahulukan, manakala aktiviti lain disusun mengikut kelapangan masa.

Mengunjungi expo selepas Tarawih atau sebelum waktu Isyak adalah antara pilihan yang lebih seimbang.

Dengan niat yang betul, bahkan berjalan ke expo untuk menyokong ekonomi Muslim juga boleh menjadi ibadah.

Keempat, expo boleh diperkasakan dengan elemen pengimarahan masjid. Contohnya, menyediakan sudut tazkirah ringkas, tabung wakaf masjid, kempen sedekah Ramadan atau kaunter pendaftaran program qiyamullai.

Dengan cara ini, expo bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi menjadi pintu masuk kepada pengukuhan spiritual masyarakat.

Ramadan Meluaskan Keberkatan

Akhirnya, keberkatan Ramadan tidak hanya bergantung pada lokasi kita berada, tetapi pada niat, pengisian dan keseimbangan amalan.

Mengimarahkan masjid dengan Tarawih adalah asas yang tidak wajar diketepikan, manakala mengunjungi expo yang bermanfaat boleh menjadi pelengkap kepada dimensi sosial dan ekonomi Ramadan.

Ramadan seharusnya mendidik kita tentang kesederhanaan dan keseimbangan. Masjid menyuburkan jiwa, expo memperkukuh masyarakat.

Apabila kedua-duanya diurus dengan hikmah, Ramadan bukan sahaja menjadi bulan ibadah individu, tetapi bulan pembangunan ummah secara menyeluruh.

Semoga Ramadan kali ini mendorong kita bukan sekadar memilih antara dua kebaikan, tetapi menggabungkannya demi keberkatan yang lebih luas dan berpanjangan.

Selain itu diharapkan segala amal ibadah yang khusyuk sepanjang Ramadhan ini diterima Allah SWT.

-- BERNAMA

Dr Anim Zalina Azizan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)