Keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 yang diumumkan pada bulan Februari lepas membawa satu perkembangan positif kepada negara apabila Malaysia mencatat peningkatan skor kepada 52 mata berbanding 50 mata pada tahun sebelumnya.
Peningkatan ini sekali gus memperbaiki kedudukan Malaysia kepada tangga ke-54 daripada 180 negara yang dinilai.
Walaupun peningkatan dua mata ini mungkin kelihatan sederhana, ia sebenarnya satu perkembangan yang signifikan dalam konteks indeks global seperti CPI.
Ini kerana CPI dibangunkan berdasarkan gabungan beberapa kajian antarabangsa yang menilai persepsi pakar serta komuniti perniagaan terhadap tahap integriti sektor awam sesebuah negara.
Oleh itu, setiap peningkatan skor mencerminkan peningkatan tahap keyakinan terhadap sistem tadbir urus negara.
Keyakinan Komuniti Perniagaan Antarabangsa Semakin Meningkat
Peningkatan skor CPI Malaysia juga dapat dilihat dengan lebih jelas apabila diteliti secara terperinci sumber data yang membentuk indeks tersebut.
CPI sebenarnya dibina daripada sembilan kajian antarabangsa yang berasingan, yang mengukur persepsi pakar dan komuniti perniagaan terhadap tahap integriti sektor awam sesebuah negara sebelum kesemuanya diseragamkan dan dipuratakan untuk menghasilkan skor akhir.
Daripada sembilan sumber tersebut, dua tinjauan yang melibatkan komuniti perniagaan antarabangsa menunjukkan peningkatan yang ketara bagi Malaysia.
Dalam jadual pemarkahan CPI 2025, skor daripada IMD World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey meningkat daripada 38 kepada 50, iaitu peningkatan sebanyak 12 mata.
Manakala skor daripada World Economic Forum Executive Opinion Survey meningkat daripada 50 kepada 64, iaitu peningkatan 14 mata.
Peningkatan yang ketara dalam kedua-dua tinjauan ini sangat signifikan kerana ia menggambarkan perubahan persepsi dalam kalangan pemimpin perniagaan dan pelabur antarabangsa terhadap integriti institusi awam di Malaysia.
Dalam konteks CPI yang berasaskan persepsi, perubahan seperti ini lazimnya berlaku apabila komuniti perniagaan melihat wujudnya tindakan reformasi yang konsisten, dasar yang lebih telus serta komitmen kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus dan memerangi rasuah.
Ini juga selari dengan pendekatan reformasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS) serta penyelarasan dasar di bawah Pasukan Petugas CPI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Dengan kata lain, peningkatan skor CPI Malaysia bukan sekadar perubahan angka statistik, tetapi mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur dan komuniti perniagaan terhadap integriti sistem pentadbiran negara.
Reformasi Kerajaan Mula Menunjukkan Hasil
Peningkatan skor CPI Malaysia tidak berlaku secara kebetulan.
Ia merupakan hasil kepada pelbagai usaha pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam memperkukuh integriti dan kecekapana tadbir urus negara.
Antara langkah penting yang diambil termasuk penggubalan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023 yang bertujuan memastikan disiplin fiskal serta pengurusan kewangan negara dilaksanakan secara lebih telus dan bertanggungjawab.
Selain itu, pindaan kepada Akta Audit 1957 turut memperluaskan peranan Ketua Audit Negara dalam memantau entiti berkaitan kerajaan seperti GLC dan GLIC, sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.
Langkah meningkatkan ketelusan pemilikan syarikat melalui pindaan kepada Akta Syarikat juga merupakan satu usaha penting dalam menangani penyalahgunaan struktur korporat bagi tujuan rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada masa yang sama, kerajaan turut melancarkan Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS) 2024–2028 sebagai rangka kerja menyeluruh untuk memperkukuh usaha pencegahan rasuah dan menyerapkan tatakelola baik di semua peringkat pentadbiran.
Bagi memastikan usaha ini dilaksanakan secara tersusun, Pasukan Petugas CPI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara telah ditubuhkan untuk menyelaras pelaksanaan inisiatif berkaitan di seluruh agensi kerajaan.
Di bawah pasukan petugas ini, enam Focus Group (FG) turut diwujudkan bagi meneliti secara khusus pelbagai aspek yang mempengaruhi persepsi terhadap integriti negara, termasuk tadbir urus sektor awam, penguatkuasaan, ketelusan perolehan kerajaan, risiko pelaburan serta reformasi undang-undang.
Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengenal pasti cabaran secara lebih menyeluruh serta merangka langkah penambahbaikan yang lebih berkesan.
CPI Bukan Sekadar Ukuran Kes Rasuah
Adalah penting untuk difahami bahawa CPI tidak hanya mengukur jumlah kes rasuah yang berlaku dalam sesebuah negara.
Sebaliknya, indeks ini turut menilai pelbagai faktor yang mempengaruhi integriti pentadbiran awam seperti tahap ketelusan kerajaan, karenah birokrasi, keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, perlindungan kepada pemberi maklumat serta kebebasan institusi.
Dalam erti kata lain, CPI mencerminkan tahap keyakinan masyarakat dan komuniti antarabangsa terhadap sistem tadbir urus sesebuah negara.
Oleh itu, peningkatan skor CPI Malaysia boleh dilihat sebagai satu tanda bahawa langkah-langkah reformasi yang sedang dilaksanakan mula memberi kesan positif terhadap persepsi antarabangsa terhadap negara ini.
Menuju Sasaran Kedudukan 25 Teratas Dunia
Walaupun peningkatan ini merupakan perkembangan yang menggalakkan, usaha memperkukuh integriti negara perlu diteruskan secara konsisten.
Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam CPI menjelang tahun 2033.
Untuk mencapai matlamat tersebut, beberapa agenda reformasi penting perlu terus diperkasakan.
Antaranya termasuk memperkukuh ketelusan dalam perolehan awam, memperluas perlindungan kepada pemberi maklumat serta meningkatkan akses kepada maklumat awam dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang terhadap kes rasuah juga perlu dilaksanakan secara tegas dan konsisten bagi memastikan tiada pihak yang kebal daripada tindakan undang-undang.
Usaha Bersama Seluruh Masyarakat
Usaha memerangi rasuah tidak boleh dipikul oleh kerajaan sahaja.
Ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk sektor swasta, masyarakat sivil dan rakyat.
Negara yang mempunyai tahap rasuah rendah lazimnya mempunyai sistem pentadbiran yang lebih cekap, ekonomi yang lebih stabil serta tahap kepercayaan rakyat yang lebih tinggi terhadap institusi negara.
Oleh itu, peningkatan skor CPI 2025 harus dilihat sebagai satu langkah awal yang positif.
Dengan komitmen berterusan kerajaan serta sokongan seluruh masyarakat, Malaysia berpotensi untuk terus meningkatkan kedudukannya dalam CPI dan seterusnya membina sebuah sistem tadbir urus yang benar-benar bersih, telus dan berintegriti.
-- BERNAMA
Datuk Idris Zaharudin ialah Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).