Setiap kali Aidilfitri semakin hampir, ramai mula sibuk mencantikkan rumah.
Langsir baharu digantung, kusyen ditukar, karpet dibersihkan atau diganti, malah ada yang mengecat semula dinding ruang tamu.
Semua ini dilakukan bagi mewujudkan suasana yang lebih segar dan selesa untuk menyambut tetamu yang bakal berkunjung semasa hari raya.
Namun dalam keterujaan membuat persiapan tersebut, persoalan yang sering timbul ialah sejauh mana kita perlu berbelanja untuk menghias rumah.
Adakah setiap kali raya kita perlu membeli barangan baharu?
Atau sebenarnya terdapat cara yang lebih bijak untuk mencantikkan rumah tanpa membebankan kewangan keluarga.
Realitinya, perbelanjaan isi rumah di Malaysia memang menunjukkan peningkatan semasa musim perayaan.
Menurut laporan Household Expenditure Survey oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kategori seperti makanan, pakaian dan perabot antara yang mencatatkan lonjakan perbelanjaan apabila Aidilfitri semakin hampir.
Selain itu, sektor perdagangan juga mencatatkan pertumbuhan yang ketara semasa musim perayaan.
Statistik menunjukkan perdagangan borong dan runcit meningkat sekitar 6.4 peratus pada tahun 2025, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan perbelanjaan pengguna sempena musim perayaan.
Antara kategori utama yang sering menjadi tumpuan ialah pakaian dan kasut, makanan dan minuman, perabot serta dekorasi rumah selain hadiah dan hiburan.
Fenomena ini menggambarkan bahawa budaya berbelanja sempena Aidilfitri masih kuat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Inflasi dan Kos Sara Hidup
Bagi kebanyakan keluarga, rumah yang cantik dan kemas dianggap sebagai simbol kegembiraan serta tanda penghormatan kepada tetamu yang datang berkunjung.
Namun di sebalik kemeriahan tersebut, terdapat juga risiko perbelanjaan berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada kewangan isi rumah selepas raya.
Dalam masa yang sama, masyarakat turut berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
Walaupun kadar inflasi Malaysia dilihat sederhana, kesannya tetap dirasai oleh pengguna.
Data menunjukkan kadar inflasi dicatat sekitar 1.4 peratus pada Mac 2025 dan meningkat kepada 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan unjuran sekitar 1.8 peratus sepanjang tahun.
Kenaikan harga paling ketara berlaku dalam beberapa kategori penting seperti makanan dan minuman, pendidikan serta restoran dan penginapan.
Walaupun angka ini kelihatan kecil dari sudut statistik, kesannya kepada perbelanjaan harian rakyat sebenarnya cukup signifikan.
Harga barangan keperluan yang meningkat sedikit demi sedikit akhirnya memberi tekanan kepada bajet bulanan isi rumah, terutamanya bagi keluarga berpendapatan sederhana.
Selain faktor domestik, ketidaktentuan ekonomi global turut memberi kesan kepada kestabilan harga.
Ketegangan geopolitik di Timur Tengah, termasuk konflik antara Israel dan Iran, telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan laluan perdagangan tenaga dunia.
Sebarang gangguan di laluan penting seperti Selat Hormuz boleh menyebabkan harga minyak meningkat dan memberi kesan kepada kos pengangkutan, inflasi serta kuasa beli pengguna.
Keadaan ini menjadikan pengurusan kewangan yang lebih bijak semakin penting, terutama ketika musim perayaan.
Tanpa perancangan yang teliti, perbelanjaan kecil yang kelihatan tidak signifikan boleh bertambah sehingga menjejaskan bajet bulanan selepas raya.
Promosi Raya: Jangan Terpedaya
Tambahan pula, budaya promosi dan jualan raya yang semakin agresif turut mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna.
Pelbagai tawaran diskaun, jualan gudang dan promosi dalam talian sering menarik perhatian pengguna untuk membeli lebih banyak barangan daripada yang sebenarnya diperlukan.
Dalam keadaan tertentu, pengguna mungkin terdorong membeli barangan dekorasi semata-mata kerana harga murah walaupun ia tidak benar-benar diperlukan.
Dari sudut psikologi pengguna, suasana perayaan juga sering dikaitkan dengan keinginan untuk menunjukkan kemeriahan kepada keluarga dan tetamu.
Ada yang merasakan rumah perlu kelihatan “baharu” setiap kali raya sebagai tanda persediaan yang sempurna.
Namun jika tidak dikawal, persepsi ini boleh menyebabkan perbelanjaan meningkat secara tidak sedar.
Oleh sebab itu, pendekatan yang lebih rasional dan terancang perlu diamalkan dalam mengurus perbelanjaan persiapan raya.
Salah satu cara ialah dengan memberi tumpuan kepada pengurusan ruang dan kebersihan rumah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli barangan baharu.
Kadangkala perubahan kecil pada susunan ruang sudah cukup untuk memberi suasana yang berbeza tanpa melibatkan kos tambahan.
Sebenarnya rumah yang cantik tidak semestinya memerlukan perbelanjaan yang besar.
Konsep 5S
Dengan sedikit kreativiti dan perancangan, ruang rumah boleh kelihatan lebih menarik tanpa perlu membeli terlalu banyak barangan baharu.
Salah satu pendekatan yang boleh diamalkan ialah menggunakan konsep 5S.
Konsep 5S pada asalnya digunakan dalam pengurusan organisasi bagi meningkatkan kecekapan dan memastikan persekitaran kerja lebih kemas serta tersusun.
Namun konsep ini juga sangat sesuai diaplikasikan dalam pengurusan rumah, terutamanya ketika membuat persiapan dekorasi raya.
Langkah pertama ialah Sisih, iaitu menilai semula barangan yang ada di rumah dan menyingkirkan barang yang tidak lagi digunakan.
Kadangkala ruang rumah kelihatan sempit bukan kerana kekurangan dekorasi, tetapi kerana terlalu banyak barang yang tidak diperlukan.
Dengan menyingkirkan barangan lama atau rosak, ruang rumah akan kelihatan lebih luas dan kemas.
Langkah kedua ialah Susun. Penyusunan semula perabot dan hiasan rumah secara sistematik boleh memberikan suasana yang lebih segar tanpa memerlukan kos tambahan.
Mengubah kedudukan sofa, meja atau rak hiasan kadangkala sudah cukup untuk memberikan perubahan besar kepada suasana ruang tamu.
Langkah seterusnya ialah Sapu, yang merujuk kepada aspek kebersihan. Rumah yang bersih dan terurus selalunya memberi kesan lebih positif kepada tetamu berbanding rumah yang dipenuhi dekorasi tetapi kurang terjaga kebersihannya.
Kemudian ialah Seragam, iaitu memilih tema warna atau gaya dekorasi yang konsisten.
Sebagai contoh, memilih satu atau dua warna utama untuk langsir, kusyen dan hiasan kecil boleh menjadikan ruang rumah kelihatan lebih harmoni.
Walaupun menggunakan barangan yang sederhana atau murah, keseragaman warna mampu memberikan sentuhan yang lebih elegan.
Akhir sekali ialah Sentiasa Amal, iaitu menjadikan amalan ini sebagai rutin sepanjang tahun dan bukan hanya ketika musim perayaan.
Jika rumah sentiasa diurus dengan baik sepanjang masa, persiapan raya tidak lagi memerlukan perubahan besar atau perbelanjaan yang mendadak.
Sederhana Tetapi Meriah
Selain mengamalkan konsep 5S, masyarakat juga boleh mendapatkan barangan dekorasi pada harga berpatutan di kedai bajet seperti Eco Shop, Ninso, Noko, MR DIY atau Daiso yang menawarkan pelbagai barangan rumah pada harga mampu milik.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan dekorasi dengan gaya yang sedikit lebih moden tetapi masih berpatutan, kedai seperti Kaison, HOOGA dan IKEA juga sering menjadi pilihan pengguna untuk mencari aksesori rumah yang menarik.
Dengan sedikit kreativiti, barangan yang murah juga boleh menghasilkan dekorasi yang menarik.
Gabungan warna yang sesuai, susunan yang kemas serta penggunaan ruang yang bijak mampu menjadikan rumah kelihatan lebih cantik tanpa perlu berbelanja besar.
Hakikatnya, kemeriahan Aidilfitri bukan terletak pada mahal atau murahnya dekorasi rumah.
Apa yang lebih penting ialah suasana kebersamaan bersama keluarga dan sahabat handai.
Rumah yang sederhana tetapi bersih dan selesa sudah cukup untuk menyambut tetamu dengan penuh keikhlasan.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, pendekatan menghias rumah secara bijak menjadi semakin penting.
Konsep 5S boleh dijadikan panduan mudah bagi memastikan rumah kekal kemas, cantik dan selesa tanpa membebankan kewangan keluarga.
Raya yang sederhana tidak bermakna kurang meriah.
Dengan sedikit kreativiti dan pengurusan yang bijak, rumah tetap boleh kelihatan menarik tanpa perlu berbelanja besar.
Akhirnya, yang menjadikan Aidilfitri benar-benar bermakna bukanlah dekorasi yang mahal, tetapi ketenangan hati apabila kita menyambutnya tanpa tekanan kewangan dan dengan penuh kesyukuran.
-- BERNAMA
Noor Aslinda Abu Seman ialah Pensyarah Kanan Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).