PENA WANITA

SAMBUTAN HARI RAYA: ANTARA TRADISI DAN PEMODENAN

13/03/2026 03:53 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Hanisah Md Idris dan Dr Nazreena Mohammed Yasin

“Dengar beduk berbunyi, sayup bergema di subuh sunyi” adalah antara bait-bait lirik lagu nostalgia Hari Raya yang dinyanyikan oleh seniman agong Tan Sri P Ramlee.

Lagu ini sering berkumandang sebagai tanda 1 Syawal hampir menjelang.

Namun, dengan perubahan kehidupan dunia moden, lagu-lagu nostalgia kini hampir dilupakan.

Lagu-lagu raya genre baharu digubah bagi menggantikan lagu-lagu lama, namun tidak akan pernah sama dengan melodi dan lirik yang “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” seperti itu.

Jika diajukan pertanyaan adakah generasi kini pernah mendengar atau melihat alat tradisi ‘beduk’ yang diketuk sebagai tanda tibanya waktu bersahur atau Hari Raya, pasti ramai yang tidak mengenalinya.

Begitulah juga dengan corak sambutan Hari Raya dahulu dan sekarang dapat dilihat perubahannya dari pelbagai aspek seperti cara persiapan, aktiviti dan amalan, penggunaan teknologi, suasana dan nilainya, gaya hidup masyarakat dan sebagainya.

Persiapan Hari Raya

Bahang kemeriahan Hari Raya mulai terasa seminggu sebelum tibanya 1 Syawal.

Masyarakat di kampung antara yang paling sibuk membuat persiapan seperti menghias rumah, memasang panjut atau pelita di sekitar perkarangan rumah, menyediakan kuih-muih dan pelbagai persiapan lain lagi.

Ahli keluarga mahupun jiran tetangga bergotong-royong bagi memastikan setiap persiapan yang telah dirancang berjalan dengan sempurna seperti mengacau dodol atau membersihkan persekitaran halaman kejiranan.

Selain itu, kaum wanita sibuk menjahit pakaian tradisional yang baru seperti baju kurung, baju Melayu atau kebaya untuk dipakai pada pagi Hari Raya.

Pada masa dahulu, sukar untuk membeli pakaian sedia dipakai (readymade). Tukang-tukang jahit akan bertungkus lumus memastikan pakaian yang ditempah dapat disiapkan sebelum Hari Raya.

Namun kini, dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, masyarakat memilih persiapan yang serba ringkas dan sederhana.

Langsir yang masih elok akan kekal menghias rumah untuk beberapa tahun sambutan Hari Raya.

Konsep minimalis menjadi pilihan bagi mengelakkan pembaziran. Kerlipan api pelita sudah tidak lagi menerangi sekitar rumah.

Sekiranya masih ada yang berhajat mewujudkan suasana seperti dahulu, banyak pilihan panjut moden boleh dibeli di kedai-kedai.

Jika dinilai dari satu sudut, pemasangan panjut elektrik moden ini lebih selamat dan menjimatkan berbanding panjut tradisi yang menggunakan minyak tanah untuk menghidupkannya.

Tangan-tangan ajaib yang sibuk di dapur menyediakan pelbagai jenis kuih atau biskut raya tradisi yang enak suatu masa dahulu sudah hilang magisnya.

Kini, hidangan warna-warni yang menghiasi meja ini begitu mudah didapati daripada pembekal kuih raya dengan harga yang berpatutan serta berbagai-bagai pilihan.

Begitu juga dengan pakaian Hari Raya yang boleh dibeli terus daripada kedai, butik atau secara dalam talian.

Reka bentuk pakaian tradisional Melayu juga mengalami proses evolusi dengan penyerapan elemen-elemen moden yang kadangkala dilihat melenyapkan nilai-nilai seni tradisi.

Amalan Tradisi dan Aktiviti

Kemeriahan Hari Raya dapat dilihat pada malam raya sehinggalah ke penghujung bulan Syawal.

Amalan ‘munjung’ yang terkenal dalam masyarakat Jawa misalnya bermula pada malam terakhir Ramadan apabila jiran dan saudara mara bertukar-tukar juadah Hari Raya seperti ketupat, rendang dan sebagainya.

Konsep ‘munjung’ ini bertujuan mengeratkan silaturrahim dan hubungan sesama keluarga dan jiran tetangga setelah setahun tidak berjumpa khususnya bagi warga kota yang pulang ke kampung.

Amalan tradisi ini hanya boleh dirasai terutamanya di kampung-kampung oleh golongan tua yang kekal mempertahankan adat budaya nenek moyang.

Jiran tetangga ibarat saudara sendiri apabila anak cucu ramai yang telah berhijrah ke bandar.

Melalui aktiviti seperti inilah hubungan mereka sebagai tanda menghargai hidup berjiran.

Detik yang paling istimewa adalah pada pagi lebaran pertama.

Ahli keluarga yang berkumpul di kampung akan mempersiapkan diri mereka dengan pakaian baru yang indah dan saling bermaafan sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya.

Selepas itu, bermulalah aktiviti ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara dan jiran di sekeliling kampung.

Lebih meriah lagi apabila adanya aktiviti marhaban dengan alunan selawat, zikir, doa serta puji-pujian kepada baginda Nabi Muhamad s.a.w. yang dilakukan dalam kumpulan.

Hanya segelintir tempat sahaja yang masih giat meneruskan kumpulan marhaban pada masa kini.

Anak-anak muda terutamanya lebih cenderung menikmati rancangan hiburan Hari Raya di kaca televisyen atau aktiviti bersendirian seperti menghadap gajet masing-masing.

Di sinilah wujudnya jurang sosial apabila anak-anak muda sudah tidak mengenali kaum keluarga dan saudara mara yang jauh kerana jarang bertemu.

Pengaruh Teknologi

Suatu fenomena yang sangat ketara apabila dikaitkan dengan perubahan dalam menyambut Hari Raya adalah pembangunan teknologi yang begitu pesat.

Dunia digital membawa pengaruh yang besar dari aspek pemikiran dan gaya hidup masyarakat.

Ucapan Hari Raya begitu bermakna apabila kad raya dikirimkan melalui pos. Kad raya banyak dijual dengan pelbagai reka bentuk, corak dan ucapan yang menarik.

Kad raya yang diterima sebagai tanda ingatan akan digantung sebagai penghias ruang tamu.

Kini, ruang digital mengambil alih ucapan Hari Raya sama ada melalui WhatsApp, media sosial atau kad digital.

Ucapan boleh dihantar dengan begitu pantas, lebih menarik serta tidak memerlukan sebarang kos. Mereka yang tinggal berjauhan juga boleh menitipkan kata-kata ucapan hanya dengan panggilan video.

Satu lagi suasana kemeriahan menjelangnya Hari Raya pada masa dahulu apabila orang ramai keluar untuk membeli-belah persiapan Hari Raya.

Kedai-kedai dan pusat membeli-belah kelihatan sesak dengan orang ramai terutamanya seminggu sebelum menjelangnya hari istimewa masyarakat Islam ini.

Namun kini, keluhan para peniaga menjelaskan tentang gambaran yang berbeza. Membeli-belah secara dalam talian lebih digemari.

Urusan membeli-belah boleh dilakukan di hujung jari sahaja tanpa perlu membuang masa dan tenaga untuk keluar mencari barang yang diperlukan.

Barang yang dipesan akan dihantar terus ke rumah.

Budaya dan Nilai Sosial

Masyarakat Melayu begitu menitikberatkan adat resam dan norma budaya dalam kehidupan mereka sejak turun temurun.

Namun, peredaran masa dan perkembangan teknologi mencetuskan fenomena baru dalam beberapa amalan aktiviti kehidupan seperti sambutan Hari Raya.

Walaupun kemeriahan sambutannya masih ada tetapi sudah kurang bahangnya berbanding pada masa dahulu. Ini mencerminkan cara gaya hidup, pemikiran dan hubungan sosial antara mereka.

Aktiviti kunjung-mengunjung misalnya sebagai simbolik mengeratkan hubungan serta persaudaraan.

Pintu rumah sentiasa terbuka untuk menerima tetamu sepanjang bulan Syawal yang mulia tersebut.

Kuih-muih sentiasa terhidang sebagai menyambut tetamu pada bila-bila masa dengan hati terbuka.

Kini, tetamu yang berhajat datang berhari raya perlu membuat temu janji bagi mengelakkan ketidakselesaan tuan rumah yang mungkin tidak bersedia menerima tetamu pada waktu-waktu tertentu.

Masyarakat kini lebih mementingkan ‘privacy’, maka di sinilah rumah terbuka mengambil tempat di mana tetamu akan datang berkunjung, makan bersama dan beramah mesra pada satu tarikh dan masa yang ditetapkan.

Jika ditinjau dari satu sudut, acara sebegini dapat menjimatkan belanja, masa dan tenaga penganjur yang mahu meraikan tetamu.

Akan tetapi, kemungkinan ada sebilangan tetamu yang dijemput tidak dapat menghadirkan diri pada tarikh tersebut.

Apapun dunia kini menawarkan pelbagai wadah bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita; tepuk dada tanya selera.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, memang tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan zaman membawa banyak perubahan dalam sambutan perayaan Hari Raya dahulu dan sekarang.

Pada masa dahulu, sambutan lebih sederhana dan menekankan nilai kekeluargaan, gotong-royong, serta amalan tradisi namun kemeriahannya amat dinanti-nantikan.

Masyarakat lebih menghargai nilai kebersamaan, saling mengunjungi, dan menyediakan persiapan secara bersama-sama tanpa bergantung kepada kemudahan moden.

Namun begitu, sambutan Hari Raya pada masa kini dipengaruhi oleh teknologi serta gaya hidup semasa yang lebih moden.

Peningkatan dari segi ekonomi, kepantasan masa kemajuan teknologi mengubah corak pemikiran masyarakat kini kepada lebih mudah, ringkas, jimat dan praktikal.

Akan tetapi, nilai-nilai murni seperti kesederhanaan, keikhlasan, dan hubungan kekeluargaan perlu terus dipelihara.

Oleh itu, masyarakat harus mengekalkan tradisi yang baik sambil menyesuaikan diri dengan perubahan, supaya makna sebenar Hari Raya tidak hilang ditelan arus pemodenan.

-- BERNAMA

Hanisah Md Idris ialah bekas Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), dan Dr Nazreena Mohammed Yasin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)