Ramadan kini menghampiri penghujungnya.
Setelah hampir sebulan umat Islam melalui madrasah puasa, saat-saat terakhir ini menjadi waktu yang amat berharga untuk memperbanyakkan ibadah dan muhasabah diri.
Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi bulan yang dipenuhi dengan rahmah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.
Sejak awal kedatangannya, Ramadan dikenali sebagai bulan yang sarat dengan rahmat dan keberkatan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datang bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menggambarkan betapa luasnya rahmah Allah pada bulan Ramadan.
Justeru bagi orang-orang yang beriman, Ramadan merupakan bulan yang paling dinanti-nantikan sepanjang tahun.
Ia menjadi ruang yang amat berharga untuk memperbanyakkan amal kebajikan serta memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.
Para ulama sejak dahulu lagi menyambut kemunculan anak bulan Ramadan dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan.
Mereka menyedari bahawa Ramadan adalah bulan yang penuh barakah dan peluang terbaik untuk meningkatkan amal ibadah serta mendekatkan diri kepada Allah.
Ramadan Madrasah Jiwa
Sesungguhnya Ramadan merupakan sebuah madrasah yang mendidik jiwa manusia.
Melalui ibadah puasa, manusia dilatih untuk menundukkan hawa nafsu, mengawal keinginan serta membina kesabaran dalam diri.
Madrasah Ramadan ini mempersiapkan jiwa manusia untuk menghadapi 11 bulan yang lain yang penuh dengan ujian dan godaan nafsu.
Dalam bulan yang mulia ini juga umat Islam digalakkan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Setiap amal kebajikan yang dilakukan dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan diberi ganjaran yang dilipatgandakan berbanding bulan-bulan lain.
Semangat ini dapat dilihat apabila rumah-rumah Allah seperti masjid dan surau dipenuhi oleh umat Islam yang ingin menghidupkan malam-malam Ramadan dengan solat tarawih, bacaan al-Quran, zikir dan majlis ilmu.
Bagi para ibu bapa, Ramadan juga merupakan peluang yang sangat berharga untuk membawa anak-anak mengimarahkan rumah Allah.
Pengalaman berbuka puasa bersama, menunaikan solat tarawih berjemaah serta menikmati moreh selepas solat mampu membina kenangan indah dalam kehidupan anak-anak.
Melalui pengalaman ini juga anak-anak dapat dididik tentang nilai kesederhanaan dan kesyukuran terhadap rezeki yang Allah kurniakan.
Ramadan mengajar umat Islam supaya tidak berlebihan dalam soal makanan dan minuman.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf: 31).
Selain itu, membawa anak-anak ke masjid sejak kecil juga merupakan satu usaha penting untuk mendidik mereka supaya dekat dengan rumah Allah.
Bagi anak-anak lelaki khususnya, pengalaman berada di masjid, melihat suasana solat berjemaah serta mendengar bacaan al-Quran yang merdu daripada para imam ketika solat tarawih mampu memberi kesan yang mendalam dalam hati mereka.
Pengalaman seperti ini sedikit demi sedikit akan melunakkan jiwa anak-anak dan menanam rasa cinta terhadap al-Quran serta rumah Allah.
Ia merupakan usaha kecil ibu bapa yang boleh memberi kesan besar dalam membentuk generasi yang menghargai agama.
Namun begitu, dalam realiti kehidupan masyarakat, masih terdapat segelintir individu yang kurang menunjukkan sifat rahmah terhadap kanak-kanak di masjid.
Ada kalanya anak kecil dimarahi atau diherdik hanya kerana melakukan kesilapan kecil seperti tertumpah air atau membuat sedikit bising kerana masih belum memahami sepenuhnya adab di masjid.
Hakikatnya, mereka yang lebih berusia dan berpengalaman seharusnya menegur dengan penuh hikmah dan kelembutan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras lagi berhati kasar, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.” (Surah Ali ‘Imran: 159).
Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh terbaik dalam melayani kanak-kanak dengan penuh kasih sayang.
Dalam satu peristiwa, Baginda pernah memanjangkan sujud ketika solat kerana cucunya, Hasan atau Husain, sedang bermain di atas belakang Baginda.
Rasulullah tidak menegur atau memarahi mereka, sebaliknya membiarkan sehingga anak kecil itu turun sendiri sebelum Baginda bangun daripada sujud.
Kisah ini menggambarkan betapa besar sifat rahmah Rasulullah SAW terhadap kanak-kanak.
Baginda memahami bahawa mereka sedang belajar mengenali dunia dan memerlukan bimbingan yang penuh kelembutan.
Inilah rahmah yang sepatutnya hidup dalam rumah-rumah Allah. Masjid seharusnya menjadi tempat yang menenangkan dan mendidik jiwa manusia, termasuk kanak-kanak yang masih belajar mengenali suasana ibadah.
Nilai rahmah yang diajarkan oleh Islam ini juga selari dengan aspirasi masyarakat yang sedang dibina di negara ini melalui gagasan Malaysia Madani.
Konsep Malaysia MADANI menekankan pembinaan masyarakat yang berteraskan nilai kemanusiaan, ihsan dan kesejahteraan bersama.
Dalam konteks ini, masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga ruang membina masyarakat yang berakhlak, penyayang dan saling menghormati antara generasi.
Apabila nilai rahmah benar-benar dihidupkan dalam rumah-rumah Allah, ia secara tidak langsung menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera selari dengan aspirasi negara.
Di saat-saat akhir Ramadan ini, umat Islam seharusnya terus menghidupkan rumah Allah dengan penuh semangat ibadah.
Inilah waktu terbaik untuk mendidik diri dan keluarga agar lebih mencintai masjid serta menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amal kebajikan.
Rahmah Allah yang begitu luas pada bulan Ramadan seharusnya turut mengalir dalam jiwa setiap Muslim.
Janganlah sampai sikap kita secara tidak sedar menjauhkan hati anak-anak kecil daripada rumah Allah.
Sebaliknya, marilah kita menyuburkan rahmah dalam jiwa agar generasi yang sedang belajar mencintai masjid ini terus merasa dekat dan selesa berada di rumah Allah.
Kerana daripada langkah kecil mereka ke masjid hari ini, akan lahir generasi yang akan terus menghidupkan rumah-rumah Allah pada masa hadapan.
-- BERNAMA
Dr. Najiah Athirah Jamaludin ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).