Oleh Dr Norhaliza Abu Bakar dan Dr Zurina Samsudin
Setiap kali tiba musim e-Filing, ramai rakyat Malaysia membuka portal MyTax dengan satu harapan besar - kalau ada rezeki, mungkin akan muncul “duit raya” daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam akaun bank sebelum Aidilfitri menjelang.
Bagi sesetengah keluarga, pulangan cukai ini sangat bermakna.
Ia mungkin membantu membeli baju raya anak-anak, menampung kos balik kampung, atau sekurang-kurangnya menambah sedikit ruang dalam bajet keluarga yang semakin ketat.
Namun dalam keghairahan mengejar pulangan cukai ini, ramai juga yang terlupa satu perkara penting: kesilapan kecil dalam e-Filing boleh membawa kepada penalti yang besar.
Jutaan Rakyat Malaysia Membayar Cukai
Menurut laporan tahunan LHDN, jutaan rakyat Malaysia mengemukakan borang cukai setiap tahun melalui sistem e-Filing.
Pada 2023, lebih 8.4 juta pembayar cukai individu menghantar borang nyata cukai pendapatan.
Pada 2022, jumlahnya sekitar 8.2 juta, manakala pada 2021 pula kira-kira 7.9 juta pembayar cukai menggunakan sistem e-Filing.
Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar pembayar cukai layak menerima pulangan lebihan cukai selepas mengambil kira pelepasan cukai seperti perbelanjaan pendidikan anak, peralatan gaya hidup, rawatan kesihatan dan caruman KWSP.
Secara keseluruhan, LHDN membayar berbilion ringgit pulangan cukai kepada rakyat setiap tahun, menjadikan musim e-Filing satu tempoh yang sangat dinanti-nantikan oleh pembayar cukai.
Namun di sebalik berita baik ini, LHDN juga secara berkala menjalankan audit cukai bagi memastikan semua maklumat yang dilaporkan adalah tepat.
Kesilapan Biasa Yang Ramai Tidak Sedar
Sebagai seorang pensyarah yang sering berbincang tentang literasi kewangan dengan masyarakat, saya dapati kebanyakan kesilapan berlaku bukan kerana niat menipu, tetapi kerana kecuaian.
Antara kesilapan paling biasa ialah menuntut pelepasan cukai tanpa menyimpan resit atau dokumen sokongan.
Ramai yang menganggap selepas e-Filing dihantar, semua resit sudah tidak penting lagi.
Hakikatnya, di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai diwajibkan menyimpan dokumen sokongan seperti resit, invois dan bukti pembayaran selama tujuh tahun.
Jika LHDN menjalankan audit dan dokumen tersebut tidak dapat dikemukakan, tuntutan pelepasan cukai itu boleh dibatalkan.
Lebih membimbangkan, kegagalan melaporkan pendapatan dengan betul boleh membawa kepada denda antara RM1,000 hingga RM10,000 serta penalti sehingga 200 peratus daripada cukai yang terkurang lapor.
Dalam kes tertentu, kesalahan serius juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah peruntukan Akta Cukai Pendapatan.
Era e-Invois dan Tabiat Simpan Resit
Malaysia kini sedang beralih secara berperingkat kepada sistem e-Invois, yang bertujuan meningkatkan ketelusan transaksi dan memudahkan pemantauan cukai.
Namun dalam tempoh peralihan ini, banyak perniagaan masih mengeluarkan resit fizikal seperti biasa. Masalahnya, resit jenis ini mudah hilang atau pudar selepas beberapa bulan.
Cara paling mudah ialah dengan mengambil gambar resit dan menyimpannya dalam storan digital seperti Google Drive atau aplikasi telefon.
Langkah kecil ini mungkin nampak remeh, tetapi ia boleh menyelamatkan pembayar cukai daripada masalah besar sekiranya berlaku audit pada masa hadapan.
Bijak Urus Cukai, Bijak Urus Kewangan
Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, termasuk kenaikan kos sara hidup dan harga tenaga dunia, pengurusan kewangan yang bijak menjadi semakin penting.
Membayar cukai adalah tanggungjawab setiap rakyat kepada negara.
Melalui hasil cukai inilah kerajaan dapat menyediakan pelbagai kemudahan awam seperti hospital, sekolah, infrastruktur serta pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat.
Namun pada masa yang sama, menuntut pelepasan cukai yang sah adalah hak setiap pembayar cukai.
Kuncinya ialah kejujuran dan ketelitian.
Jangan Kerana ‘Duit Raya’, Terpaksa Bayar Denda
Pulangan cukai memang boleh menjadi “duit raya” yang menggembirakan.
Tetapi jangan kerana terlalu ghairah mengejar pulangan tersebut, kita mengambil mudah perkara asas seperti menyimpan resit atau memastikan maklumat yang diisi adalah tepat.
Hakikatnya, “duit raya LHDN” mungkin memberi kegembiraan sementara.
Namun jika berlaku kesilapan dalam laporan cukai, kegembiraan itu boleh bertukar menjadi surat audit yang tidak dijangka.
Akhirnya, langkah paling bijak ialah mudah: isi e-Filing dengan teliti, simpan semua resit, dan pastikan setiap tuntutan ada buktinya.
Kerana dalam hal cukai, sedikit kecuaian hari ini boleh membawa kos yang jauh lebih besar pada masa hadapan.
-- BERNAMA
Dr Norhaliza Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, UTHM Pagoh, Johor.
Dr Zurina Samsudin ialah Pensyarah Kanan Johor Business School, UTHM Parit Raja, Batu Pahat, Johor.