TINTA MINDA

RAPID KL ON-DEMAND DAN MOBILITI BANDAR MODEN

17/03/2026 11:25 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff dan Ir Dr Muhamad Razuhanafi Mat Yazid

Perkembangan pesat kawasan bandar dan pinggir bandar di Lembah Klang telah mewujudkan cabaran besar kepada sistem pengangkutan awam, khususnya dari segi kebolehcapaian, kecekapan dan kesesuaian perkhidmatan dengan keperluan sebenar pengguna.

Walaupun perkhidmatan sistem rel dan bas yang sedia ada memainkan peranan penting, masih terdapat kawasan perumahan dan komuniti yang kurang diliputi oleh perkhidmatan laluan tetap.

Dalam konteks ini, Rapid KL On-Demand muncul sebagai satu pendekatan inovatif yang berupaya mengisi jurang antara keperluan mobiliti pengguna dan penawaran pengangkutan awam konvensional.

Perkhidmatan Rapid KL On-Demand ini dijalankan menggunakan van 10 sehingga 12 tempat duduk dan boleh ditempah melalui aplikasi “Rapid On-Demand”.

Perkhidmatan ini menawarkan struktur berasaskan permintaan, di mana laluan tidak ditetapkan seperti bas biasa, tetapi dibentuk mengikut lokasi permintaan dan destinasi penumpang.

Dengan kata lain, van akan bergerak berdasarkan tempahan langsung yang dibuat melalui aplikasi, dan sistem akan mengoptimumkan laluan bagi mengurangkan masa perjalanan dan masa menunggu.

Rapid KL On-Demand merupakan perkhidmatan pengangkutan berasaskan konsep Permintaan Pengangkutan Responsif (Demand-Responsive Transit, DRT) yang diperkenalkan oleh pihak Rapid KL sebagai pelengkap kepada sistem bas dan rel sedia ada.

Tidak seperti bas konvensional yang beroperasi mengikut laluan dan jadual tetap, Rapid KL On-Demand beroperasi berdasarkan permintaan pengguna, dengan laluan yang dioptimumkan secara dinamik melalui sistem digital.

Mobiliti Atas Permintaan

Pendekatan ini mencerminkan perubahan paradigma dalam perancangan pengangkutan awam, daripada model berorientasikan operasi kepada model berorientasikan pengguna.

Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam.

Buat masa ini dengan tambang promosi RM2.00 untuk setiap perjalanan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan pelbagai kaedah seperti kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, DuitNow QR dan E-Dompet.

Secara asasnya, Rapid KL On-Demand berfungsi melalui sistem tempahan digital menggunakan aplikasi mudah alih.

Pengguna boleh membuat tempahan perjalanan dalam zon perkhidmatan yang ditetapkan dan kenderaan akan mengambil serta menghantar penumpang ke destinasi yang dipilih atau ke lokasi penghubung seperti stesen LRT, MRT atau hub bas utama.

Sistem ini membolehkan perjalanan dikongsi dengan pengguna lain yang mempunyai laluan dan masa perjalanan yang hampir sama, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan kenderaan dan sumber.

Pengenalan Rapid KL On-Demand adalah selari dengan cabaran utama pengangkutan awam di kawasan pinggir bandar, iaitu isu first-mile dan last-mile connectivity.

Ramai pengguna menghadapi kesukaran untuk bergerak dari rumah ke stesen pengangkutan awam terdekat akibat jarak yang jauh, kekangan masa atau ketiadaan perkhidmatan bas yang sesuai.

Perkhidmatan ini berperanan sebagai penghubung penting yang memudahkan akses kepada rangkaian pengangkutan awam utama, sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara keseluruhan.

Dari sudut perancangan pengangkutan, Rapid KL On-Demand menawarkan kelebihan ketara dari segi fleksibiliti.

Perkhidmatan ini tidak terikat kepada laluan tetap yang mungkin mempunyai kadar penggunaan rendah pada waktu tertentu.

Sebaliknya, kenderaan hanya beroperasi apabila terdapat permintaan sebenar dan laluan disesuaikan secara masa nyata.

Mobiliti Inklusif dan Mampan

Pendekatan ini berpotensi mengurangkan perjalanan kosong, menjimatkan bahan api dan meningkatkan produktiviti operasi, terutamanya di kawasan berkepadatan rendah hingga sederhana.

Selain fleksibiliti, aspek inklusiviti turut menjadi kekuatan utama Rapid KL On-Demand.

Perkhidmatan ini amat bermanfaat kepada warga emas, pelajar, golongan berpendapatan rendah dan individu yang tidak memiliki kenderaan persendirian.

Dengan kos tambang yang kompetitif dan liputan kawasan yang disasarkan, Rapid KL On-Demand membantu meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan sosial.

Dalam jangka panjang, peningkatan akses mobiliti ini menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan pengurangan ketidaksamarataan spatial dalam kawasan bandar.

Walau bagaimanapun, kejayaan Rapid KL On-Demand amat bergantung kepada sokongan teknologi digital yang mantap.

Sistem tempahan, penjadualan dan pengoptimuman laluan memerlukan pengurusan data yang cekap serta kestabilan rangkaian komunikasi.

Sekiranya berlaku gangguan sistem atau masalah aplikasi, kualiti perkhidmatan boleh terjejas dan menjejaskan keyakinan pengguna.

Oleh itu, pelaburan berterusan dalam infrastruktur digital dan sokongan teknikal adalah aspek penting dalam memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan ini.

Dari perspektif alam sekitar, Rapid KL On-Demand menyokong usaha ke arah pengangkutan yang lebih mampan.

Dengan menggalakkan perkongsian perjalanan dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, perkhidmatan ini berpotensi menyumbang kepada pengurangan kesesakan lalu lintas dan pelepasan gas rumah kaca.

Sekiranya digabungkan dengan penggunaan kenderaan rendah karbon atau elektrik pada masa hadapan, Rapid KL On-Demand boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam agenda pengurangan karbon sektor pengangkutan.

Namun begitu, terdapat juga beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian.

Antara isu utama ialah kos operasi per penumpang, terutamanya sekiranya kadar permintaan rendah atau perkhidmatan tidak mencapai skala ekonomi yang mencukupi.

Mobiliti Pintar Masa Depan

Tanpa perancangan zon perkhidmatan yang strategik dan pengoptimuman permintaan, perkhidmatan atas permintaan boleh menjadi kurang cekap dari segi kewangan.

Oleh itu, Rapid KL On-Demand perlu dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem pengangkutan awam konvensional yang berkapasiti tinggi.

Isu jurang digital juga merupakan cabaran yang tidak boleh diabaikan. Walaupun penggunaan aplikasi mudah alih semakin meluas, masih terdapat segmen masyarakat yang kurang celik digital atau tidak mempunyai akses kepada telefon pintar.

Bagi memastikan perkhidmatan ini benar-benar inklusif, pendekatan pelbagai saluran tempahan termasuklah bantuan di stesen atau sokongan khidmat pelanggan, wajar dipertimbangkan.

Dalam konteks pembangunan bandar pintar, Rapid KL On-Demand boleh dianggap sebagai satu komponen penting dalam ekosistem mobiliti pintar.

Data perjalanan yang dikumpul melalui perkhidmatan ini boleh digunakan untuk memahami corak pergerakan penduduk, mengenal pasti keperluan perkhidmatan baharu dan menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti.

Integrasi data ini dengan sistem pengurusan trafik, perancangan guna tanah dan pengangkutan awam lain akan meningkatkan keberkesanan perancangan bandar secara keseluruhan.

Dari sudut jangka panjang, Rapid KL On-Demand juga berpotensi menjadi platform pembelajaran dan perintis bagi inovasi pengangkutan awam di Malaysia.

Pengalaman operasi, penerimaan pengguna dan analisis prestasi perkhidmatan ini boleh dijadikan asas untuk penambahbaikan dasar pengangkutan dan peluasan perkhidmatan ke kawasan lain yang bersesuaian.

Pendekatan ini sejajar dengan keperluan sistem pengangkutan yang lebih adaptif, responsif dan berorientasikan pengguna.

Secara kesimpulannya, Rapid KL On-Demand merupakan satu pendekatan penting dalam landskap pengangkutan awam Malaysia yang mencerminkan peralihan ke arah sistem mobiliti yang lebih fleksibel dan pintar.

Walaupun berdepan dengan cabaran dari segi kos, teknologi dan kebolehcapaian, potensi manfaatnya dari sudut kecekapan, inklusiviti dan kelestarian adalah signifikan.

Dengan perancangan yang bersepadu, sokongan teknologi yang kukuh dan pelaksanaan secara strategik, Rapid KL On-Demand berupaya memperkukuh peranan pengangkutan awam sebagai pilihan utama mobiliti bandar, selari dengan aspirasi pembangunan mampan negara.

-- BERNAMA

Prof Madya Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina,Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ir Dr Muhamad Razuhanafi Mat Yazid ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)